Impian sejak kecil kini jadi realiti - Utusan Malaysia

Impian sejak kecil kini jadi realiti

PENULIS memegang buku The Pink Elephant yang dihasilkan ketika berusia tiga tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK dapat digambarkan betapa terujanya saya tatkala membuka bungkusan yang baru sahaja diterima. Setelah menunggu sekian lama, akhirnya buku pertama saya, Daripada Remaja kepada Remaja telah siap dicetak dan kini berada di tangan.

Sukar untuk saya gambarkan perasaan ketika itu. Menghasilkan sebuah buku ialah impian saya sejak kecil. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana hari ini cita-cita itu menjadi kenyataan.

Saya mula menulis pada usia yang muda. Semuanya bermula hasil didikan dan galakan ibu. Buku memainkan peranan besar dalam kehidupan harian keluarga saya. Sejak saya dilahirkan, bilik tempat kami bermain dipenuhi dengan buku kanak-kanak. Ibu mengajar mengenal huruf dan nombor sebelum saya menjengah usia setahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Melihat kakak-kakak seronok membaca, saya juga mahu membaca supaya faham apa yang tertulis pada helaian buku-buku di sekeliling. Lantas saya meminta ibu ajarkan membaca. Alhamdulillah, berkat kesabaran ibu, pada usia tiga tahun saya sudah boleh membaca buku awal kanak-kanak dengan baik.

Kemudiannya saya mula belajar menulis. Bermula daripada menulis perkataan dengan huruf-huruf terpisah pada helaian berbeza, ibu mengajar saya kaedah penulisan yang sebenarnya. Setelah berhasil menggarap konsep penulisan, saya berjaya menghasilkan satu cerita pendek dinamakan The Pink Elephant (Sang Gajah Merah Jambu).

Ceritanya sangat ringkas, namun saya anggap ia sebagai satu kejayaan pada ketika itu. Malah, The Pink Elephant ialah satu permulaan ke dunia penulisan dan amat besar ertinya kepada saya sehingga ke hari ini.

Menggunakan pensel merah jambu, saya menulis cerita itu di atas sehelai kertas berwarna biru yang telah dilipat empat kali agar menjadi seolah-olah sebuah buku empat muka surat. Pada usia tiga tahun, saya menganggap itu ialah ‘buku’ pertama saya.

Ia lengkap dengan gambar pada muka hadapannya dan berakhir dengan kata-kata the end pada pengakhiran cerita, sama seperti buku kanak-kanak yang saya baca ketika itu.

Pada usia lima tahun, saya mula menulis di blog. Ketika itu saya hanya berupaya menulis dalam bahasa Inggeris. Walaupun pada umumnya dilihat mudah, namun menulis di blog memerlukan komitmen yang tinggi, apalagi pada usia saya ketika itu.

Namun, pengalaman itu mengajar erti tanggungjawab dan merangsang minat saya untuk terus menulis. Ibu juga menjadikan penulisan di blog sebagai salah satu medium mengajar kami bahasa Inggeris. Bagi saya, kaedah ini menyeronokkan, sangat berkesan dan tidak membosankan.

Melihatkan saya dan kakak-kakak meminati bidang penulisan, arwah ayah mula membawa kami menghadiri majlis-majlis pelancaran buku dan bertemu dengan penulis-penulis berpengalaman.

Suatu hari, arwah ayah memperkenalkan saya kepada Uncle Hulaimi yang baru sahaja menghasilkan sebuah buku hasil kompilasi tulisannya di blog. Bercakap dengan Uncle Hulaimi dan melihat bukunya yang baru diterbitkan itu, saya berasa kagum dan berhasrat untuk menjadi sepertinya suatu hari nanti.

FIKSYEN

Hal ini tambah merangsang minat saya dalam bidang penulisan. Sejak itu, saya bercita-cita untuk menghasilkan sebuah buku yang akan diterbitkan, dicetak dan dijual di pasaran. Justeru, saya memulakan satu projek untuk menulis sebuah buku cerita yang lebih panjang daripada The Pink Elephant.

Ketika itu saya berusia sembilan tahun dan sudah mula memahami konsep tulisan fiksyen. Ibu mengingatkan saya bahawa tanpa kesungguhan, projek ini tidak akan berjaya.

Bertajuk The Calovinia, cerita ini mengisahkan cereka pergelutan di sebuah negara bernama Calovinia di mana raja dan pemimpinnya berjuang mempertahankan daripada serangan negara musuh bernama Arguay.

Saya mengambil masa sekitar setahun untuk menyiapkan cerita yang mengandungi lebih 5,000 perkataan ini. Sesungguhnya ini ialah satu projek yang tidak mudah untuk saya jayakan. Saya berasa cukup puas dan gembira apabila akhirnya saya berjaya menyiapkannya dalam jangka masa ditetapkan.

Pencapaian terbesar saya adalah apabila diberikan peluang menulis dalam ruang sendiri di Utusan Malaysia bermula pada 2019. Saya amat berbesar hati dan teruja apabila ditawarkan peluang sebesar ini.

Kali pertama melihat tulisan sendiri di akhbar ini ialah salah satu kenangan paling manis bagi saya. Sesungguhnya, pengalaman menulis di akhbar adalah sangat istimewa dan tidak ternilai harganya. Menulis mematangkan kita dan banyak membantu saya sebagai seorang pelajar.

Selepas ayah meninggal dunia pada 2018, tokoh pendidikan, Allahyarham Profesor Datuk Dr. Sidek Baba mula membimbing saya secara serius. Beliau yang mesra disapa Cikgu Sidek amat mengambil berat dan memantau kehidupan dan pelajaran saya dengan teliti. Beliau menggalakkan saya menulis tentang isu-isu remaja khususnya nilai-nilai murni dan pembangunan sahsiah diri secara madani.

Pada akhir 2021, Cikgu Sidek memberitahu bahawa saya sudah bersedia untuk menghasilkan buku sendiri. Cikgu Sidek yang menguruskan projek ini sepenuhnya berkata, penerbitan buku ini ialah satu hadiah dan galakan untuk saya terus menulis.

Buku ini mengumpulkan pilihan tulisan-tulisan saya berkenaan topik pembangunan diri remaja dari 2019 sehingga 2021. Rupa-rupanya ini merupakan projek terakhir Allahyarham Cikgu Sidek sebelum beliau meninggal dunia pada 25 November tahun lepas.

Namun, sayangnya beliau telah pergi meninggalkan kita sebelum buku ini siap dicetak. Semoga Allah SWT membalas jasa dan budi baik Allahyarham Cikgu Sidek yang sepanjang hayatnya telah menabur bakti demi agama, bangsa dan negara. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×