MASYARAKAT Cina di negara ini amat mementingkan perayaan Tian Gong Dan atau Bai Tian Gong yang diadakan pada hari kesembilan bulan pertama kalendar lunar Cina, iaitu Isnin ini. Ia juga dikenali sebagai Tian Gong Sheng (hari keputeraan Dewa Langit – Maharaja Jade). Bai bermaksud memuja, Tian Gong pula bermaksud Dewa Langit.
Bagi kebanyakan orang Hokkien, perayaan itu dianggap lebih penting daripada sambutan Tahun Baharu Cina. Menurut legenda, semasa Dinasti Ming, lanun Jepun menceroboh persisiran pantai wilayah Fujian. Penduduk di situ melarikan diri dan bersembunyi di dalam kebun tebu.
Kebetulan hari tersebut hari kesembilan Tahun Baharu Cina, penduduk beranggapan Tian Gong telah menyelamatkan nyawa mereka. Oleh sebab itu, mereka pun memuja Dewa Langit itu pada awal pagi hari kesembilan, bulan pertama setiap tahun sebagai tanda bersyukur kepadanya.
Perayaan berkenaan menjadi salah satu adat orang Hokkien menjelang Tahun Baharu Cina. Orang Hokkien akan memuja Tian Gong di rumah atau tokong agar memperoleh berkat dan tuah sepanjang tahun.
Bahan-bahan pemujaan yang diperlukan untuk perayaan terbabit termasuklah lima jenis benda hidup dan lima jenis buah. Lima jenis benda hidup itu ialah ayam, ketam, udang, ikan dan daging yang dimasak. Selok-belok penyediaan bahan pemujaan tidak boleh dipandang remeh.
Misalnya, ikan perlu dalam keadaan yang sempurna, yakni perut dan sisik ikan tidak boleh dibuang. Penyepit ketam mesti dikekalkan pada badan haiwan itu kerana membawa maksud menghalang bencana atau melindungi harta benda.
Lima jenis buah pula ialah nanas, epal, limau, anggur dan limau bali yang masing-masing melambangkan beruntung (ong), sejahtera, berjaya, bernasib baik dan berharta.
Lazimnya, orang Hokkien bersiap sedia untuk perayaan itu pada malam hari kelapan. Adat pemujaan bermula pada tengah malam dan diteruskan sehingga awal pagi keesokan hari.
Sehari sebelum hari sambutan, setiap keluarga orang Hokkien sibuk membersihkan rumah dan membuat kuih angku serta kuih-muih lain sebagai bahan pemujaan. Kuih angku berwarna merah dan dicap dalam motif cengkerang kura-kura melambangkan panjang umur.
Di wilayah Fujian dan Sichuan di China, adat Bai Tian Gong adalah lebih meriah daripada sambutan tahun baharu dan menyambut Cai Shen (Dewa Harta). Selepas adat itu, penduduk setempat akan makan bersama secara besar-besaran sebagai tanda bertemu semula dan bertuah.
Adat tradisi ini diwarisi secara turun-temurun memperlihatkan usaha orang China menghalau sial dan musibah serta mengharapkan kebahagiaan dan kesejahteraan hidup.
Di Malaysia, Pulau Pinang dan Selangor khususnya di Klang didiami banyak orang Hokkien. Kedua-dua negeri ini menjadi meriah sekali semasa sambutan perayaan berkenaan. Masyarakat Hokkien mewarisi tradisi budaya yang beribu-ribu tahun lama sejarahnya dari Fujian.
STABIL
Sebelum berhijrah ke Tanah Melayu, kebanyakan nenek moyang orang Hokkien mencari rezeki dengan bercucuk tanam. Mereka ditimpa pelbagai rintangan ketika berhijrah ke sini. Apabila tiba, mereka berusaha bersungguh-sungguh dalam menerokai tanah dan menjalankan perniagaan. Lama-kelamaan, kehidupan mereka semakin stabil. Mereka sedar kejayaan dan pencapaian itu tidak datang bergolek.
Oleh itu, mereka amat menghormati dewa pujaan. Setiap kali menjelang perayaan, mereka pasti akan memuja dewa dan memohon semoga maju dalam kerjaya dan ahli keluarga di kampung halaman sihat dan sejahtera.
Masyarakat Hokkien di Malaysia bersemangat waja dan tidak mudah mengalah. Mereka juga sentiasa memohon berkat daripada dewa pujaan. Perayaan itu yang disambut setahun sekali amat dititikberatkan oleh mereka.
Mereka akan menyambutnya secara besar-besaran. Mereka percaya jumlah wang yang dibelanjakan dapat mencerminkan tahap kesanjungan mereka terhadap Tian Gong.
Di Pulau Pinang dan Klang, Selangor; bahan pemujaan seperti tebu dan daging panggang tidak akan terkecuali ketika perayaan terbabit. Di Pulau Pinang, kita juga dapat melihat meja pemujaan diletakkan tinggi-tinggi di hadapan rumah-rumah keluarga orang Hokkien. Meja yang diletakkan lebih tinggi bermakna lebih dekat dengan syurga.
Kemewahan bahan pemujaan dapat menggambarkan fikiran pemujanya. Bagi peniaga pula, mereka akan memohon daripada dewa agar diberkati kejayaan dalam perniagaan dan urus niaga semakin maju pada tahun baharu. Sehubungan itu, kertas pemujaan dan mercun yang dibakar semakin banyak berbanding tahun-tahun lalu.
Aktiviti perayaan itu di Pulau Pinang dan Klang, Selangor adalah lebih giat berbanding negeri-negeri lain. Hal ini menunjukkan kedua-dua negeri ini diduduki orang Hokkien yang lebih ramai. Selain itu, kedua-dua negeri ini merupakan bandar yang mempunyai pelabuhan.
Industri perdagangan, penghantaran dan pengangkutan barang di kedua-dua negeri ini juga lebih maju. Peniaga amat mementingkan kemajuan dalam perniagaan. Faktor ini menyebabkan upacara Bai Tian Gong jauh lebih meriah disambut di kedua-dua negeri ini.
Warisan budaya akan berkembang dan berkesinambungan melalui penyebaran. Kini di Malaysia, adat Bai Tian Gong bukan lagi menjadi tradisi orang Hokkien sahaja.
Pada masa ini, terdapat banyak masyarakat Cina dialek lain seperti Kantonis dan Hakka turut serta dalam upacara perayaan itu. Penganut akan berasa tenteram melalui aktiviti memuja dewa. Penganut juga percaya mereka akan sentiasa diberkati dewa pujaan. – UTUSAN
DR. Tee Beng Lee ialah Felow Pusat Penyelidikan Cina Malaysia.










