Indah Ruhaila tidak ‘pudar’ - Utusan Malaysia

Indah Ruhaila tidak ‘pudar’

Indah Ruhaila.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lunak suara penyanyi, Indah Ruhaila diakui ramai. Malah, kehebatan vokalnya juga mengunci setiap telinga yang mendengar. Tidak hairan, namanya masih menjadi pilihan peminat muzik yang tahu menghargai.

Namun ramai peminat yang tertanya-tanya, bila lagi dia akan tampil dengan single baharu. Kali terakhir dengan lagu Pudar sekitar dua tahun lalu, dia seakan ‘pudar’ sekali.

Mengakui pandemik yang melanda dunia memberi impak kepada kerjayanya, Indah terpaksa mengangguhkan proses rakaman single baharunya. Tetapi dia reda dan berharap agar bencana yang berlaku segera ‘pudar’.

“Sepatutya tahun lepas saya sudah ada single baharu namun, bila kita mahu mula rakaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana. Jadi kita tangguh dahulu. Sudah beberapa kali tangguh sebenarnya.

“Memang ada peminat yang bertanya-tanya bila hendak keluar single baharu tetapi kita hendak buat macam mana kan? Kecewa tetapi bagi saya lebih penting untuk kita membantu pihak berkuasa mengawal penularan Covid-19 ini.

“Saya tidak mahu berfikiran negatif atau menyalahakn sesiapa. Lebih baik saya fokus dengan apa yang sedang dilakukan dan insyaAllah setelah semuanya selesai atau beransur pulih, saya akan merakam lagu baharu,” katanya memulakan bicara.

Sudah memilih material lagu untuk single baharu, Indah masih mengekalkan genre balada. Bukan tidak berani mencuba sesuatu yang berbeza namun dia risau peminat menolak percubaannya.

“Saya pernah sahaja menyanyikan lagu bergenre lain sewaktu dalam pertandingan nyanyian atau persembahan. Tetapi peminat tetapi mengharapkan saya kekal dengan lagu balada.

“Mungkin satu hari nanti saya akan pilih lagu bergenre berbeza namun buat masa sekarang, kita kekal dengan balada dahulu. Lagu ciptaan Ahmad Jefni dan bakal diterbitkan oleh rakan baik saya yang juga penyanyi hebat, Yuka Kharisma,” katanya.

PARANOID
Tatkala dunia berdepan pandemik Covid-19, ramai yang terkesan. Tidak kira bidang apa, perkejaan mahupun rakyat mana, sedikit sebanyak impak pandemik malah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksana cukup besar.

Indah Ruhaila bersama suami Ahmad Shariff Ahmad Taufik.

Mengakui paranoid dan mengambil langkah berhati-hati, penyanyi bersuara emas, Indah Ruhaila hanya duduk di rumah dah keluar untuk urusan penting sahaja. Dia tidak mahu mengambil risiko.

“Jumlah kes semakin meningkat hari demi hari, malah PKP yang dilaksana juga diharap dapat membendung penularan. Namun, sebenarnya kita sendiri kena menjaga diri. Tidak boleh harap orang lain.

“Saya sendiri kalau bukan atas urusan penting, memang akan duduk di rumah. Tak berani nak keluar. Saya lebih pentingkan nyawa sendiri dan keluarga. Takut menyusahkan orang,” katanya.

Hampir lima tahun mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan, pasti ada yang bertanya bila lagi Indah bakal menimang cahaya mata. Tidak mahu tertekan dengan soalan sebegitu, Indah menyerahkan soal anak kepada Tuhan. Namun dia juga tidak berkecil hati andai soalan itu ditanya. Itu adalah lumrah.

“Saya tidak merancang dan serahkan soal anak kepada Tuhan. Tak nak juga terlalu memikirkan sehingga tertekan. Kalau ada yang bertanya, saya jawab dengan baik sahaja.

“Ada juga merancang untuk mencuba proses In-Vitro Fertilization (IVF) atau pensenyawaan in-vitro tetapi belum masanya. Apatah lagi di kala pandemik, saya fikir mungkin belum waktu sesuai,” katanya.

IMPAK PANDEMIK
Turut memerima kesan dari segi pendapatan apabila pandemik melanda, Indah bagaimanapun bersyukur kerana dia mempunyai simpanan dan suami, Ahmad Shariff Ahmad Taufik yang banyak membantu.

Malah dia juga mengakui kasihan dan terkesan melihat rakan-rakan seindustri malah masyarakat luar yang bersusah payah mencari sumber pendapatan dek kedudukan ekonomi yang tidak menentu.

“Semestinya saya terkesan dengan apa yang berlaku. Sekarang ini pun bukan ada jemputan persembahan atau majlis. Jadi sumber pendapatan itu sedikit terjejas. Itu kesna yang harus kita tempuh.

“Cuma saya fikir, kalau rasa hidup sendiri susah, bagaiaman dengan hidup orang lain? Pasti sahaja yang yang lebih susah daripada saya. Jadi saya bersyukur dengan apa yang ada sekarang.

“Alhamdulillah, saya juga ada simpanan dan suami yang banyak membantu. Malah, sekarang ini kami hidup seadanya. Tidak boleh boros dan lebih banyak menyimpan untuk masa hadapan,” katanya.

PERANCANGAN
Tidak mahu kekal mengharapkan dunia seni sebagai sumber pendapatan, Indah juga merancang membina perniagaan sebagai persediaan masa hadapan. Dia tahu hayat seni mungkin tidak kekal lama.

Pernah mengeluarkan produk penjagaan wajah sebelum ini, penyanyi lagu Percayalah ini turut berdepan dengan kerugian pada awal berniaga. Namun, itu semua adalah cabaran dan pengajaran untuk dirinya.

“Saya merancang mengeluarkan produk lain, cuma sekarang bukan masa sesuai. Kalau kita lihat, industri makanan adalah yang utama sekarang. Jadi saya perlu merancang dan tidak terburu-buru.
“Pengalaman sebelum ini banyak mengajar. Saya masih menjual produk penjagaan wajah itu tetapi tidak agresif. Kita tunggu masa sesuai dan merancang sebaik mungkin,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×