BANYAK sekali cerita yang lahir dari kisah 1,001 malam, sebuah karya kesusasteraan Asia Barat zaman pertengahan.
Ada kisah “Sinbad Si Pelaut”, “Ali Baba dan 40 Penyamun” dan “Aladin dan Lampu Ajaibnya”. Begitupun hikayat-hikayat diceritakan Scheherazad (bahasa Parsi: Shahrastini) kepada suaminya itu yang pada saya takkan sama dengan tiga kisah yang lagi hebat ini.
Ya, kisah yang memerlukan mana-mana orang politik merenung, menginsafi serta mengambil iktibar berharga, apa lagi andai kata Parlimen dibubarkan Ogos tahun ini, setelah Darurat berakhir.
Ikuti tiga kisah teladan berikut:
KISAH 1
Gading baharu, tanduk lama
Memang, dalam politik keamanan dan ketenangan susah dicari. Tetapi kedua-dua itu mesti didakap dan dijulang tinggi.
Akan terjadi keadaan ‘bila dapat gading baharu, tanduk lama tidak berguna lagi’.
Ramai wakil rakyat hanya faham fasal partinya begitu-begitu sahaja. Jadi, bila berkuasa lupa diri, lupa bahasa, lupa budaya dan lupa siapa Melayu dari sudut perjuangan. Jika disenaraikan masalah dalaman UMNO semenjak zaman Tunku hingga kini, kebanyakan isunya berpunca dari pergeseran pimpinan. Bukan dari orang bawah. Seperti ikan, kepalanya berbau dan mudarat dahulu daripada bahagian lain.
Ada pemimpin parti yang tidak menunjukkan sifat budi bahasa, pekerti mulia, lantas melempar tahi di khalayak. Pimpinan berkuasa pula guna kuasa menghukum dan mengenakan sesuatu.
Kedua-dua ada kudis belaka, sekurang-kurangnya kurap menggatal dalam baju masing-masing. Kebiasaan untuk mana-mana presiden parti letak jawatan sebelum habis tempoh sahnya, tidak timbul. Beri ruang hakikinya untuk membuat penjelasan dari hal isu-isu yang sedia tersenarai. Gayung disambut, kata disahut.
Pentingnya dalam parti, diamalkan budaya menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung tidak berselerak. Mesti balik ke kebijaksanaan perumpamaan, bila menusuk ia menaub. Bukan seperti gunting, bila ke depan ia memotong.
KISAH 2
Keahlian teramai atau leadership core?
Masih mahu terus dipegang jumlah keahlian parti menjadi penentu kemenangan pilihan raya? UMNO dikatakan memiliki kira-kira 3.5 juta ahli. Tetapi jalan lupa, ahli DAP, Pas dan PKR tak lebih 600,000-800,000 secara purata, namun mereka telah memenangi nisbah undi popular tiga musim pilihan raya umum (PRU) berturut-turut termasuk PRU-15. Demikian juga Parti Bersatu dan Parti Amanah masih boleh menang kerusi, biarpun kerusi sedikit.
Bilangan sukarelawan parti dan para profesional parti-parti yang saya sebutkan tadi lebih daripada yang dimiliki UMNO dan Barisan Nasional (BN). Walaupun ahli sedikit, leadership core mereka serba-serbi layak dan berkemampuan.
Mereka hormat apa kata akar umbi atau bahagian masing-masing. Kerana itu, tak lari dari dasar winnable candidate atau calon boleh menang. BN, lantaran telah melupakan dasar ini terpaksa menerima rekod yang lebih rendah daripada zaman Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) dahulu (2003-2009).
Kita boleh lihat kembali sejarah lain. Napoleon Bonaparte hanya dibantu seorang penasihat strategik. Riwayatnya menampilkan kejayaan menjadi pemimpin yang masih dihormati pada hari ini sekali pun membawa unsur-unsur diktator. Khalid Ibnu Walid hanya merancang melalui syura tujuh orang untuk menjadi strategis dan penakluk yang dikagumi.
KISAH 3
Mencatur tarikh PRU-15
Lupakan kisah yang lepas, usah dikenang-kenang, kelak merana diri. Namun masih ada yang melontarkan kepada saya hujah mereka, begini: Kalaulah BN segera bubar Parlimen pada penghujung tahun 2017, kemelut politik mungkinkah tidak seteruk hari ini?
Semasa itu Stadium Bukit Jalil sesak dengan kontinjen-kontinjen atlet negara rantau ini dengan rakyat tempatan sendiri menyertai dan menyaksikan temasya Sukan SEA 2017. Atlet-atlet Malaysia bukan main hebatnya, dengan tiba-tiba muncul mengaut lebih 140 pingat emas – yang terbanyak dalam sejarah sukan itu.
Sekitar 2017 itu, Arab Saudi pada tahun sebelumnya (2016) bersetuju mengembalikan kuota haji rakyat Malaysia kepada 30,200 jemaah berbanding hanya 22,000 jemaah sejak tiga tahun lalu terdahulu.
Ekonomi Malaysia waktu itu juga subur mengharum. Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud turut melakukan lawatan kerja ke negara ini Februari 2017. Malah baginda menyaksikan pula perjanjian antara Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Saudi Aramco bernilai RM31 bilion.
Percaturan menentukan tarikh PRU yang tepat waktunya berupaya memenangkan parti tertentu.
Pimpinan politik Melayu renung-renungkanlah tiga kisah ini yang sempat saya nukilkan – atas semangat sayangkan nasib anak bangsa.
Hikayat 1,001 Malam saya tak baca habis. Malas nak baca kesudahannya sama ada suami Scheherazad jadi atau tidak menghukum bunuhnya (setelah biar dia hidup untuk satu lagi hari).










