PERMASALAHAN interpersonal (hubungan sesama manusia) merupakan faktor ketiga tertinggi bagi kes perceraian di Malaysia. Menurut kajian yang saya lakukan terhadap kes perceraian di Selangor sepanjang 2015 hingga 2019 mendapati sikap buruk pasangan, diikuti kurang rasa tanggungjawab dan komunikasi tidak berkesan mendominasi faktor tersebut.
Beberapa alasan melibatkan faktor interpersonal yang dinyatakan oleh plaintif (isteri) ketika memfailkan kes di mahkamah adalah seperti berikut:
Pertama, “Defendan tidak menunjukkan sikap ingin berubah dan selesa dengan kehidupannya memandangkan saya juga sekali-sekala akan memberi duit belanja kepada defendan untuk isi minyak kenderaan, beli makanan, bil telefon dan sebagainya.
“Defendan hanya tidur seharian di rumah ibu saya dan hanya akan bangun selepas lewat petang. Selepas itu, defendan keluar rumah pada waktu malam dan pulang sebelum subuh.”
Kedua, “Semasa bersama defendan, saya yang menanggung perbelanjaannya dan anak-anak. Tidak ada wakil atau saudara-mara defendan yang datang memberi nafkah kepada saya dan anak-anak. Sebelum defendan menghilangkan diri, tidak berlaku pergaduhan dengan saya, cuma sebelum ini saya ada beri duit untuk memasukkan ke dalam akaun bos saya, tetapi defendan bawa lari duit tersebut.”
Bukan sekadar menjadi faktor perceraian, malah sikap buruk pasangan juga menyumbang kepada kelewatan penyelesaian kes melebihi 365 hari di mahkamah.
Dapatan ini berdasarkan kajian saintifik yang saya lakukan terhadap faktor nisbah mendapati sikap buruk pasangan menyumbang kepada 1.9 kali ganda kelewatan penyelesaian kes.
AKHLAK
Sikap merupakan tingkah laku dan perangai seseorang dan berkait rapat dengan akhlak. Imam al-Ghazali mentakrifkan akhlak sebagai sesuatu tertanam dalam jiwa yang menghasilkan perbuatan-perbuatan dengan mudah tanpa memerlukan pertimbangan terlebih dahulu.
Dengan bahasa mudahnya, akhlak merupakan perilaku individu hasil daripada manifestasi hati seseorang bertindak kesan daripada didikan dan amalan yang terbenam di sanubari.
Di dunia, akhlak terbaik dimiliki oleh Rasulullah SAW dan disahkan menerusi ayat 21 surah al-Ahzab yang bermaksud: “Sungguh, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan yang banyak mengingati Allah.”
Sikap yang baik terhasil daripada akhlak yang baik. Justeru, akhlak tersebut hendaklah ditanam dan disuburi semenjak kecil berlandaskan lunas-lunas agama serta nilai-nilai murni.
Ini kerana sekiranya tiada didikan awal, dibimbangi sikap tersebut akan dipengaruhi emosi serta persekitaran yang sentiasa berubah, dan akhirnya sikap-sikap jelik tersebut menjadi norma baharu yang diterima oleh masyarakat.
GAJET
Menurut kajian syarikat keselamatan siber Russia, Kaspersky Lab melibatkan 11,000 ibu bapa dari seluruh dunia menunjukkan 61 peratus kanak-kanak mendapat gajet (alat elektronik) pertama mereka ketika berusia lapan hingga 12 tahun, manakala 11 peratus lagi sebelum usia lima tahun.
Ibu bapa meyakini gajet tersebut digunakan untuk tiga tujuan utama iaitu menonton video, pembelajaran dan permainan dengan 48 peratus menghabiskan masa selama tiga hingga lima jam sehari.
Tidak dinafikan gajet merupakan teknologi paling diterima oleh masyarakat dan efektif dalam memudahkan urusan seharian. Daripada peranan asal sebagai alat komunikasi, kini dampaknya lebih melebar sebagai sumber rekreasi, pusat sosial dan punca pendapatan.
Namun, menurut kajian penyelidik, Dr. Sue Johnson, antara kesan negatif gajet ialah menyebabkan seseorang berada dalam ilusi sebuah perhubungan kebersamaan, namun secara emosinya terpisah.
IMPAK
Kesan negatif gajet boleh dilihat seawal kanak-kanak. Kajian mendapati kanak-kanak berusia enam bulan sehingga dua tahun yang berlebihan menggunakan gajet berpotensi sebanyak 49 peratus mengalami kelewatan dalam berbicara.
Bagi golongan remaja dan dewasa pula, gajet mengajar mereka untuk lebih bersikap expressive (penuh perasaan) dan kurang empati. Malah tidak hairan jika hari ini terdapat individu, pempengaruh atau artis sanggup membunuh diri disebabkan tekanan warganet yang bersikap menghukum.
Tidak terhenti di situ, impaknya juga boleh dilihat dari faktor perceraian segelintir pasangan dewasa dan warga emas yang berpisah angkara gajet, dengan 55 peratus pergaduhan bermula daripada penggunaan gajet secara berlebihan.
DWIPERANAN
Sama ada suka atau tidak, gajet berdaya untuk berfungsi sebagai bom jangka sekiranya tidak dipandu dengan akhlak dan nilai-nilai terpuji. Justeru, setiap individu memainkan peranan bagi mengawal diri daripada terus terjerumus dalam cengkamannya.
Kanak-kanak pula perlu dibimbing dengan sentuhan kasih sayang, emosi, adab, akhlak dan iman agar mempunyai jati diri, berupaya untuk berinteraksi dengan murni, peka serta menghargai individu di sekeliling.
Rasulullah SAW pernah bersabda: “Bekerjalah kamu dengan taat kepada Allah dan jauhilah hidup kamu daripada melakukan maksiat kepada Allah. Hendaklah kamu mengajar anakmu sejak kecil untuk mentaati perintah Allah, larang mereka daripada melihat perkara yang tidak baik. Apabila kamu melakukan sedemikian, kamu sedang menjaga diri kamu dan dirinya daripada dihumban ke dalam neraka.”
Sebagai ibu bapa di era digital, dwiperanan tersebut perlu digalas serentak dalam mencorak kanvas diri dan anak-anak. Tiada kaedah pintas untuk mencapai matlamat tersebut selain kembali kepada al-Quran dan akhlak Rasulullah SAW. – UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pengarah Kanan Bahagian Latihan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).











