Arus dan angin kuat di samping hujan lebat secara tiba-tiba menguji fizikal serta mental 61 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam menyelesaikan cabaran berkayak mengeliling Tasik Beris di Sik, Kedah baru-baru ini.
Sepanjang enam jam ekspedisi itu, ada peserta yang terumbang-ambing bersama kayak mereka, tidak kurang juga keletihan.
Namun, sokongan rakan-rakan membantu membangkitkan semangat untuk menghabiskan ekspedisi berkayak sempena program outreach itu.
Peserta, Nurul Ieman Hishamudin, 23, berkata, ketahanan mental dan fizikal mereka teruji sebaik sahaja aktiviti itu bermula.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Pemutusan itu berkata, mereka perlu bersiap-siaga dengan situasi luar jangka di tasik terutama faktor cuaca.
“Ilmu dan teknik berkayak dipelajari dalam program ini teruji apabila kami berdepan cabaran gelora dan angin.
“Namun paling mustahak ialah kerjasama antara rakan pasukan dan aktiviti ini secara tidak langsung dapat memupuk nilai murni itu pada setiap peserta,” katanya baru-baru ini.
Tasik Beris merupakan danau buatan manusia yang terbentuk oleh pembinaan empangan Beris pada tahun 2000. Keluasan kawasan tadahan air ini berjumlah 116 kilometer persegi.
Sementara itu, bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Rangkaian Komputer), Nurain Aisyah Noormad Razamussein, 22, cabaran cuaca yang tidak menentu dengan hujan dan panas berselang-seli sedikit sebanyak melemahkan semangatnya.
Tetapi, halangan itu berjaya ditepis hingga mampu menghabiskan ekspedisi mengelilingi Tasik Beris dalam tempoh ditetapkan.
“Tanpa kerjasama kumpulan, agak sukar untuk kami bertahan dan menempuhi segala rintangan, malah ada yang hampir putus asa tetapi berjaya meneruskan cabaran hingga ke garisan penamat,” katanya.
BELAJAR HIDUP DALAM HUTAN
Peserta Program Outreach Tasik Beris Adventure Camp itu turut didedahkan dengan aktiviti menarik antaranya survival dan water confidence.
Peserta, Amir Daniel Yusof, 22, berkata, mereka berpeluang mempelajari teknik membuat unggun api, memasak serta menyediakan kelengkapan seperti tempat tidur, berteduh dan tandas dengan menggunakan apa sahaja yang ada di dalam hutan.
Bahkan, peserta turut mencuba bermain permainan menggunakan hasil hutan di sekeliling mereka.
Pengalaman ditimba, banyak mengubah persepsinya mengenai erti kesusahan, kelangsungan hidup dan ilmu sekali gus mampu mematangkan diri.
“Saya rasa bertuah kerana dapat keluar dari zon selesa dan belajar memanfaatkan sumber alam semula jadi di samping menyesuaikan diri di dalam hutan.
“Kami belajar makan dan tidur dalam serba kekurangan tanpa peralatan yang sering kita gunakan, malah ruang rehat juga terhad yang menuntut kami bertolak-ansur dan bergilir untuk berbaring,” katanya.









