KETUA Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 baru-baru ini menyatakan pendirian untuk tidak mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti akan datang. Keputusan tersebut bakal membolehkan nakhoda baharu memimpin sayap parti yang sudah pastinya akan memikul tanggungjawab cukup besar bagi mengembalikan sokongan anak muda kepada parti keramat orang Melayu itu.
Sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), sokongan orang muda terhadap UMNO semakin meleset dan keadaan bertambah buruk dalam PRU15 dengan majoriti golongan tersebut boleh dikatakan menolak parti berkenaan. Malah, UMNO khususnya Pergerakan Pemuda termasuk Pergerakan Puteri juga berdepan cabaran dalam memikat pengundi berumur 18 hingga 20 tahun yang tidak memihak kepada parti itu. Ini terbukti dalam PRU15 di mana pengundi muda lebih memilih Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).
Selepas dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang, sudah pastinya tumpuan kini tertumpu kepada pertembungan bagi merebut jawatan sayap-sayap parti khususnya Pergerakan Pemuda.
Antara nama-nama yang berpotensi untuk bertanding jawatan berkenaan adalah Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan, 38, yang sudah pastinya memiliki cukup kredibiliti dan aura bagi mengetuai sayap berkenaan.
Bekas Ketua Penerangan UMNO itu dilihat mempunyai ‘pakej lengkap’ mengetuai Pergerakan Pemuda khususnya dalam membantu menarik kembali sokongan anak muda terhadap parti tersebut. Shahril Sufian juga merupakan pemimpin berpotensi dan berbakat besar sebagai pemimpin masa depan UMNO dalam keadaan parti itu kini semakin ditolak oleh rakyat termasuk orang Melayu sendiri. Dalam PRU15, UMNO sudah menjadi pilihan ketiga pengundi selepas PN dan PH.
PRU16
Selain Shahril Sufian, antara nama lain berpotensi bertanding jawatan tersebut adalah Datuk Fathul Bari Mat Jahya, 42, iaitu seorang lagi pemimpin masa depan UMNO yang mempunyai potensi besar. Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar itu juga mempunyai aura dan ketokohan dalam membantu menarik kembali sokongan anak muda terhadap parti itu khususnya dalam mendepani PRU16, seterusnya bangkit kembali menjadi parti nombor satu pilihan rakyat.
Jika dilihat dalam PRU15, Fathul Bari yang juga merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangka gerak kerja yang cukup tersusun bersama jentera termasuk dalam kalangan anak muda. Namun, nasib tidak memihak kepada beliau yang tewas di Parlimen Kangar kesan daripada gelombang PN pada masa itu.
Beliau juga merupakan tokoh muda boleh dipercayai, agamawan dan intelektual yang diyakini mampu mengetuai Pergerakan Pemuda UMNO ke arah lebih baik pada masa depan.
Selain itu, Penolong Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan, 44, juga antara nama yang disebut-sebut dalam kalangan pemimpin Pergerakan Pemuda bakal bertanding jawatan berkenaan. Beliau juga mempunyai potensi besar mengetuai jentera Pergerakan Pemuda UMNO memandangkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kubang Pasu itu cukup berpengaruh dalam kepemimpinan ketika ini.
Dalam pada itu, Ahli MKT UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah, 48, pula telah menyatakan kesanggupannya untuk bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda parti itu dalam pemilihan akan datang. Kesediaan Ketua UMNO Bahagian Subang itu bertanding adalah bagi mengembalikan semula taring yang digeruni oleh pelbagai pihak pada Pergerakan Pemuda UMNO seperti yang pernah dinikmati parti terbabit suatu ketika dahulu.
Dan sememangnya, Armand Azha merupakan seorang pemimpin yang cukup lantang dan berkeupayaan mengembalikan semula taring Pergerakan Pemuda UMNO.
Setakat ini, hanya Armand Azha seperti yang dilaporkan media sebelum ini menyatakan kesediaan bertanding jawatan tersebut manakala pemimpin-pemimpin lain masih belum membuat sebarang ketetapan.
Selain Pergerakan Pemuda, dua lagi sayap UMNO iaitu Pergerakan Puteri dan Pergerakan Wanita juga dilihat memerlukan pemimpin baharu dalam mendepani masa depan yang lebih mencabar khususnya dalam usaha meraih kembali kepercayaan pengundi terhadap UMNO.
PRU15 menyaksikan pencapaian paling buruk UMNO dalam sejarah pilihan raya apabila hanya mampu memenangi 27 kerusi, iaitu lebih teruk berbanding PRU14. – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.










