Saya tidak pernah benci masa silam - Zila Bakarin - Utusan Malaysia

Saya tidak pernah benci masa silam – Zila Bakarin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Suatu ketika dahulu wanita ini pernah membuat kejutan apabila seringkali beraksi panas dan ‘berani mati’ di hadapan lensa kamera untuk menghiasi dada majalah serta akhbar tempatan.
Popularitinya waktu itu mencanak naik sehinggakan dia antara selebriti yang cukup ‘laris’ menjadi rebutan penerbit filem dan drama untuk menghiasi karya mereka.
Awal tahun 2000, sewaktu era media sosial belum menular, wanita ini sudah memperlihatkan sisinya yang cukup yakin dan berani. Tidak menafikan imej seksi yang dipertontonkan kepada umum adalah tiket dan batu loncatan untuk cepat dikenali, namun dia punya jawapan tersendiri.
Selebriti yang dimaksudkan pastinya empunya nama Rosmawati Bakarin, 45, atau dikenali sebagai Zila Bakarin.
Bersama Mingguan Malaysia, dia berkongsi kisah silamnya ketika bergelar artis serta perkembangan terkininya selepas mendirikan rumahtangga dan mengenakan hijab.
“Zaman saya dahulu media sosial belum wujud. Jadi cerita dan perkembangan artis hanya boleh diketahui dalam akhbar dan majalah. Kehidupan artis waktu itu boleh dianggap lebih eksklusif berbanding hari ini kerana tidak semua cerita dikongsi bersama peminat.
“Sekarang berbeza. Contohnya, ke mana artis itu hendak pergi berjalan atau apa yang dia buat hari ini turut dikongsi dalam media sosial. Kalau artis tak buat, peminat pula hebahkan. Jadi nilai eksklusif dan privacy itu sudah tiada,” jelasnya.
Kata Zila, hendak lihat gambar artis pun tak perlu susah payah. Hanya Google atau lihat dalam Facebook dan Instagram.
Berbeza pada zamannya, peminat kena beli akhbar dan majalah. Sebab itu, siapa mahu tengok Zila Bakarin seksi kena banyak bersabar sebab majalah terbit sebulan sekali.
Walaupun imej seksi cukup sinonim dengan dirinya, namun adakalanya sikap keterbukaan itu memakan diri sendiri.
Buktinya, satu ketika dia pernah diminta untuk menyampaikan anugerah kepada pemenang dalam pertandingan hiburan, namun pada saat akhir pihak penganjur terpaksa membatalkan dan menggantikan dengan selebriti lain gara-gara penampilannya yang cukup seksi pada malam itu.
“Memang sejak remaja saya suka berpakaian seksi. Saya peminat tegar Pamela Anderson. Apa yang dia pakai mesti saya tiru. Saya pula jenis yang tak kisah kalau orang nak mengata, janji saya tak kacau hidup orang lain.
“Arwah ibu dulu memang bising setiap kali saya keluar rumah. Dia akan komplen kata saya pakai baju tak cukup kain. Tapi saya hanya berpakaian seksi. Saya tak melepak di disko, merokok, ambil dadah macam orang lain. Nakal saya cuma seksi,” katanya ketawa,
Di kala berada di puncak, Zila tidak menafikan dirinya sering menjadi buruan banyak pihak terutamanya golongan kenamaan dan VVIP yang ingin mendampinginya dengan menawarkan kemewahan serta imbuhan wang ringgit.

Namun tetap menegaskan prinsip hidupnya bukan murah. Penampilannya bukanlah umpan untuk memancing golongan kaya mendekati dirinya.
Buktinya sudah terang lagi bersuluh kerana sepanjang bergelar anak seni belum pernah lagi dia dikaitkan dengan kontroversi jelik yang mengaibkan diri serta keluarganya.
“Saya pernah berkawan dengan seorang VVIP berstatus suami orang. Memang kami dah rancang bernikah, dan saya juga sudah sedia untuk hidup bermadu. Tapi lain pula jadinya. Isterinya dapat tahu dan dia terus datang serang dan ugut saya.
“Lepas itu saya putuskan hubungan. Memang sedih sebab perhubungan kami berlandaskan cinta dan kasih sayang, namun untuk tidak mahu mengeruhkan keadaan saya undur diri. Saya anggap antara kami tiada jodoh.
“Tidak dinafikan hidup solo selepas itu memang banyak dugaannya. Pelbagai jenis lelaki datang menggoda. Semuanya cuba ‘pasang pancing’ dengan pelbagai umpan. Tapi saya ini wanita yang dibesarkan di Kuala Lumpur. Saya dah cukup ‘masak’ dengan benda-benda macam ini. Saya masih boleh cari duit dengan hasil titik peluh sendiri. Saya bukan nak cari sugar daddy, kekasih gelap dan sebagainya.” katanya.
Akui tidak pernah menyesal dengan sejarah silamnya. Wanita ini tegas menzahirkan pengalaman jatuh bangun sebagai anak seni adalah sejarah yang cukup berharga untuk dikenang malah bukan semua individu dapat merasai nikmat sedemikian.
Mengecapi populariti tanpa bantuan media sosial adalah sesuatu cukup membanggakan. Malah tidak keterlaluan mengatakan jika hari ini dia masih di alam remaja dan bakat pula baharu dicungkil, tidak mustahil dia mampu berdiri sama tinggi dan setanding selebriti lain.
“Ada hikmahnya juga tidak popular sekarang. Zaman saya dahulu kalau orang tak suka, mereka hanya mengata di belakang, dan kita pun tak tahu. Paling ketara pun bila berselisih akan jeling dan palingkan muka sahaja.
“Tapi hari ini berbeza. Bila tak suka dan menyampah, tak payah tunggu lama. Mereka terus kecam on the spot dalam media sosial. Siap kutuk berjemaah lagi. Kiranya masa saya masih selamat lagilah.
“Sebab itu, saya tak hairan dengan artis-artis seksi dan kena kecam hari ini. Itu perkara biasa yang terpaksa dilalui bila bergelar artis. Saya beritahu dengan anak, mama dulu lagi seksi dari dia orang ni. So, mama tak hairan pun. Cumanya zaman dulu tiada media sosial dan mama selamat daripada menerima kecaman,”katanya ketawa.

Hidayah datang tanpa disangka 

Dirisik tentang hijrahnya ketika ini, dia akui hidayah yang diterima datang secara tiba-tiba tanpa perancangan.
Menurut pelakon drama Puteri Yang Ditukar ini, suaminya juga terkejut dengan keputusan drastiknya mengenakan hijab secara tiba-tiba.
Dia turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak kononnya dia berhijab disebabkan faktor usia serta mengikut trend terkini, baginya semua itu adalah ketentuan dari Allah SWT. Niatnya jelas ikhlas tanpa paksaan dan dorongan pihak lain.
“Ramai juga rakan terkejut bila tahu saya mengenakan hijab pada tahun lepas. Ada yang tak percaya dan pelik dengan langkah saya ambil. Sampaikan ada yang cakap, you ini biar betul! Zila ini mesti ada something wrong! Maklumlah, artis seksi ‘berani mati’macam saya ni tiba-tiba ‘bertutup’ mana dia orang tak pelik.
“Kalau saya cakap pun mesti ramai yang tak percaya. Bayangkan, pagi itu saya hantar anak ke sekolah dengan seluar seksi, koyak sana-sini, tiba-tiba tengah hari masa ambil dia orang, saya pakai sopan dan berhijab. Usahkan orang lain, anak sendiri pun pelik tengok saya,” katanya.
Menurut Zila dia kini cukup tenang. Dia gembira menjadi Zila Bakarin. Bagaimanapun, dia tidak pernah membenci masa silam. Tidak perlu jadi hipokrit. Segala yang pernah berlaku dia akan kenang sebagai memori indah dalam kehidupan
Terbaharu, dia kini dalam fasa perbincangan bersama seorang usahawan yang menawarkan peluang untuk bekerjasama dalam mempromosi sejenis produk kesihatan berkonsepkan penjagaan berat badan. Produk yang akan mewarnai pasaran kelak bakal menyaksikan dia dilantik sebagai duta dan jurucakap.
“Sebenarnya sebelum menerima tawaran ini, saya terlebih dahulu pengguna produk tersebut. Ketika di awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pada Mac tahun lepas berat badan saya mencecah hampir 80 kilogram. Waktu itu langsung tak jaga makan, sehinggakan mengalami sakit sendi tulang terutamanya di pinggang dan lutut.
“Ketika itu mahu solat pun susah dan terpaksa tidur bersandar kerana tak boleh baring seperti biasa. Alhamdullillah, selepas diperkenal dengan produk ini saya sudah boleh menjalani kehidupan seperti sebelumnya. Jadi selain promosi produk, saya juga merupakan testimoni yang cukup berkesan untuk dinilai pengguna.
“Insya-Allah, jika ada rezeki dan segalanya berjalan lancar mungkin akan termeterai perjanjian dalam sedikit masa. Doakanlah semoga ia menjadi kenyataan,” katanya mengakhiri perbualan. = Pancaindera

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×