Gaya industri antara yang menjadi pilihan bagi pengusaha-pengusaha kafe kerana konsepnya yang lebih moden dan ringkas.
Konsep yang ringkas itu turut mendorong guru sekolah, Marrina Mohamad, 46, dan suami Mohd Juhari Sulaiman, 49, mengaplikasikan konsep berkenaan pada kediamannya.
Katanya, dia dan suami yang sememangnya tidak menggemari tatarias rumah yang begitu sarat merasakan gaya industri adalah yang paling sesuai buat mereka.
“Kami memilih konsep ini kerana gaya industrial nampak sederhana dan tidak berlebihan.
“Kami juga tidak gemar kepada barangan berasakan fabrik dalam menata rumah, tingkap dan pintu sliding kami tidak menggunakan langsir,” katanya kepada Seri.
Tambahnya, gaya yang dipilih itu juga biarpun moden tidak memerlukan barangan yang berlebihan atau mewah.
Justeru, ia akan memberi efek ruang yang kelihatan lebih terbuka dan praktikal.
Bagi melengkapkan gaya berkenaan, keseluruhan kabinet menggunakan material pagar dawai di bahagian keseluruhan rumah.
Kos ubahsuai rumah pangsapuri berkeluasan 903 kaki persegi itu menelan belanja sekitar RM40,000.
“Kabinet dari pagar dawai ini nampak dalamannya, jadi kena susun betul-betul barangan di dalam kabinet untuk nampak kemas tersusun.
“Namun, kelebihannya pula mudah untuk kita tahu letak kedudukan alatan yang hendak diguna,” jelasnya lagi.
Bagaimana pun, katanya, material berkenaan juga senang memerangkap habuk selain pemilihan warna hitam juga mudah menyebabkan habuk lebih mudah kelihatan.
Oleh itu, ia perlu dibersihkan secara berkala untuk kelihatan kemas.
Praktikal
Paling penting adalah gaya industri cukup praktikal dalam aspek pengurusan kediaman selain tidak memerlukan tatarias yang rumit.
“Konsep ini nampak lebih praktikal dan setiap ruang digunakan secara maksimum tanpa kehadiran perabot yang sarat.
“Rumah kami kecil, jadi setiap ruang perlu ada fungsi maksimum tanpa kehadiran banyak perabot,” katanya.










