Teliti dahulu pasaran, jangan sebarangan keluar kenyataan

Bahan mentah: Teliti dahulu pasaran, jangan sebarangan keluar kenyataan

HARGA bahan mentah ketika ini didakwa masih tinggi sekali gus mempengaruhi peningkatan harga makanan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan sepatutnya membuat kajian dengan lebih teliti sebelum mengeluarkan kenyataan berhubung harga bahan mentah sudah menurun di pasaran.

Presiden Gabungan Persatuan Peniaga dan Penjaja Malaysia, Datuk Rosli Sulaiman berkata, hakikatnya ketika ini harga barang mentah masih tinggi sekali gus mempengaruhi peningkatan harga makanan yang dijual.

Katanya, pembekal bahan mentah terpaksa meletakkan harga tinggi kerana terpaksa menampung kos lain seperti pengangkutan, minyak kenderaan, baja dan racun tanaman yang semakin mahal.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kos-kos ini yang mempengaruhi rantaian memaksa para peniaga atau pengusaha meletakkan harga tinggi pada makanan yang dijual,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Baru-baru ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mencadangkan pengguna atau pembeli memboikot perniagaan dan pengusaha makanan yang masih meletakkan harga mahal terhadap makanan.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut memaklumkan harga bahan mentah di pasaran sudah menunjukkan penurunan, maka peniaga dan pengusaha makanan perlu menurunkan harga jualan mereka.

Rosli berkata, Rafizi sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang berasaskan fakta dan perlu mendapatkan maklumat sahih daripada para pembekal.

Katanya, agak mustahil jika perniaga menurunkan harga makanan sedangkan harga bahan mentah di pasaran masih mahal.

‘Jika peniaga menurunkan harga jualan dengan keadaan harga barang mentah masih mahal, maka mereka akan mengalami kerugian,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar pihak kementerian menghantar pegawai dan kakitangannya untuk membuat pemantauan mengenai perkembangan terkini berkaitan harga bahan mentah dan makanan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN