TAHUN 2023 barangkali paling istimewa buat penyanyi lincah, Stacy apabila bakal beraksi dalam konsert solo di pentas berprestij, Dewan Filharmonik Petronas (DFP).
Lebih sedekad bergelar anak seni, Stacy akhirnya mendakap satu-satunya impian yang tersimpan sejak mula melangkah dalam industri hiburan.
Konsert solo, DFP Presents: Stacy melengkapi perjalanan 15 tahun penyanyi yang mendapat jolokan sebagai ratu tari negara ini.
Dalam wawancara di DFP, baru-baru ini, Stacy berkongsi keterujaannya yang sudah mampu menarik nafas lega apabila impian untuk beraksi dalam konsert solo akhirnya tercapai.
“Semua sudah saya lakukan seperti terbitkan album, membuat persembahan dari satu negeri ke negeri lain dan banyak lagi. Satu sahaja impian saya yang belum tercapai iaitu menjayakan konsert sendiri.
“Disebabkan itu, saya gembira dan teruja apabila pihak DFP menawarkan peluang ini. Konsert ini adalah peluang keemasan yang saya nanti-nantikan,” kata Stacy.
Bagai mimpi di siang hari, begitulah perasaan penyanyi kecil molek ini apabila dilamar untuk beraksi dalam konsert solo tersebut.
Katanya, dia tidak menyangka penyanyi lagu Pop Dance sepertinya menjadi pilihan untuk membuat persembahan di pentas ternama itu.
“Saya tidak pernah bermimpi untuk beraksi secara solo di pentas gah ini. Tambahan pula, genre lagu saya lebih terarah kepada pop dance yang mungkin jarang dipersembahkan di DFP.
“Peluang yang mungkin datang sekali sahaja ini tidak akan saya sia-siakan. Saya akan pastikan bentuk persembahan yang bakal disajikan nanti berbeza dan lebih istimewa berbanding acara lain yang pernah saya jayakan sebelum ini.
“Saya benar-benar berharap peminat yang mengikuti perjalanan kerjaya saya sejak 15 tahun lalu akan hadir beramai-ramai menyaksikan konsert itu nanti.
“Saya mahu meraikan momen satu dalam sejuta ini bersama mereka pada malam itu nanti,” katanya lagi.
Berkongsi tentang kelainan yang akan dibawakannya, ibu tiga cahaya mata ini mendedahkan sedikit konsep persembahan yang bakal disajikan.
“Mungkin saya akan mempersembahkan konsep Broadway. Menerusi persembahan ini, saya akan tampilkan kelainan dan buktikan saya mampu membawakan genre lagu yang lebih variasi.
“Bukan mudah untuk mendapat peluang membuat persembahan di DFP, jadi saya akan berikan sepenuh hati pada malam itu nanti. Saya mahu puaskan penonton menerusi 16 hingga 17 lagu yang akan dipersembahkan,” ujarnya.
EVOLUSI PERJALANAN KERJAYA
Dalam kerancakan bercerita tentang konsert tersebut, Stacy mengakui, momen itu cukup personal untuk dirinya.
Katanya, penonton yang hadir nanti bakal menyaksikan untaian persembahan yang menjadi penceritaan kepada perjalanan kerjaya seninya.
“Penonton akan melihat evolusi dari awal pembabitan saya yang banyak membawakan lagu-lagu rancak sehingga fasa perubahan apabila mula menulis dan menghasilkan lagu.
“Apa yang boleh saya katakan, persembahan ini sangat istimewa dan lain daripada yang lain. Saya jamin penonton akan berpuas hati,” kongsinya.
LEBIH KENAL DIRI, KEUPAYAAN
Antara soalan yang diajukan, mampukah dia mengekalkan tenaga yang sama seperti ketika fasa awal kemunculannya dahulu?
Kata Stacy, tentunya kini dia lebih mengenali kemampuan dan kekuatan diri untuk diserlahkan di pentas DFP nanti.
“Saya akui, genre yang saya bawakan memerlukan saya memberikan sepenuhnya apa yang saya ada iaitu menyanyi dan menari. Selepas melahirkan cahaya mata pada 2017, momentum yang saya jaga sebelum itu menjadi terumbang- ambing.
“Seiring peningkatan usia dan perubahan hidup, saya ambil tempoh bertenang untuk kenal diri dan kemampuan sebenar. Rupa-rupanya, sebelum ini, saya terlupa untuk lebih relaks.
“Tenaga saya dahulu berlainan, tetapi keupayaan saya sekarang bertambah dan lebih berbeza. Saya lebih kenal diri dan badan sendiri. Saya juga lebih mahir mengawal keupayaan dan itu akan memberikan lebih impak dalam setiap persembahan saya. Insya-Allah, saya boleh buat yang lebih baik,” janji Stacy.











