Pecat, gantung perkara biasa dalam politik

Pecat, gantung perkara biasa dalam politik

KEPUTUSAN menggantung dan memecat ahli termasuk beberapa veteran oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dipengerusikan oleh Ahmad Zahid Hamidi menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan orang Melayu dan bukan Melayu. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGGANTUNGAN dan pemecatan hampir 42 ahli UMNO termasuk beberapa veteran yang pernah menjawat jawatan tertinggi menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan orang Melayu, mahupun bukan Melayu. Keputusan tersebut diambil dalam persidangan Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dipengerusikan oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini.

Tindakan disiplin diambil terhadap beberapa ahli bahagian termasuk di Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan bukan sahaja menarik perhatian para politikus, malah orang awam kerana pemimpin yang terlibat adalah pemimpin-pemimpin yang banyak berjasa kepada UMNO malah pernah menjawat jawatan menteri dalam Kabinet Barisan Nasional (BN) dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Antara pemimpin yang popular malah dianggap sebagai tiang seri kekuatan UMNO secara amnya dan di Selangor secara khususnya, Tan Sri Noh Omar yang pernah menjawat jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan Khairy Jamaluddin, bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dipecat manakala Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein digantung keahlian.

Pemimpin-pemimpin UMNO yang dipecat dan digantung tersebut adalah atas dakwaan mereka mencalonkan diri sebagai calon Bebas, dicalonkan untuk parti lawan dan membantu parti lawan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Tindakan MKT memecat dan menggantung pemimpin-pemimpin serta ahli-ahli dikecam oleh segelintir pemimpin UMNO yang lain termasuk Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bekas Perdana Menteri merangkap Naib Presiden parti.

Persoalannya, apakah UMNO tidak boleh memecat dan menggantung ahli yang bertindak bertentangan dengan kepentingan parti? Ahli-ahli yang didakwa menentang kepentingan parti pernah dipecat dan digantung dalam sejarah UMNO sejak ditubuhkan pada 1946. Menurut laporan akhbar, UMNO pernah memecat kira-kira 100 ahli yang didakwa menjalankan aktiviti menentang calon-calon BN dalam PRU 1974.

Tindakan pecat dan menggantung ahli-ahli demi meluhuri perlembagaan dan mengekal disiplin adalah perkara biasa bagi parti-parti politik sama ada besar atau kecil. Sehubungan ini, MIC yang merupakan parti politik mewakili kepentingan kaum India di negara ini yang juga komponen BN pernah menyaksikan episod pecat-memecat dan gantung-mengantung ahlinya sejak ditubuhkan pada 1946. Era kepimpinan Tun S. Samy Vellu pernah melihat ramai pemimpin barisan hadapan dan ahli MIC dipecat dan digantung. Mereka yang dipecat dan digantung didakwa kumpulan yang cuba menumbangkan Samy Vellu daripada jawatan Presiden.

BERTELAGAH

Antaranya, Tan Sri M.G. Pandithan, Naib Presiden yang dipecat pada 1988 kerana diakwa bertindak bertentangan dengan kepentingan MIC, malah bertelagah dengan Samy Vellu. Datuk V. Govindaraj, Naib Presiden malah seorang rakan setia Samy Vellu selain bekas Ahli Parlimen Klang, juga pernah dipecat daripada MIC. Selain itu, beberapa ahli yang berpengaruh di Selangor juga pernah dipecat atas dakwaan melanggar kepentingan parti secara amnya dan menjalankan aktiviti menentang kepentingan MIC pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor pada 2010.

Malah, mendiang Tan Sri S. Subramaniam, Timbalan Presiden dan Datuk K. Pathmanaban, Naib Presiden yang kedua-duanya pernah menjawat jawatan timbalan menteri, juga pernah menghadapi jawatan kuasa disiplin parti dan hampir dipecat daripada MIC pada era kepimpinan Samy Vellu.

Namun, keputusan mengambil tindakan pecat dan menggantung seseorang ahli perlu dipastikan selaras dan berlandaskan perlembagaan serta prosedur disiplin parti. Malah mengambil keputusan pecat seorang ahli yang banyak berjasa kepada parti perlu dilihat adil, bukan sahaja dari kaca mata perundangan parti malah dari persepektif sentimen sebahagian besar ahli.
gelombang kemarahan

Tindakan pemecatan dan penggantungan ahli-ahli veteran parti sudah pasti menimbulkan gelombang kemarahan malah tidak kepuasan hati dalam kalangan ahli-ahli terutama menjelang menghadapi PRU.

Sebagai contoh, kita lihat orang Melayu menolak UMNO di Perlis pada PRU15 kerana Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim dan beberapa ahli parti dipecat. Pemecatan pemimpin dan ahli di Perlis sebelum PRU15 dikatakan menyebabkan orang Melayu menolak UMNO sehingga kejatuhan BN dan kemenangan PN di negeri itu.

Apa pun, sudah jelas tindakan MKT memecat dan menggantung beberapa pemimpin dan ahli yang berpengaruh telah menimbulkan persoalan malah keresahan dan kerisaun dalam kalangan segelintir ahli UMNO serta pemimpin dan ahli parti-parti komponen BN. Antara persoalan yang timbul, apakah majoriti ahli UMNO di akar umbi menyokong tindakan tersebut dan yakin terhadap kebijaksanaan kepimpinan parti?

Apakah ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi yakin kepimpinan semasa mampu mengemudi parti dalam menghadapi cabaran-cabaran semasa dan masa depan? Apakah kepimpinan UMNO kelihatan bertanggungjawab dan komited terhadap amalan prinsip demokrasi dan keadilan dalam mengurus parti? – UTUSAN

DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosial & politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×