SEMPENA sambutan Tahun Baharu Cina, baru-baru ini, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan harapan semoga suasana perayaan seperti ini terus mengukuhkan dan mengeratkan perpaduan, semangat muhibah dan tolak ansur antara masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor turut berharap musim perayaan seperti ini menjadi unsur yang mengeratkan perpaduan dan keharmonian kaum serta diraikan dalam suasana muhibah, penuh toleransi dan saling menghormati.
Begitu juga Sultan Johor dalam perutusan baginda bertitah, perpaduan dan semangat muhibah sesama rakyat berbilang kaum dan agama perlu terus diperkasakan.
Tentu sahaja semua ini selaras konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri demi membina sebuah bangsa Malaysia yang maju dari sudut pemikiran, kerohanian dan kebendaan.
Apabila membaca tentang nilai dan aura positif yang diketengahkan para pemimpin dalam suasana sambutan Tahun Arnab, saya segera teringat akan akhbar Balai Muhibbah (ejaan lama) yang kemudian terbit dalam bentuk majalah dengan nama Balai Muhibah (ejaan baharu).
Susulan peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, Majlis Muhibah Negara (MMN) ditubuhkan untuk membantu memulihkan semangat perpaduan antara kaum.
Pada waktu itulah juga diperkenalkan prinsip Rukun Negara, khidmat Rukun Tetangga dan istilah ‘Bahasa Malaysia’ yang diyakini mampu membantu menghapuskan perasaan perkauman dan memupuk perpaduan.
Akhbar Balai Muhibbah diterbitkan oleh Kementerian Perpaduan Negara sebagai lidah rasmi MMN untuk mencerakin situasi dalam negara dan seterusnya menjadi wadah dan wahana perpaduan bagi rakyat pelbagai kaum dan agama. Keluaran sulung terbit pada 29 Disember 1969 dan dicetak 5,000 naskhah.
Pada mulanya, Balai Muhibbah terbit secara bulanan dalam saiz tabloid. Saiz itu berubah kepada 19 x 26.5 sentimeter (sm) mulai keluaran April 1978. Sejak Mac 1970, akhbar itu terbit dua kali sebulan tetapi hanya terbit dua bulan sekali mulai Oktober 1983.
MMN yang dipengerusikan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berperanan merapatkan semula hubungan antara kaum serta hubungan rakyat dengan kerajaan. Akhbar Balai Muhibbah diberi tanggungjawab memikul tiga peranan utama. Pertama, menyebarkan berita-berita muhibah di serata negara supaya penduduk dapat merasakan mereka rapat antara satu sama lain.
Kedua, menyiarkan berita, laporan dan dasar-dasar kerajaan atau keterangan yang boleh menjadi panduan kepada masyarakat pelbagai kaum demi perpaduan. Ketiga, menyiarkan penerangan kerajaan berhubung isu-isu sensitif demi meredakan sebarang perselisihan faham dalam masyarakat majmuk.
Selain daripada berita dan laporan tentang pelbagai aktiviti bercorak perpaduan di seluruh negara, Balai Muhibbah juga menyiarkan karya kreatif seperti sajak (puisi moden) dan cerpen (cerita pendek) oleh penulis pelbagai kaum.
Tentu sahaja ruangan ini menyumbang kepada perkembangan sastera kebangsaan, iaitu karya kreatif yang ditulis menggunakan bahasa kebangsaan.
LIPATAN SEJARAH
Pada peringkat awal, cerpen Tamil oleh penulis tempatan diterjemah untuk siaran. Misalnya, G. Soosai menterjemah cerpen Burung Pencari Rezeki karya Sanggu Shanmugam (Februari 1972), Isyarat Bahaya karya Mageswari Nadeson (Februari 1972), Pokok Pisang karya R. Karthigesu (Jun 1972) dan Garam di Laut, Asam di Darat karya S.V. Shanmugam (Julai 1972).
Selain sajak Tamil yang diterjemah, sajak asli tulisan penulis kaum India juga diterbitkan. Penulis paling menonjol ialah Joseph Selvam dari Jasin, Melaka yang banyak menulis tema perpaduan dan prinsip Rukun Negara.
Walaupun menulis karya bahasa Tamil sejak 1962 dan karya sastera kebangsaan sejak 1967, Joseph mengakui, “Hanya Balai Muhibbah yang mengenalkan saya sebagai seorang penulis.” (Balai Muhibbah, Oktober 1977)
Antara karya Joseph yang tersiar ialah cerpen Meena (Julai 1972) dan Orang Miskin Timun, Orang Kaya Durian (Ogos 1972), serta sajak Aku dan Kau (September 1972), Jagalah Kemerdekaan (Disember 1972), Tanah, Pepohon dan Lurah (Jun 1975) dan Oh Melaka (Disember 1978).
Muka depan akhbar Balai Muhibbah (Oktober 1972) memuatkan laporan N.S. Maniam tentang pelancaran kumpulan sajak Nadi Perpaduan oleh Menteri Perpaduan, Tun V.T. Sambanthan.
Penulisnya, Joseph yang merupakan guru di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Jasin serta tenaga pengajar Kelas Perpaduan Rakyat, terus unggul sebagai penulis prolifik, sebagaimana dihuraikan dalam rencana di ruangan ini pada 30 Julai 2022.
Selain Soosai dan Joseph, beberapa lagi individu kaum India mula menyinar menerusi Balai Muhibbah dengan menulis berita, rencana dan karya kreatif. Misalnya, Maniam yang menjadi wartawan dan penulis sajak, serta S. Pandian yang menulis berita dan rencana.
Hadiah Sastera Perpaduan diumum pada Jun 1977. Sejumlah 24 cerpen yang tersiar di Balai Muhibbah dalam tempoh dua tahun dinilai oleh panel. Keputusan diumum pada April 1979 dan pemenang ialah Raja Sabaruddin Abdullah, Iskandar Majid, Aminah Ahmad, Zahri Hashim, Ahmad Fauzi Mahmud dan Norhisham Mustafa.
Walaupun semua pemenang ialah penulis kaum Melayu, tidak bermakna penulis kaum India dan Cina tidak diberi ruang mengambil bahagian. Mungkin mutu karya mereka belum mencapai tahap yang dikehendaki. Apa-apapun, Balai Muhibbah berjaya melahirkan ramai penulis muda kaum India dan Cina.
Generasi sekarang mungkin langsung tidak tahu tentang kewujudan akhbar ini. Sumbangannya sebagai wahana perpaduan hanya tersimpan dalam lipatan sejarah yang diabaikan.
Konsep ‘madani’ yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya sudah beliau ketengahkan pada 1970-an. Maka, tentulah tidak keterlaluan jika kandungan Balai Muhibbah diselongkar kerajaan perpaduan untuk mencerakin dan memilih idea perpaduan, kemampanan, prihatin, inovatif, hormat, kepercayaan dan kemakmuran yang masih boleh diguna pakai. – UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.











