KECIL-kecil cili api. Perumpamaan itu tepat untuk menggambarkan enam hulubalang genit Unit Pengesan (K9), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seramai 92 mangsa tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor, akhir tahun lalu.
Biarpun bertubuh kecil, anjing-anjing pasukan SAR Cadevar daripada baka English Springer Spaniel dan Labrador Retriever itu sentiasa tangkas dan cekap dalam menjalankan tugasan.
Kemampuan Blake, Pop, Grouse, Frankie, Denti dan Lady di lapangan bukan calang-calang kerana pakar dalam mengesan mayat terperangkap bawah runtuhan di samping lemas di air.
Kelebihan itu membolehkan empat daripadanya dianugerahkan pingat Golden Performance oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, 9 Januari lalu.
Bagi yang tertanya-tanya bagaimana enam anjing pengesan berusia antara lima ke enam tahun itu bekerja, indikasi seperti menyalak, tidak bergerak dan menggali akan dipamerkan jika berjaya menghidu bau mayat di sesuatu kawasan.
Ketua Unit Pengesan (K9), PgKB II Donny Chap berkata, anjing daripada baka tersebut menjadi pilihan pasukan SAR Cadaver kerana saiz kecilnya membolehkan ia bergerak pantas dan menyelit di ruang sempit.
Berdasarkan ujian dilakukan, wira bomba yang jinak dan mesra itu mampu mengesan bau mayat sehingga lima meter di bawah tanah.
“Peranan aset hidup K9 sangat penting kerana tugasan JBPM berkait rapat dengan mencari mangsa dalam apa jua keadaan.
“Selain memudahkan kerja pasukan penyelamat, bantuan anjing pengesan dapat memendekkan tempoh pencarian dan mungkin boleh menyelamatkan nyawa,” katanya.
Fokus satu tugasan
Donny berkata, Unit Pengesan (K9) terdiri daripada empat disiplin berbeza iaitu SAR Cadaver (mayat), Urban Disaster (mangsa yang tertimbus dalam runtuhan), Wilderness (mangsa yang sesat/hilang dalam hutan atau gua) di samping Fire Investigation (siasatan kebakaran).
Keseluruhannya terdapat 24 anjing pengesan dengan masing-masing enam ekor diperuntukkan bagi setiap disiplin itu dan hanya fokus terhadap tugasan ditetapkan.
“Masih ada yang tidak faham tentang perkara ini, kalau tengok anjing pengesan, mereka fikir boleh buat semua kerja.
“Hakikatnya, setiap disiplin tidak boleh melakukan kerja lain dan kalau ditugaskan untuk mengesan mayat, maka anjing-anjing itu hanya fokus mencari mayat sahaja,” katanya.
Donny berkata, khidmat SAR Cadaver hanya dipanggil jika penilaian mendapati tiada mangsa selamat dalam nahas atau tragedi.
Keutamaan JBPM dalam mana-mana operasi adalah untuk mengesan dan menyelamatkan mangsa hidup terlebih dahulu.
2 bulan bina ikatan dengan pemegang
Setiap anjing pengesan dijaga dan diuruskan oleh seorang pemegang sejak aset hidup itu menyertai pasukan JBPM sewaktu ia berusia dua tahun.
Dalam SAR Cadaver, kesemua enam pemegang itu ialah PB Tony Albert Mani, PBK I Y. Thivagaran, PB Salbuddin Salleh, PBK II Leroy Kirah Dunging, PB Kenneth William dan PBK II Bonjovi Kilang.
Pertukaran pemegang boleh berlaku apabila pegawai dinaikkan pangkat atau bersara.
Donny berkata, mana-mana pemegang baharu akan menjalani latihan ikatan hubungan selama dua bulan bagi mencari keserasian dengan anjing, atau paling cepat pun, sebulan.
“Kebanyakan pemegang di Unit K9 ini berpengalaman lebih lima tahun menjaga anjing pengesan dan turut dilatih pakar-pakar dari luar negara bagi mengendalikan haiwan berkenaan,” katanya.
Tiga peringkat latihan disediakan buat anjing-anjing oleh pemegangnya iaitu asas yang merangkumi kepatuhan arahan, membina keyakinan dan stamina serta pengenalan kepada bau sasaran, manakala pertengahan pula melibatkan pendedahan kepada pelbagai kaedah pengesanan mengikut situasi dan keadaan.
Terakhir ialah latihan lanjutan yang merupakan simulasi berdasarkan elemen dipelajari di peringkat asas dan pertengahan agar anjing-anjing sentiasa bersedia dengan situasi sebenar.
2 kali urus anjing pengesan berbeza
Sebelum Pop, Bonjovi merupakan pemegang kepada anjing pengesan pasukan SAR Urban Disaster.
Anak jati Kampung Puak di Bau, Sarawak itu berkata, dia diberikan tugasan baharu itu sejak tiga tahun lalu selepas pemegang Pop ditukarkan ke Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart).
Tempoh lebih dua bulan diambil dalam membina ikatan dengan anjing jantan seberat 24 kilogram itu bagi memahami sifat dan ragamnya.
Bagaimanapun, beliau sudah biasa dengan anjing-anjing pengesan disiplin lain termasuk pasukan SAR Cadaver kerana pernah membantu memberi makan dan lain-lain.
“Saya tidak ada masalah mengambil alih tugasan menjadi pemegang Pop kerana kita sudah saling mengenali. Paling penting seseorang perlu pandai mengambil hati anjing serta mengenali sifatnya bagi memudahkan urusan kerja,” katanya yang lazimnya berkomunikasi dengan Pop dalam bahasa Inggeris dan Sarawak.
Pop yang berbadan tegap merupakan antara tiga anjing pengesan yang laju pergerakannya dalam pasukan SAR Cadaver, selain Frankie dan Denti.
Jelasnya, rutin harian bersama anjing pengesanitu bermula pada pukul 9.30 pagi dengan waktu makan sekali sehari pada pukul 3.30 petang, disusuli dengan bermain bola tenis selain latihan-latihan yang ditentukan mengikut jadual.
‘Tidak henti berkerja biarpun penat’
Anjing pengesan mempunyai sifat unik iaitu tidak akan berhenti bekerja walaupun penat, justeru amat mustahak untuk pemegang memahami situasi itu.
Sehubungan itu, Donny berkata, haiwan berkenaan perlu direhatkan seketika selang antara 10 ke 30 minit bekerja bergantung kepada keadaan bagi mengelakkan kelesuan.
“Tempoh kerja boleh jadi cuma 10 minit jika lokasi tragedi itu curam dan menuntut penggunaan tenaga yang banyak. Bila letih, lidahnya akan terjelir dan pergerakan jadi perlahan.
“Pemegang tidak boleh memaksa anjing meneruskan tugasan, sebaliknya rehatkan dalam tempoh tertentu untuk menaikkan semula semangatnya,” katanya.
Menurut Donny, anjing-anjing pasukan SAR Cadaver bekerja secara senyap dan hanya menyalak jika berminat kepada bau di kawasan tertentu.
Justeru, pemegang perlu memahami komunikasi disampaikan anjing mereka bagi mengesan lokasi mayat. Antara indikasi lain yang lazim ditunjukkan ialah tidak bergerak atau menggali tanah.
Haiwan berkenaan juga tidak boleh bekerja dalam keadaan bising kerana ia boleh menganggu fokus, justeru penggunaan jentera di kawasan tragedi juga, perlu dihentikan seketika.
Tempoh perkhidmatan anjing-anjing pengesan yang ditetapkan jabatan ialah lapan tahun.
Jika haiwan berkenaan masih dalam keadaan sihat berdasarkan saringan pihak veterinar, perkhidmatannya boleh dilanjutkan ke 10 tahun.
Selepas tempoh tersebut, aset hidup JBPM itu akan ditamatkan tugas dan bersara.
“Sepanjang tempoh persaraan itu, ia akan terus disimpan dan dijaga Unit K9,” katanya.
Risiko kencing tikus
Hulubalang genit JBPM ini berisiko terdedah kepada penyakit kencing tikus disebabkan tabiat menjilat air ketika menyertai operasi di lokasi tragedi.
Tindakan itu bukan disebabkan dahaga, sebaliknya bagi menghidu dan membezakan bau sasaran ketika kerja pengesanan dilakukan.
Donny berkata, semasa operasi di Batang Kali misalnya banyak lopak air di kawasan itu dan anjing cenderung untuk menjilatnya.
Mengenai pemakanan, anjing-anjing pengesan diberikan makanan kering khas iaitu palet untuk anjing bekerja yang tinggi dengan protein bagi membekalkan tenaga dan kecergasan.
Palet itu dicampur bersama makanan basah dan minyak ikan.
“Anjing makan sekali sehari pada pukul 3.30 petang dan hidangan tambahan akan diberikan jika terlibat operasi.
“Mana-mana anjing yang tidak mencapai berat ideal, makanannya juga akan ditingkatkan berdasarkan nasihat veterinar,” katanya.
Blake paling pemalu
Baru-baru ini tular video memaparkan Blake enggan turun daripada pentas selepas menerima pingat penghargaan dan telatah menghiburkan wira comel itu menarik perhatian ramai terutama para peminatnya.
Pemegangnya, Salbuddin berkata, situasi tersebut berlaku bukan kerana seronok naik pentas, sebaliknya Blake malu berdepan orang ramai.
Katanya, Blake merupakan yang paling pemalu dalam kalangan enam anjing pengesan SAR Cadaver selain tertib dan dan tidak hiperaktif seperti rakan lain.
“Saya menjaga Blake sejak 2018 lagi. Sepanjang tempoh lima tahun ini, tidak susah mengurusnya.
Salbudin berkata, sebelum SAR di Batang Kali, Blake sudah dikenali ramai semasa operasi di Simpang Pulai pada Mei tahun lalu.
“Kesungguhan Blake bekerja menyentuh jiwa saya. Malah kami bersama-sama mendaki hingga ke puncak gunung termasuk menempuh tiga peringkat air terjun bagi mengesan mayat mangsa lemas.
“Operasi itu cukup mencabar kerana Blake turut masuk ke dalam air selain pencarian di darat dan akhirnya berjaya mengesan cebisan daging mangsa.
“Sehingga kini Blake berjaya mencipta empat kejayaan peribadi mengesan mayat mangsa iaitu dalam tragedi runtuhan di Pulau Pinang dan Simpang Pulai di samping kes kebakaran di Cheras,” katanya.










