ARAU: Di sebalik peningkatan harga kos barangan ketika ini, seorang peniaga masih menawarkan semua jenis menu makanan di warungnya dengan harga serendah RM2 dan minuman RM1.
Inisiatif tersebut dilaksanakan Zulkifli Ismail, 42, sejak 2018 dan dia masih mampu meraih keuntungan dengan jualan mencecah RM2,000 ke RM3,000 sehari khususnya pada cuti hujung minggu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengusaha Warung D’ Bendang Senja di Kampung Sungai Padang itu berkata, antara menu disediakan seperti nasi ayam, nasi daging, laksa, pulut ayam, pulut mempelam dan bihun sup.
“Konsep saya meniaga ini bukan untuk dapat untung semata-mata namun lebih kepada beramal. Alhamdulillah sambutan baik dengan masih mendapat untung walaupun menawarkan harga murah,” katanya.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Program Menu Rahmah membabitkan 15,000 premis di seluruh negara untuk menjual makanan dengan harga RM5 bagi setiap menu.
Zulkifli berkata, antara menu paling laris ialah nasi ayam dengan setiap hari lebih 1,000 pinggan terjual lebih-lebih pada hari cuti hujung minggu.
“Setiap hari, saya mengeluarkan modal sekitar RM700 bagi membeli keperluan barangan basah untuk menyediakan sajian,” katanya.
Dalam pada itu, bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, dia mendapat idea bagi menawarkan menu RM2 itu selepas berkunjung ke sebuah restoran di Pulau Pinang yang menggunakan pendekatan sama.
“Sebenarnya, dengan harga murah lebih ramai pelanggan datang malah peniaga masih boleh untung walaupun menu-menu ditawarkan dengan harga berpatutan,” katanya. – UTUSAN











