‘Nadhim anugerah terindah buat kami’ - Utusan Malaysia

‘Nadhim anugerah terindah buat kami’

Norazuani bergambar bersama keluarga sewaktu sambutan Aidilfitri lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pasangan Norazuani Abdol Latif dan Housne Al Baqhtar Suhaimi, berbangga dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki yang comel.

Nuqman Al Fayyad dan Nadhim Al Faqih dilahirkan normal tanpa sebarang komplikasi.
Dibesarkan dalam suasana penuh harmoni dan kasih sayang tanpa berbelah bahagi. Benarlah ada istilah mengungkapkan kelahiran anak mampu mengubah kehidupan ibu bapa dalam sekelip mata.

Pada 2021 , Norazuani dan suami bersepakat menghantar anak mereka di salah sebuah tadika pra Islam swasta di ibu kota sebagai pendedahan awal menimba ilmu.

Namun panggilan telefon daripada pengetua sekolah berkaitan perihal Nadhim pada 2020 merubah segala-galanya.

“Nuqman ketika itu berusia 5 tahun manakala Nadhim pula berusia 4 tahun.

“Belum sampai setahun bersekolah, cikgu memaklumkan Nadhim tidak sesuai meneruskan persekolahan atas faktor tingkah lakunya tidak seperti kanak-kanak lain.

“Mahu tidak mahu saya terpaksa memberhentikan Nadhim lebih awal, atas saranan pengetua walaupun hati sangat berat melakukannya,” katanya memulakan bicara mengenai anaknya yang disahkan autisme.

Begitupun Norazuani menjelaskan jauh di sudut hatinya, dia sebenarnya sudah terlebih dahulu menghidu sesuatu yang berbeza dalam diri Nadhim, namun hati cuba menafikannya.

“Saya perasan yang Nadhim tidak boleh bertutur lancar dan normal kalau dibandingkan dengan abangnya. Tetapi waktu itu, saya hanya memujuk hati dengan mengatakan itu normal,” katanya.

Ujarnya, keadaan Nadhim berlarutan sehinggalah seorang saudara sebelah suaminya yang berkhidmat sebagai doktor, menyarankan membawa Nadhim mendapatkan rawatan lanjut daripada doktor pakar.

“Secara jujurnya, pada waktu itu perasaan saya bercampur baur. Saya berasa sedih dan menangis semahu-mahunya. Saya terduduk. Sedikit sebanyak memberi tekanan kepada diri saya. Setiap kali seusai solat, saya mengadu kepada Allah SWT agar dikurniakan kesabaran, keimanan dan kekuatan untuk menghadapi ujian ini.

“Saya pujuk hati yang Allah SWT bagi ujian bersebab, ada hikmah dan tahu saya boleh melaluinya,” luah Norazuani.

Norazuani bersyukur kerana dikelilingi ramai insan yang memberi kata-kata perangsang dan semangat buat dirinya terutamanya suami, keluarganya dan mertua. Untuk itu, dia perlu bangkit demi masa depan anaknya.

Nadhim dirujuk doktor pakar
Demi mahukan yang terbaik untuk Nadhim, Norazuani dan suami membawa Nadhim ke salah sebuah hospital di sekitar ibu kota.

Kes Nadhim dirujuk dalam pengawasan daripada seorang doktor pakar psikatri dan cara kerja.

“Doktor masih belum boleh mengesahkan bahawa Nadhim dikategorikan autisme kerana umurnya masih kecil.

Hanya pada usia antara 7 atau 8 tahun, barulah boleh dibuat pengesahan.

“Doktor tidak menolak kemungkinan Nadhim mempunyai simptom autisme yang ada dalam dirinya hasil beberapa siri ujian pemeriksaan yang dijalankan sebelum ini,” katanya.

SEKOLAH PENDIDIKAN KHAS
Nadhim kemudiannya dihantar ke sekolah pendidikan khas iaitu Qamara Theraphy & Special Education yang terletak di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras. Doktor pakar juga menyarankan pasangan tersebut berbuat demikian untuk kebaikan Nadhim pada masa hadapan.

“Sejak menghantar Nadhim di sekolah khas, terlalu banyak perubahan telah berlaku. Daripada Nadhim tidak boleh bercakap langsung sekarang ada beberapa butiran percakapannya boleh difahami walaupun tidak lancar. Bukan itu sahaja Nadhim sudah mampu menguruskan diri sedikit demi sedikit,” katanya.

Katanya, kos yuran bulanan Nadhim di sekolah khas agak mahal namun pasangan ini tidak kisah, malah sanggup berkorban untuk Nadhim.

Disayangi semua
Keistimewaan Nadhim adalah dia gemar bertutur dalam bahasa English dari bahasa Melayu.

Karektor Nadhim yang manja, ceria dan berwajah comel membuatkannya disayangi ramai.

Nadhim paling manja dengan arwah datuknya yang sering melayani kerenah Nadhim penuh kesabaran.

Pun begitu Nadhim merupakan anak yang bijak. Dia suka dan pandai mengaji. Dia juga bersifat amarah dan akan mengamuk jika sesuatu yang diinginkan tidak dipenuhi. Ini dipanggil dalam istilah Tantrums di mana cara dia meluahkan perasaan dengan menangis berterusan tetapi masih boleh dikawal apabila dipujuk.

“Sebagai ibu bapa , kita perlu memainkan peranan penting, bertindak mengikut keadaan dan banyakkan bersabar menangani anak istimewa . Saya tidak pernah menganggap diri rasa terbeban menjaganya.

“Suami saya banyak membantu dari segi menguruskan perihal anak. Kami bekerjaya dan tetap berusaha meluangkan masa untuk keluarga kecil kami . Anak anak adalah anugerah terindah dan amanah berharga dalam hidup kami.

“Selagi masih hidup, kami berusaha memberi didikan sempurna terutama agama buat mereka. Kami tidak sanggup pulang dengan tangan kosong apatah lagi disoal oleh Allah SWT di akhirat kelak nanti,” kata Norazuani sebak.

SI cilik ini berkelebihan memujuk.
Jika Norazuani marah terhadapnya, dia akan datang dan terus mencium pipi ibunya sebagai tanda kemaafan.

Malahan guru sekolah khasnya juga memaklumkan demikian.

Norazuani menasihati ibu bapa yang mempunyai anak istimewa supaya tidak berasa rendah diri, takut, malu dan bersifat negatif.

“Mereka adalah anak syurga. Kita tidak tahu apa keistimewaan yang dimiliki oleh mereka ini. Yakinlah dengan janji Allah SWT. Rezeki tidak akan berkurangan selama mana kita menjaga mereka dengan sebaik mungkin.

“Teruskan menjaga dan mendidik mereka dengan penuh kasih sayang. Insya-Allah, ganjaran pahala yang Allah SWT sediakan menanti buat kita di dunia mahupun di akhirat,” kataya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×