TENOM: Banyak perkara yang berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berjaya diselesaikan Kerajaan Perpaduan walaupun baru setahun mentadbir negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, antara perkara itu adalah pengembalian semula kuasa pengurusan bekalan elektrik dan kelulusan projek kecil diserah kepada negeri ini, melantik wakil Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta tambahan peruntukan lebih besar.
Katanya, pelbagai langkah telah diambil bagi merealisasikan perkara itu antaranya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof telah diarah mempengerusikan mesyuarat berkaitan bagi menyegerakan pelaksanaan MA63.
“Dalam tempoh setahun ini kita berjaya selesaikan lebih pantas berbanding puluhan tahun sebelumnya. Saya jelaskan perkara ini kerana ada tokoh politik di Sabah yang menggunakan cerita ini untuk menarik minat orang Sabah, guna sentimen.
“Kalau ada fakta saya tiada masalah, tetapi kalau putar belit saya terpaksa jawab,” katanya ketika merasmikan majlis pecah tanah Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di Kampung Kungkular, Kemabong, semalam.
Empangan itu dijangka siap pada 2029 dengan kos RM4 bilion dan ia mempunyai kapasiti pembekalan elektrik 187.5 megawatt.
Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, beliau tidak mahu lagi mendengar sebarang alasan yang menyebabkan projek pembangunan kemudahan asas di negeri ini tertangguh .
Katanya, ia termasuk projek pembangunan Empangan Hidroelektrik Ulu Padas, Tenom bernilai RM4 bilion yang dilancarkan.
Beliau berkata, projek pembangunan kemudahan asas yang diperlukan oleh rakyat seperti bekalan air, elektrik dan Lebuh Raya Pan Borneo harus dipercepatkan.
“Projek yang tertangguh antaranya menyebabkan dua kesan iaitu kos meningkat dan kesan kepada harapan rakyat untuk memperoleh kemudahan terutama untuk mendapatkan kemudahan bekalan elektrik dan air.
“Contohnya empangan ini, pastikan supaya ada pelaksanaan dan pemantauan supaya tiada alasan untuk melengahkannya. Siapkan lebih cepat dan beri keselesaan kepada rakyat. Itu sikap kita yang mesti ada sekarang,” katanya.
Menurut Anwar, projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan susulan isu kontraktor dan campur tangan keputusan politik.
“Projek ini perlu disiapkan segera demi memberi kemudahan jaringan jalan raya yang baik untuk rakyat.
“Kita pastikan urusan kontraktor lebih telus. Pan Borneo ini sudah puluhan tahun, hampir siap di Sarawak. RM15 billion untuk projek ini bukan murah, saya minta Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (Menteri Kerja Raya) membuat pemantauan dan bagi kuasa untuk segerakan,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu adalah Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd. Ali.
Sementara itu di PENAMPANG: Perdana Menteri berkata, peruntukan tinggi disalurkan ke Sabah kerana masalahnya lebih banyak berbanding negeri lain seperti jalan, sekolah, bekalan elektrik dan air yang perlu perhatian.
“Orang Semenanjung jangan bantah, orang Sabah terima kasih sedikit, jangan marah lagi,” katanya semasa merasmikan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) peringkat Kebangsaan 2023 semalam.
Tambah beliau, sejak mengambil alih kerajaan, beliau telah menambah peruntukan kepada Sabah dan dalam setahun sebanyak RM16.2 bilion diperuntukkan kepada negeri ini ermasuk RM7.8 bilion bagi pengurusan.
Namun katanya, peruntukan yang diberi menjadi mainan politik dan beliau berharap agar peruntukan yang diberi dapat diurus dengan baik. – UTUSAN










