Meratapi setahun Covid-19 di Malaysia - Utusan Malaysia

Meratapi setahun Covid-19 di Malaysia

RAKYAT mahu pemimpin politik memberi tumpuan kepada usaha melawan Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA tarikh 25 Januari tahun lalu, negara dikejutkan dengan kes jangkitan wabak Covid-19 pertama. Ia membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia.

Di saat kebimbangan ramai pihak, situasi itu digambarkan ‘masih terkawal’. Kemudiannya, kerajaan membuat keputusan menggantung sementara kemasukan rakyat China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei serta sekitarnya.

Selepas disahkan berlaku pertambahan kes positif sehingga tujuh kes, kerajaan turut memutuskan membawa pulang rakyat Malaysia di wilayah berkenaan.

Pada penghujung Januari, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai darurat kesihatan dunia. Dan sejak itu, kes semakin meningkat.

Negara memasuki gelombang kedua Covid-19 bermula 27 Februari selepas 11 hari tidak mempunyai kes baharu apabila pada gelombang pertama jangkitan wabak itu di negara ini merangkumi 22 kes.

WHO kemudiannya mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik pada 12 Mac selepas mengambil kira peningkatan ketara kes di negara selain China.

Situasi semakin buruk apabila pada 16 Mac, sebanyak 125 kes baharu dilaporkan positif menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 553. Sejumlah 95 daripada 125 kes baharu dikaitkan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling.

Sehari berikutnya, Malaysia mencatat dua kematian pertama akibat wabak itu melibatkan seorang lelaki yang menghadiri satu perhimpunan tabligh di Sri Petaling dan seorang lagi membabitkan lelaki berumur 60 tahun di Kuching, Sarawak.

Sebagai langkah drastik bagi mengekang situasi lebih dahsyat berlaku, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac. Tindakan itu tampak berkesan apabila Malaysia kali pertama mencatatkan sifar kes jangkitan baharu pada 1 Julai.

Bagaimanapun, situasi melegakan itu hanya bertahan dua bulan. Malaysia dilanda gelombang ketiga pandemik itu pada 20 September. Bilangan kes mula meningkat kepada tiga angka.
Gelombang ketiga ini bermula di negeri Sabah selepas Pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) sekali gus merebak semula ke negeri-negeri lain di Semenanjung.

Susulan itu, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mengikut situasi semasa Covid-19 di beberapa kawasan yang terlibat.

Berdasarkan capaian data nasional, bilangan kumulatif kes Covid-19 adalah meningkat dari 32,505 pada 1 November kepada 84,846 kes pada 14 Disember, iaitu peningkatan sebanyak 161 peratus dalam masa 6 minggu.

Kumulatif kes kematian yang dilaporkan meningkat dari 249 kes pada 1 November kepada 419 kes pada 14 Disember, iaitu peningkatan sebanyak 68 peratus.

Dan situasi itu belum nampak tanda-tanda berakhir malah semakin meningkat pada permulaan awal tahun baharu sehingga merekodkan jumlah tertinggi iaitu 4,275 kes pada 23 Januari selepas mencatatkan 4,029 kes seminggu sebelumnya.

Mengulas mengenai episod pertarungan setahun pandemik Covid-19, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah meluahkan kesedihan beliau dan menggambarkan perjuangan ini masih belum berakhir.

Beliau yang dianggap ketua panglima negara dalam melawan peperangan ini menyifatkan, walaupun semua berasa penat dan lesu dari segi mental dan fizikal, kita semua perlu terus berjuang.

“Semua orang, tidak kira siapa, perlu berganding bahu memikul tanggungjawab ini demi menyelamatkan negara,” ujarnya dalam Twitter beliau.

Seluruh negara ketika ini dalam PKP sehingga 4 Februari sebagai satu usaha mengawal seterusnya melandaikan lekuk jangkitan wabak itu.

Sama ada jangkaan Malaysia boleh merekodkan kes harian Covid-19 sehingga 8,000 kes pada minggu ketiga Mac ini, hanya kita semua yang boleh menafikan ramalan itu.

Walaupun sudah agak muak dan bosan mendengar pesanan patuh SOP, duduk di rumah jika tiada urusan, namun inilah perisai utama bagi mengakhirkan peperangan ini. Simpatilah kepada petugas barisan hadapan yang masih belum berkeupayaan meletakkan ‘senjata’ peperangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×