Lima keluarga terima hadiah banjir paling berharga

Lima keluarga terima hadiah banjir paling berharga

RAJA Sahrin Tengku Ismail mendayung bot menuju ke rumahnya di Kampung Seberang Batu Badak, Segamat yang dikurniakan oleh Sultan Johor pada 2016.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Sebuah rumah kurniaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kepada setiap li­ma keluarga di Kampung Seberang Batu Badak di sini, menjadi hadiah paling berharga sewaktu banjir.

Seorang penerima, Raja Nurul Rosyiidah Raja Sahrin, 26, berkata, kurniaan itu diterima keluarganya serta empat lagi keluarga di kampung tersebut pada tahun 2016.

“Kampung saya memang se­tiap kali musim tengkujuh akan banjir. Banjir bukan biasa-biasa, tetapi pernah sampai tenggelam rumah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Waktu itu saya berumur 18 tahun. Apabila dimaklumkan kami terpilih untuk dapat rumah baharu, saya sangat ber­syu­kur dan terharu kerana ba­gin­da berkenan membina rumah baharu untuk kami.

“Alhamdulillah syukur, rezeki dapat rumah tinggi yang dapat kami berlindung lapan beranak,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Bapanya, Raja Sahrin Tengku Ismail, 57, yang sebelum ini bekerja sebagai nelayan sungai tidak mampu untuk membina atau mengubah suai rumah pe­ninggalan keluarganya.

“Apabila hujan tidak berhenti, saya dan isteri mula risau air akan naik. Risau keselamatan anak-anak dan barang keperluan rumah. Namun begitu, kami sekeluarga sudah lali. Dengan kata lain, sudah faham kami perlu bersedia untuk berkemas dan pindah ke PPS.

“Saya amat terkejut apabila baginda bertitah supaya Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menggunakan wang zakat membina rumah untuk saya dan empat lagi mang­sa banjir yang berada di PPS sewaktu itu (2016),” kata bapa kepada enam anak itu.

Isterinya, Hayani Abd. Aziz, 50, mengakui setiap kali banjir dia tidak menang tangan me­ngemas rumah.

“Saya pesan pada anak-anak supaya berkemas secepat mungkin. Selalunya orang lain mengemas rumah setahun sekali apabila lebaran menjelang tiba, tetapi kami di kampung ini setahun kadang-kadang dua tiga kali berkemas sebab banjir.

“Alhamdulillah rumah kurniaan sultan ini setinggi dua tingkat. Bahagian bawah kosong dan bahagian atas adalah rumah. Jadi apabila banjir, dapat kami simpan barang di rumah dan berpindah ke PPS,” kongsi­nya.

Pada tahun 2016, pembinaan rumah tersebut di bawah projek Rumah Bantuan Bina Baharu Rumah Terapung yang setiap sebuah bernilai RM100,000.

Rumah tersebut dilengkapi dengan tiga bilik selain kedudukannya yang dibina lebih tinggi berbanding rumah asal bagi memudahkan mangsa banjir berteduh sewaktu musim tengkujuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN