SELAMA ini soal pendidikan tanpa ‘roh’ menjadi utama dalam dunia pendidikan. Ini ekoran buku berjudul Kecemerlangan tanpa Roh oleh seorang profesor universiti terkemuka di Amerika Syarikat terbitan 2006. Mengikutnya, universiti tersebut ‘lupa’ akan pendidikan.
Ada yang berpendapat bahawa teguran dibuatnya mudah dipanjangkan kepada pelbagai universiti lain. Utama daripada kritikan ini ialah bagaimana tujuan asal universiti untuk menzahirkan insan serta warganegara bertanggungjawab telah terpesong.
Soal akhlak serta moral nampaknya tidak dipedulikan dan gagal memberi sebaik-baik pendidikan. Tambahan pula ini membantut pertumbuhan sebagai seorang berhemat. Maksudnya, iltizam pendidikan terus tercabar umpama pendidikan tanpa ‘roh’.
Dalam amanat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin minggu ini, kritikan juga dirasai, walaupun isu-isunya tidak sama. Namun, ketiadaan ‘roh’ tetap ketara. Ambil contoh apabila sektor pendidikan tinggi pernah menjadi tanggapan utama penyediaan graduan demi sebuah pasaran kerja. Yakni aspek kebolehpasaran selama ini diakui petunjuk segala kejayaan pendidikan kononnya.
Ataupun ‘deretan jurnal impak tinggi’ dan ‘prestij’ sedang impaknya ke atas aspirasi nasional tidak diterjemahkan dengan jelas sebagai pulangan bermanfaat kepada masyarakat yang amat memerlukan. Selain itu, soal ‘kepercayaan’ (mahupun keyakinan dan amanah) terhadap kerajaan dan institusi serta agensinya juga disebut sebagai faktor terpenting tetapi nilainya semakin mengecil dan terpencil. Tidak kira apa sektor dan ruang amanah jua pun.
Lantas Malaysia dan segala sistemnya diragui dan dipersendakan, serentak mengalami kemelesetan kepercayaan yang sangat meruncing apatah lagi disogok berita palsu, dongengan media sosial yang memuntahi kemuflisan intelektual amat jelik. Sedangkan sebaliknya yang wajar menyerlah: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mesti merupakan yang paling dipercayai dan diyakini sebagai pemegang amanah tiada tolok bandingannya.
Pengkhianatan dalam apa bentuk dan sekecil mana hanya membukti betapa ‘roh’ pendidikan sudah lama terkubur. Pendidikan tidak bermakna lagi kerana ia boleh dijual beli dan diperdagangkan dalam liga yang turut dipersundalkan dengan harga mahal. Indah khabar dari rupa kerana asasnya cukup rapuh dan rakus.
“Saya mahu mengembalikan semula kepercayaan ini,” tegas Mohamed Khaled. Satu tekad yang sudah sampai ketikanya, “subur dengan amanah dan integriti.” Berani menyatakan yang hak, tanpa gementar atau mengampu bodek siapa sahaja. Budaya buruk yang dipendam begitu lama meracuni ‘roh’ pendidikan sama ada disedari atau tidak, perlu dinyahkan!
TIGA FORMULA
Maka tanggal 30 Januari lalu menjadi garisan penamat, satu hari keramat yang tidak diduga. Bermula pada 2023 beberapa azam, tekad dan fokus diutamakan beliau. Bertolak segera dari perkara-perkara yang harus didahulukan.
Sekali gus, KPT dan semua agensi di bawahnya digesa “menterjemahkan aspirasi nasional secara tegas, tuntas dan tepat” -formula 3T – agar semuanya hidup rukun dan damai, mendukung prinsip, menjunjung ilmu dan nilai, taat beragama dan sarat dengan imaginasi dan ilham untuk kebaikan dengan sentuhan yang lebih baik, sesuai dengan sifat zaman.
Berbakti pada masyarakat, diyakini pula di peringkat antarabangsa tanpa menjual maruah diri serta tanah air. Hal ini berkaitan rapat nilai serta kemahiran yang beradun dalam sekurang-kurangnya tiga kecenderungan utama: pertama, ketinggian seni budaya. Kedua, ketinggian teknologi, serta ketiga, ketinggian sentuhan insani – formula 3K.
Kemahiran seni budaya perlu dipertingkatkan dengan kualiti rekaan dan daya cipta memberangsangkan. Muzik yang merentasi telinga dunia. Lukisan yang menyentuh kalbu. Tenunan yang menghalusi jalur naluri manusiawi. Ketinggian teknologi pula mendukung setiap satu proses dengan kecanggihan tanpa mengetepikan suntingan manusia yang luhur menyimpul pelbagai atur cara serta algoritmanya demi penzahiran jati diri manusia terdidik. Tidak belot.
Manakala ketinggian sentuhan insani membawa ketinggian darjat nilai hidup untuk diperkongsikan seantero. Ia berupaya membulatkan azam kemanusiaan kerana meletakkan kepedulian insani teratas sebagai ‘roh’ yang mensejahterakan. Rangkuman 3K jika digabungkan dengan 3T sudah tentu memacu lagi pembentukan peradaban madani hari muka.
Set formula seterusnya adalah 3S – smart-sharp skills dan Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Setara) – yakni kemahiran pintar lagi tajam disantuni Setara. Pintar dalam olahan sesama manusia merentas kemanusiaan, dengan lebih bersedia secara kognitif, lentur serta akur merendah diri untuk belajar dan patuh apabila perlu. Seiring, tajam kebijakan dalam pengendalian komputer, termasuk pengurusan bersifat saintifik, dan melamar pemikiran sistem dinamik.
Umumnya, tidak terhad memahami inti pati ilmu disiplin yang mereka pelajari, tetapi menunjukkan kematangan mengawal emosi, menguasai pelbagai bahasa, kecekapan berunding, mampu pula memimpin, berbincang dan bekerja secara berhemat dalam satu pasukan.
Semua ini dikatakan rintisan terbaru untuk mengembalikan semula kecemerlangan akademik ke tahap yang lebih ampuh, bermutu dan benar-benar dihormati. Hanya melalui pendidikan yang mantap serta kecemerlangan akademik, baharu tradisi intelektual dapat dibangunkan tanpa ragu.
Ia menuntut gabungan 3S ini, sederap 3K dan 3T bagi memulihkan semula ‘roh’ yang telah lama luntur dan tidak bermaya supaya memekarkan sebuah pendidikan ala Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang boleh digarap melalui naratif timbang tara yang adil.
Amat penting, oleh itu, diteliti semula kerangka penilaian, kriteria, kaedah, dan petunjuk sumbangan yang ada khususnya pada Setara, menjadikannya lebih relevan dan diubah suai untuk mencakup tiga formula tiga tadi. Serentak mengambil kira dua antara enam rukun Malaysia Madani yakni kesejahteraan dan kelestarian.
Tidak ketinggalan baki empat rukun lain dalam kerangka melibatkan kearifan tempatan dalam ruang lingkup yang luas lagi penting, bak ujar Menteri Pendidikan Tinggi. Apatah lagi pergelutan melepaskan diri dari belenggu penjajahan baharu agar tidak lagi terikat dan mengikut membabi buta kepada perkiraan dan penilaian yang dikenakan mengikut percaturan dan muslihat sempit mereka.
Ternyata pendidikan kini di persimpangan untuk mengembalikan semula ‘roh’ pendidikan sepenuhnya. Syabas KPT. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











