‘Ahli politik, bersabarlah...’ - Utusan Malaysia

‘Ahli politik, bersabarlah…’

WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini berkenan melaksanakan proklamasi darurat sebagai langkah proaktif membendung penularan Covid-19.

Keputusan yang disifatkan cukup baik dalam memberi ruang sepenuhnya menangani pandemik itu selain meredakan ketegangan politik negara itu bagaimanapun mengundang reaksi berbeza daripada sesetengah pihak.

Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB secara dalam talian baru-baru ini, Pakar Perlembagaan, DATUK DR. WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN menjawab pelbagai perkara berbangkit mengenai pelaksanaan darurat itu.

Berikut sedutan wawancara tersebut:

TANGANI WABAK

UTUSAN: Ada yang melihat tiada keperluan proklamasi darurat selepas kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)?

WAN AHMAD FAUZI: Saya tidak merasakan begitu kerana jika dilihat kandungan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, terdapat peruntukan yang perlu untuk menangani penularan wabak selain beberapa isu yang disensasikan oleh pihak-pihak tertentu.

Lihat sahaja angka kes yang semakin meningkat, malah ahli Parlimen pun semakin ramai dijangkiti. Jika kerajaan tidak bertegas, kita tidak tahu apa yang akan berlaku dalam tempoh sehingga Ogos ini.

Hari ini, kita tidak hanya mendengar penjelasan pemimpin politik di pihak kerajaan malah Ketua Pengarah Kesihatan dan ramai tokoh barisan depan sudah tampil merayu mengenai penularan Covid-19.

Adakah pelaksanaan darurat boleh memberi kesan kepada negara?

Tujuan perisytiharan darurat dan Ordinan Darurat 2021 jelas bertujuan menangani penularan wabak Covid-19. Walaupun masih ada suara-suara yang ingin Parlimen bersidang atau darurat dibatalkan, saya melihat wujud sedikit kestabilan politik apabila darurat diisytiharkan.

Kita tidak boleh menafikan darurat itu boleh memberi kesan khusus kepada aspek kestabilan, ekonomi dan politik, cuma kesannya bergantung kepada kecenderungan pihak-pihak yang masih tidak berpuas hati dengan kepimpinan Perdana Menteri walaupun pada ketika ini, kita lihat rakyat secara majoriti menuntut agar tumpuan sepenuhnya diberikan kepada kebajikan mereka begitu juga pejuang barisan depan negara.

13 MEI 1969

Datuk boleh beri contoh pelaksanaan darurat sebelum ini dan kesan kepada negara ketika itu?

Kita pernah melalui tempoh darurat akibat jerebu. Oleh kerana jemaah menteri yang mentadbir negara ketika itu didukung oleh sokongan nyata ahli Parlimen, maka kerajaan dapat memberikan tumpuan menghadapi jerebu. Bahkan negara kita pernah berada dalam tempoh darurat dari Mei 1969 hingga Disember 2011, ia tidak menjejaskan kestabilan negara kerana ahli-ahli politik tidak memainkan isu kepercayaan terhadap Perdana Menteri pada masa itu.

TIGA KELOMPOK BESAR

Bagaimana peranan Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri sepanjang tempoh darurat?

Kita dapat lihat secara jelas keprihatinan Seri Paduka terhadap kesejahteraan rakyat. Baginda bukan sahaja berangkat turun padang untuk merasai sama kepayahan rakyat bahkan sudah beberapa kali menasihati ahli-ahli politik untuk bertenang sekurang-kurangnya sehingga 1 Ogos 2021, iaitu tarikh akhir tempoh darurat.

Saya yakin, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan darurat setelah menimbangkan dengan teliti buruk baik buat rakyat. Walaupun Seri Paduka mempunyai kuasa khas dalam tempoh darurat, Seri Paduka amat berhati-hati bertindak agar adil kepada semua pihak khususnya ahli-ahli politik yang sedang berpecah belah.

Perdana Menteri pula dilihat lebih menumpukan usaha-usaha menangani wabak Covid-19, terbaru memperkenalkan pakej baharu untuk mententeramkan kerisauan rakyat yang semakin ramai hilang punca pendapatan selain kehabisan wang simpanan. Sebagai Perdana Menteri, fungsi kuasa beliau dan jemaah menteri tetap sama sebelum darurat kerana Parlimen masih belum dibubarkan.

Apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang tempoh darurat?

Undang-undang tetap sama melainkan ada yang dinyatakan sebaliknya melalui Ordinan Darurat. Jika kita lihat Ordinan Darurat, peruntukannya lebih menyentuh kuasa tambahan yang boleh dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada pihak eksekutif untuk berfungsi dengan lebih berkesan, cepat dan boleh mendapatkan sumber-sumber tertentu secara sah melalui kuat kuasa undang-undang.

Suasana sekarang dilihat sangat tidak stabil?

Jika ahli-ahli politik boleh bersabar sehingga 1 Ogos 2021, saya rasa usaha-usaha untuk menangani isu kesihatan, kesusahan rakyat dan ekonomi lebih mudah ditangani. Keadaan ini jika dibiarkan tanpa kawalan boleh memudaratkan lagi.

Hari ini, rakyat seolah-olah terbahagi kepada tiga kelompok besar iaitu satu kumpulan bersangka baik dengan keadaan darurat bagi membolehkan kerajaan mengambil langkah proaktif dan mengatasi birokrasi. Kumpulan kedua merasakan niat mereka untuk melihat pertukaran pimpinan jemaah menteri terhalang lantaran darurat yang dianggap helah Perdana Menteri untuk menyambung hayat politik.

Kumpulan ketiga pula merasakan ahli-ahli politik lebih mementingkan diri sendiri. Mereka berharap Parlimen dibubarkan agar Yang di-Pertuan Agong boleh melantik pegawai-pegawai kanan kerajaan untuk melaksanakan fungsi kuasa eksekutif.

SIDANG PARLIMEN

Adakah Parlimen boleh bersidang sepanjang tempoh darurat?

Ya, boleh. Lihat sahaja tempoh 1969 hingga 2011 apabila undang-undang darurat masih berkuat kuasa. Perdana Menteri boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen. Ordinan Darurat 2021 tidak menghalang sidang Parlimen dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong pada bila-bila masa yang difikirkan perlu. Apa yang termaktub di dalam ordinan ialah tiada batasan masa bagi sidang Parlimen dipanggil seperti amalan biasa.

Adakah boleh disifatkan derhaka jika ada dalam kalangan ahli Parlimen meminta sidang Dewan Rakyat diadakan?

Selagi tidak mencabar kuasa sah Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan Persekutuan, itu tidak menjadi satu kesalahan. Ahli Parlimen mempunyai kewajipan sebagai ahli Dewan Perundangan Persekutuan dan pada masa sama mereka juga melafazkan sumpah di bawah Jadual VI Perlembagaan Persekutuan.

Selari dengan sumpah ahli Parlimen, mereka perlu menjunjung prinsip kedaulatan negara, keluhuran Perlembagaan serta sentiasa memelihara kesopanan dan kesusilaan.

Bagaimana datuk melihat keperluan mengadakan sidang Parlimen?

Kuasa perundangan Persekutuan terletak pada Yang di-Pertuan Agong dan dua majlis Parlimen. Jika darurat berlaku maka kaedah-kaedah penggubalan ordinan boleh dilaksanakan oleh Yang di-Pertuan Agong jika keadaan tidak mengizinkan dua majlis Parlimen bersidang serentak. Pembentangan ordinan di Parlimen tidak tertakluk pada proses perundangan biasa malah di bawah Perkara 150(9), prosedur persidangan juga dilonggarkan.

Dalam pada itu, ordinan boleh diperundangkan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan persidangan Parlimen yang sesuai ketika darurat seperti sekarang.

Justeru, sesuai dengan amalan syura yang diwarisi dari sistem politik tradisional Melayu dan kedudukan Parlimen sebagai badan perundangan, jika ada keperluan penggubalan perundangan ada baiknya jemaah menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen.

Suka saya nyatakan, Perkara 55 tentang panggilan, prorog dan pembubaran Parlimen masih berkuat kuasa, justeru Seri Paduka boleh memanggil sidang Parlimen jika dinasihati sedemikian.

Sejauh mana Datuk lihat keberkesanan pelaksanaan darurat?

Kita hanya boleh memberi penilaian yang adil sekurang-kurangnya dalam tempoh 90 hari, atau mengikut keadaan semasa nanti.

PERDANA MENTERI BOLEH TUMBANG

Ada sesetengah pihak mendakwa pelaksanaan darurat ketika ini hanya untuk menyelamatkan kerajaan PN?

Pada pandangan saya, mana-mana Perdana Menteri dan penyokongnya akan berusaha untuk mempertahankan kelangsungan masing-masing. Begitu juga ahli politik pembangkang yang sentiasa cuba untuk mencetuskan pelbagai polemik, kerana itulah politik kepartian. Namun, semua pihak tidak wajar bersikap keterlaluan sehingga mempertikaikan prerogatif Yang di-Pertuan Agong. Seri Paduka ialah pemerintah tertinggi dalam sistem politik Malaysia yang tidak bersifat kepartian.

Keputusan Seri Paduka perlu dihormati dan seharusnya pihak-pihak yang berkhilaf bersabar sehingga Ogos 2021 untuk menilai inisiatif jemaah menteri pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin menguruskan keutamaan pada hari ini.

Jika ternyata dalam tempoh sehingga 1 Ogos 2021, ahli jemaah menteri bertindak lebih bersifat kepartian daripada memulihkan ekonomi, kesihatan dan ketenteraman dalam negara, ahli politik pembangkang mempunyai alasan lebih kukuh untuk mengemukakan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.

Justeru, tidak salah untuk memelihara kestabilan politik.

Perdana Menteri dikatakan telah hilang sokongan majoriti selepas beberapa ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap beliau baru-baru ini?

Sama ada hilang atau tidak dari sudut Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan, itu perlu diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Percaturan politik kepartian ini begitu unik. Apa pun boleh berlaku di luar jangkaan orang ramai. Hari ini, mereka bergaduh esok boleh menjadi rakan. Mungkin benar beberapa lagi ahli Dewan Rakyat dalam kalangan UMNO menarik sokongan, tetapi tidak mustahil Perdana Menteri menerima sokongan dari parti-parti dalam blok pembangkang pula. Selagi itu belum benar-benar terjadi maka sebarang kemungkinan boleh berlaku.

Adakah Perdana Menteri masih boleh menerajui negara dalam keadaan dikatakan sudah hilang sokongan majoriti?

Perdana Menteri masih boleh terus menerajui negara sehinggalah Yang di-Pertuan Agong berpuas hati Perdana Menteri sudah tidak lagi mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Keadaan hari ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Setakat hari ini belum terlihat seorang ahli Dewan Rakyat yang berupaya mendapat kepercayaan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
Walaupun Yang di-Pertuan Agong tidak perlu memastikan seorang calon Perdana Menteri itu akan mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, faktor ini perlu juga diambil kira dengan penularan wabak Covid-19.

Adakah pembubaran Parlimen dalam waktu terdekat ini benar-benar menjadi idaman ahli-ahli Dewan Rakyat? Adakah mereka sedar jika Parlimen dibubarkan maka pilihan raya umum tidak semestinya diadakan dalam tempoh 60 hari. Mungkin keadaan darurat boleh berlanjutan sehingga Ogos atau melepasi tempoh itu, justeru Yang di-Pertuan Agong boleh melantik jemaah menteri ‘caretaker’ atau melalui Ordinan Darurat menubuhkan sebuah majlis bebas daripada kepartian untuk melaksanakan fungsi kuasa eksekutif Seri Paduka. Jika Parlimen dibubarkan, mereka tidak lagi menjadi ahli Dewan Rakyat. Saya rasa mungkin ada rakyat yang lebih selesa dengan keadaan ini.

Adakah Perdana Menteri boleh dijatuhkan dalam tempoh pelaksanaan darurat?

Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menetapkan keadaan seorang Perdana Menteri boleh jatuh kerana tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, walaupun dalam tempoh darurat selagi peruntukan itu tidak digantung kuat kuasa oleh Ordinan Darurat. Malah tujuan darurat diisytiharkan tiada kaitan dengan peruntukan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×