RM700 juta bangun semula Stadium Shah Alam tidak logik

RM700 juta bangun semula Stadium Shah Alam tidak logik

Stadium Shah Alam
STADIUM Shah Alam akan dibangunkan semula oleh kerajaan negeri Selangor. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang terdiri daripada Stadium Shah Alam, Stadium Malawati dan Stadium Mini dikhuatiri tidak dapat mencapai matlamat sebenar pelaksanaannya kerana kos yang diumum sebanyak RM787 juta disifatkan sebagai tidak logik.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi satu komen dalam satu hantaran di Instagram turut mengetengahkan kos pembinaan Stadium Shah Alam yang baharu bercirikan teknologi tinggi itu.

“SSI (Stadium Sultan Ibrahim) RM400 lebih juta sahaja. Stadium ini (Stadium Shah Alam) sekurang-kurangnya (RM) 2 bilion. Kerana mempunyai teknologi yang tinggi. (RM) 700 juta lebih tidak logik,” katanya.

Malah, satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, kos sebenar pembangunan semula stadium tersebut menelan belanja berbilion ringgit apabila pembinaan Stadium Shah Alam sahaja melebihi RM1.3 bilion.

Kos berkenaan adalah sekali ganda lebih mahal berbanding RM787 juta seperti diberitahu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada 15 Julai tahun lalu.

Perbelanjaan berbilion ringgit itu didakwa dicadangkan oleh kontraktor dilantik kepada kerajaan negeri, bagaimanapun, difahamkan masih belum ada kata putus dibuat oleh jawatankuasa khas dibentuk bagi pelaksanaan projek tersebut.

Kata sumber, jika dilaksanakan dengan nilai berkenaan, KSSA bakal kehilangan stadium tertutup serta Stadium Mini yang menjadi sebahagian daripada kemudahan sukan atas tapak tanah berkeluasan kira-kira 77 hektar itu.

Menurutnya, tidak didedahkan berapa jumlah bagi keseluruhan pembinaan semula fasiliti tersebut, walaupun dilaksanakan secara kerjasama awam swasta (PPP) dan wujud dakwaan land swap bagi projek tersebut, keluasan tanah yang perlu diserah berpadanan dengan nilai itu tidak didedahkan.

“Kos berkenaan adalah terlalu mahal dan jauh lebih tinggi berbanding pembaikan semula berjumlah RM787 juta serta cadangan-cadangan yang pernah dikemukakan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor iaitu RM250 juta dan RM300 juta.

“Penilaian daripada MBSA dan JKR Selangor dibuat pada 2017 dan 2021 dengan mengambil kira peningkatan kos dalam tempoh lima tahun sementara menunggu projek mega itu diluluskan oleh kerajaan negeri melalui jawatankuasa khas yang dilantik,” katanya.

Tambahnya, selain kos RM300 juta itu, JKR Selangor pada 2013 pernah mencadangkan kerja-kerja pembaikan semula bagi Stadium Shah Alam dan Stadium Malawati masing-masing berjumlah sekitar RM150 juta dan RM40 juta.

“Terdapat lebih 100 kerosakan perlu dibaiki yang merangkumi infrastruktur, elektrikal, mekanikal termasuk bahagian bumbung dengan tempoh masa diperlukan untuk penyelesaian kerja-kerja tersebut adalah sekitar dua tahun.

“Jumlah berkenaan juga diambil kira peningkatan kos selama lima tahun iaitu tempoh untuk kerja-kerja pembaikan kerosakan diluluskan,” jelasnya.

Selain itu, kebimbangan turut dinyatakan apabila projek tersebut dikatakan tidak melalui proses pemberian tender secara telus oleh kerajaan negeri berikutan wujud nama-nama syarikat lain selain yang dilantik kerana dipercayai mempunyai kepentingan terhadap pembangunan terbabit.

“Tindakan sedemikian dibimbangi bertentangan dengan hasrat kerajaan yang mahukan pentadbiran telus, sedangkan projek tebatan banjir di negeri ini pun ditangguhkan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu tiada rundingan terus wujud dalam projek-projek kerajaan,” tegasnya.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan nasib dialami stadium berkapasiti kira-kira 80,300 penonton itu yang dahulunya menjadi tempat penganjuran utama beberapa siri perlawanan akhir Piala Malaysia serta menganjurkan pertandingan bola sepak antarabangsa, dipercayai akan dirobohkan.

Polemik tersebut turut meraih perhatian bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohd. Khir Toyo dan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, beberapa ahli politik, organisasi bukan kerajaan (NGO) dan bekas pemain bola sepak Selangor.

Bagaimanapun, perkembangan status Stadium Shah Alam dan dua fasiliti di sekitarnya iaitu masih menjadi tanda tanya walaupun kerajaan negeri sudah menyerahkan surat niat (LOI) kepada pengendali projek Syarikat Malaysia Resources Corporation Berhad (MRCB) pada 15 Julai lalu.

Malah, pameran awam yang hendak diadakan pada September tahun lalu bagi memberi penerangan kepada masyarakat mengenai pembangunan KSSA tidak dilaksanakan.

Begitu juga dengan status roboh bangunan ikonik itu yang dikatakan mahu didedahkan pada Oktober tahun sama, namun masih tiada khabar berita sehingga hari ini.

Dalam pada itu, sumber sama turut memberitahu, ratusan maklum balas umum sudah pun diterima oleh jawatankuasa khas pembangunan semula KSSA, bagaimanapun lebih 50 peratus menyatakan bantahan terhadap projek tersebut.

“Saya yakin rata-rata pemberi maklum balas tidak mengetahui kos sebenar pembinaan semula stadium berkenaan berbanding baik pulih. Tetapi, lebih separuh tidak bersetuju stadium bersejarah itu dirobohkan, apatah lagi dikecilkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×