Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Amanat Tahun Baharu 2023 pada 30 Januari lalu sarat dengan pelbagai idea baharu dan menarik, khasnya dengan 11 azam untuk menjadikan pendidikan tinggi Malaysia lebih mampan dalam mendepani cabaran semasa.
Menteri mahu membawa transformasi sebenar dan menyeluruh dalam sektor pendidikan tinggi negara.
Langkah radikal dan pragmatik, hakikatnya, amat diperlukan bagi institusi pendidikan tinggi (IPT) negara, memandangkan episod yang berlaku lima tahun lalu, khasnya ketidakstabilan politik negara telah menghambat kemajuan pendidikan tinggi Malaysia.
Episod berkenaan juga telah banyak melunturkan kepercayaan rakyat terhadap sistem yang wujud dalam negara berkaitan pentadbiran kerajaan dan yang terkait dengannya, termasuk pembangunan ekonomi.
Namun, krisis berkenaan tidak harus dijadikan alasan bagi IPT negara untuk tidak bergerak pantas ke hadapan. Langkah baharu yang radikal dan pragmatik mesti dipacu dan diterjemah ke dalam IPT negara.
Menteri amat menekankan perihal memikirkan semula hala tuju pendidikan tinggi negara yang dapat menjadi penyelesai masalah terhadap isu-isu rumit yang dihadapi oleh rakyat dan negara, seperti sekuriti makanan yang terjejas akibat perang Rusia-Ukraine, bekalan ubat-ubatan yang terencat akibat krisis global, dan fenomena banjir yang sudah semakin kerap terjadi di Malaysia.
Jalan keluar bagi isu-isu sistemik yang disebutkan ini ialah satu kerjasama bentuk baharu antara IPT, industri, komuniti dan kerajaan yang dapat menyelesaikan masalah rumit tersebut. Kerjasama inilah yang boleh memangkin satu anjakan dan lonjakan besar-besaran terhadap IPT sebagai Pusat Penyelesaian Masalah negara kerana IPT kaya dengan kepakaran bidang, khasnya universiti penyelidikan, dapat secara langsung berperanan dalam penyelesaian masalah negara.
Perkara yang benar-benar diperlukan sekarang ialah langkah radikal dan pragmatik dalam merekabentuk penyelidikan bentuk baharu, bermula dari penyelidikan asas (fundamental research), kemudian penyelidikan gunaan (applied research) dan akhirnya mencipta manfaat berskala besar kepada industri, komuniti dan kerajaan melalui penyelidikan berimpak tinggi (high impact research).
Penyelidikan berimpak tinggi akan menjawab keperluan para penyelidik di IPT untuk terus menerbitkan karya berimpak tinggi daripada penyelidikan, selain keupayaan penyelidik dalam mencipta impak lebih besar daripada hasil penyelidikannya kepada pemegang taruh, khasnya komuniti, industri dan kerajaan.
Bentuk penyelidikan sebegini memerlukan satu model yang boleh dicontohi oleh pelbagai pihak. Model yang wujud pada zaman terdahulu ialah penubuhan Tabung Haji menerusi kajian permasalahan ekonomi orang Melayu yang dibuat oleh Allahyarham Profesor Diraja Ungku Aziz. Ketokohan beliau tiada tolok bandingnya. Penubuhan Tabung Haji memberikan penyelesaian bagi masalah rumit umat Islam Malaysia untuk menunaikan Rukun Islam ke-5.
Lembaga Tabung Haji kekal berdiri teguh hingga kini menjadi sebuah entiti unggul pengurusan jemaah haji di dunia, selain entiti pelaburan negara. Tabung Haji adalah simbol keberhasilan tahap agung yang memanfaatkan umat dan dunia oleh ahli akademik tersohor.
Pada masa kini, kita memerlukan lebih banyak model penyelidikan kontemporari, khasnya penyelidikan berimpak tinggi, bagi menginspirasikan para penyelidik di IPT untuk menjalankan penyelidikan sedemikian.
Selain itu, sesuai dengan fungsi IPT dalam arena akademik, penyelidikan berimpak tinggi yang digagaskan itu harus mengambil kira penyelidikan yang dapat mencipta landskap baharu pengajaran dalam sektor pendidikan tinggi. Kesepaduan penyelidikan dan pengajaran menjanjikan satu keberhasilan agung yang dapat memacu agenda melahirkan graduan berkualiti tinggi dan berorientasikan masa depan, khasnya dalam memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang amat berpotensi memperkasakan peranan ahli akademik dalam arena pengajaran.
Langkah radikal dan pragmatik dalam IPT amat perlu diambil, lebih-lebih lagi senario pendidikan tinggi negara masih menampakkan perubahan yang lebih perlahan untuk menyesuaikan IPT dengan perkembangan dunia semasa, khasnya kepesatan teknologi AI, kesan wabak Covid-19 dan fasa pemulihan ekonomi.
Kini, perubahan yang radikal dan pragmatik diperlukan agar IPT boleh memecut berbanding ‘lari setempat’ atau ‘berjoging’. Langkah radikal dan pragmatik, seperti yang telah terpancar dalam Amanat Tahun Baharu 2023 Mohamed Khaled menjadi jawapan bagi persoalan melibatkan relevansi pendidikan tinggi negara, khasnya peranan IPT sebagai penyelesai masalah negara, sebagai wahana membina dan memperoleh kepercayaan rakyat terhadap institusi akademik dan penyelidikan negara.











