KUALA TERENGGANU: Seorang mualaf memanfaatkan sepenuhnya Tahun Baharu Cina untuk merapatkan lagi hubungan mesra keluarganya dan isteri yang dikahwininya sejak tiga tahun lalu.
Peniaga, Lee Liang Yeou, 26, dari Kuala Ibai di sini, berkata, dia bersyukur kerana keluarganya sangat berfikiran terbuka dan tidak pernah bertindak memulaukan dirinya sejak mengambil keputusan memeluk Islam pada tahun 2020.
Menurutnya, tidak seperti kisah-kisah tragis yang berlaku terhadap mualaf lain yang disisihkan keluarga, kisah penghijrahannya pula sangat mudah dan indah.
“Ibu bapa hanya menasihatkan agar saya berfikiran masak-masak dan tidak memeluk Islam semata-mata untuk berkahwin sahaja.
“Alhamdulillah, mereka menerima kehadiran isteri, Nurul Akma Rosli, 26, dengan sangat baik dan kini kasih sayang tidak berbelah bahagi mereka curahkan terhadap anak sulung kami iaitu Muhammad Yusuf Lee yang berusia setahun.
“Oleh itu, saya ambil peluang untuk meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama ibu bapa selagi ia tidak melanggar syarak agar mereka gembira dan sebagai bukti bahawa Islam sangat menggalakkan kita berbakti kepada ibu bapa walaupun berlainan agama,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tambahnya lagi, sokongan keluarga yang merestui penghijrahannya tiga tahun lalu menguatkan lagi motivasinya untuk terus menjadi anak yang baik dan membalas jasa kepada orang tua selagi hayat dikandung badan.
“Macam setiap kali perayaan, kami suami isteri akan membantu keluarga untuk membuat persiapan seperti menghias rumah, membeli pakaian baharu dan kelengkapan yang ingin digunakan ibu bapa.
“Kemudian akan berkumpul untuk makan besar dan berkunjung ke rumah saudara mara untuk berkongsi kegembiraan mereka menyambut Tahun Baharu Cina.
“Sebenarnya, perkahwinan campur ini banyak hikmahnya kerana dapat mengeratkan hubungan antara kaum, mengenali budaya dan menghormati antara satu sama lain,” katanya yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik. – UTUSAN











