Perhimpunan aman jika tak dibenar keluar KWSP

Perhimpunan aman jika tak dibenar keluar KWSP

KWSP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIR) merancang melakukan perhimpunan aman sekiranya kerajaan masih tidak membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar seperti dituntut menerusi pertubuhan itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden PGIR, Azmi Mohd. Tahir berkata, tiada tindakan serius diambil biarpun kerajaan dilapor akan merangka satu kaedah lain bagi membantu rakyat yang terhimpit masalah kewangan berbanding tuntutan itu.

Malah, katanya, kaji selidik terhadap pencarum menunjukkan lebih 75 peratus mempunyai wang mencukupi dalam akaun satu untuk pengeluaran.

Justeru, kata beliau, pihaknya tidak teragak-teragak mengadakan perhimpunan aman itu sebagai jalan terakhir membantu pencarum yang terkesan demi melangsaikan hutang tertunggak, kelangsungan hidup dan membina kehidupan semula.

“Memang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada maklumkan yang kerajaan cari kaedah lain, tetapi alternatif apa kerajaan boleh bagi? Kerajaan sudah berhutang RM1.5 trilion, bolehkah beri bantuan tunai RM300 setiap bulan dan selesaikan hutang pencarum yang terkesan?

“Kami bukan tak bersyukur dengan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), tetapi pemberian itu tiga bulan sekali, rakyat makan hari-hari dengan ada hutang perlu diselesaikan.

“Kita ada perancangan untuk berhimpun bagi mendesak pengeluaran caruman KWSP secara bersasar. Tarikh itu masih dalam perancangan, tetapi dalam masa terdekat. Jika terpaksa buat (berhimpun), kita akan ikut lunas undang-undang sebab kita bukannya mahu buat rusuhan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seramai 320,000 pencarum melalui PGIR merayu kerajaan mempertimbang pengeluaran caruman KWSP secara bersasar bagi meneruskan kelangsungan hidup dalam fasa peralihan ke endemik ketika ini.

Sebanyak 15 faktor utama dikenal pasti membelenggu mereka yang menuntut pengeluaran khas itu yang merangkumi desakan hidup, pendapatan tidak seimbang dan tunggakan hutang pascapandemik Covid-19.

Bagaimanapun, Perdana Menteri dalam satu majlis di Kangar, Perlis minggu lalu, dilaporkan berkata, kerajaan perlu mempertimbang nasib dan masa depan pencarum KWSP sebelum membenarkan sekali lagi pengeluaran bersasar itu.

Anwar berkata, adalah lebih baik kerajaan mencari kaedah dan jalan lain yang lebih berkesan bagi membantu rakyat yang terkesan serta kehilangan sumber pendapatan akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.

Azmi berkata, PGIR ketika ini masih menunggu makluman daripada Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi membawa suara pencarum yang terdesak.

Dalam masa sama, katanya, pihaknya juga menganjurkan kempen tujuh hari luahan pencarum yang bersiaran setiap hari di aplikasi media sosial pada pukul 9 malam.

“Dalam aplikasi TikTok itu, kita boleh dengar sendiri luahan daripada pencarum yang terkesan untuk meneruskan kehidupan. Kita bukan saja–saja mahu desak, tetapi dengarlah luahan pencarum,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×