Rezeki tidak salah alamat. Selepas enam tahun menjadi anak seni, bakat lakonan Alvin Chong, 32, diiktiraf di persada antarabangsa menerusi kemenangan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Anugerah Televisyen Asia ke-27 di Manila, Filipina baru-baru ini.
Ia adalah pencapaian yang membanggakan, sekali gus melonjakkan nama Alvin dalam persada seni tempatan dan serantau Asia.
Alvin atau nama sebenarnya Alvin Chong Chean Wah, tidak pernah menyangka bakat lakonannya diiktiraf menerusi satu penganugerahan di peringkat antarabangsa.
Meskipun jika hanya sekadar melepasi peringkat pencalonan sahaja, dia tetap bersyukur.
“Saya tidak pernah terfikir akan menang sebarang anugerah untuk kerja lakonan saya sebab selalunya saya tidak pernah bernasib baik dan sering tewas kepada pelakon lain.
“Bila dimaklumkan tercalon untuk kategori tersebut, saya sangat bersyukur.
“Bila diumumkan sebagai pemenang, saya tak percaya kerana sebagai pelakon, saya tak pernah menang anugerah sebelum ini,” kata pelakon drama Suri Hati Mr. Pilot ini.
Kemenangan tersebut membuktikan bahawa orang sudah mengiktiraf dan menerima bakat lakonan yang ada dalam dirinya.
“Ia suatu pengiktirafan yang sangat bermakna. Mungkin sekarang masyarakat sudah mula melihat dan menerima saya sebagai pelakon,” jelasnya.
Mengulas mengenai perasaannya apabila sering tidak bernasib baik dalam penganugerahan di negara sendiri, kata Alvin dia tidak menyimpan rasa kecewa.
Penglibatan dalam dunia seni tanah air katanya, bukan untuk mengejar anugerah dan pengiktirafan.
“Kalau saya kejar anugerah, maksudnya saya kerja tak ikhlas. Sebab itu saya katakan saya tak kecewa apabila tidak bernasib baik untuk menang anugerah di negara sendiri.
“Menang atau tidak, saya tetap mahu memberikan yang terbaik dalam setiap kerja lakonan saya. Bagi saya, anugerah bukan penentu kualiti kerja seorang pelakon,” ujarnya.
Hindari kontroversi
Jarang kita dengar cerita-cerita sensasi tentang anak kelahiran Pulau Pinang ini. Cukup cantik Alvin menjaga karier seninya tanpa pernah terpalit dengan sebarang kontroversi.
Ujarnya, memang sejak dari dahulu, dia mahu menghindari daripada terpalit dengan sebarang cerita panas atau sensasi.
“Saya tak ramai kawan, lepas kerja terus pulang ke rumah. Jarang keluar melepak selepas habis penggambaran.
“Ruang untuk kita bergosip atau bercerita pasal orang lain akan terbuka luas sekiranya kita pergi melepak. Sebab itu saya jauhkan bergosip dan tutup serapat-rapatnya ruang untuk menjadi mangsa gosip,” tambahnya.
Tegas Alvin, dia sangat menjaga kehidupan peribadi dan tidak mudah untuk berkongsi tentang perkara tersebut kepada umum.
“Tak ada sebab untuk saya kongsikan cerita peribadi kepada umum. Saya bukan orang yang suka mempamerkan kisah peribadi di media sosial.
“Kalau kita memberi ruang, nescaya masyarakat akan hanya berminat untuk mengetahui cerita peribadi kita berbanding kisah kerjaya dan pencapaian.
“Pada saya gosip dan kontroversi, perkara tidak sihat untuk kerjaya seseorang artis. Jadi sebolehnya saya akan elakkan walau dengan apa cara sekalipun,” kongsinya.
Fokus kerjaya nyanyian
2023 adalah tahun untuk anak muda ini memberikan sepenuh tumpuan untuk kerjaya nyanyiannya berbanding lakonan.
Katanya, dia mahu tampil dengan lebih banyak lagu untuk mengembangkan lagi kerjaya tersebut.
“Saya bermula dalam industri sebagai penyanyi, jadi tahun ini saya nak berikan lebih tumpuan untuk bidang tersebut berbanding lakonan. Saya nak seimbang antara nyanyian dan lakonan.
“Saya masih akan menerima tawaran berlakon namun sedikit selektif terhadap naskhah yang akan saya pertimbangkan. Saya mahu utamakan kualiti berbanding kuantiti,” jelasnya.










