Di sana sini, rakan-rakan e-hailing berduka dengan pendapatan harian yang jatuh menjunam, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali dilaksanakan. Sudah hampir dua minggu PKP berlangsung, ada pemandu yang cuma mendapat RM25 setelah seharian melilau di atas jalan raya.
Sehingga ada yang mula merindui penumpang-penunpang bernama Majeed, Abdul Rahman, Rasul, Mujibur Raheem iaitu nama- nama penumpang warga Bangladesh dan Pakistan. Mereka inilah antara penyumbang utama tambang Grab yang tinggi harganya.
Namun jika e-hailing yang membawa penumpang jatuh merudum, geng penghantar makanan terutamanya Foodpanda pula lain ceritanya. Sehingga viral pendapatan mereka mencecah RM18,000 untuk dua bulan bekerja!
Secara kebetulan seorang penumpang wanita menaiki kereta saya baru-baru ini. Saya agak umurnya awal 30-an, naik dari Bandar Baru Bangi menuju ke stesen MRT, Kajang.
Sebaik saja dia duduk, wanita ini menegur saya – Okay tak kak sekarang Grab? Akak tak nak buat Foodpanda ke? Boleh dapat banyak duit macam yang viral tu,” tanyanya.
Saya tersengih. Jangankan kata ada lesen motosikal, menunggang kenderaan itu pun saya tak pandai.
“ Saya kan kak, tak tahu pun Foodpanda boleh dapat income macam itu sekali. Kalau saya tahu, memang saya ‘pow’ suami saya,” kata wanita tersebut sambil ketawa
Kenapa pula? Melulu saya bertanya kepadanya.
“Suami saya buat Foodpanda kak. Dah setahun lebih. Memang kerja atas jalan saja. Balik pun malam. Cuma tak pernah pula dia cerita pendapatan dia berapa sebulan. Saya pun malas nak tanya sebab kasihan tengok muka dia, penat memanjang,” katanya lagi.
“Awak kerja?” Tanya saya.
Jawabnya, dia bekerja sebagai kerani akaun. Gaji pun tak banyak, tapi tidaklah hidup susah. Anak pun baru seorang.
“Okaylah tu. Suami tak guna duit awak kan?” Saya menguji.
“Tak kak. Dia tanggung semua. Rumah, kereta, duit dapur, susu anak. Duit saya guna sikit-sikit tambah apa patut. Itu yang saya terfikir, income suami saya pun mesti banyak ini bila tengok viral yang itu.
“Untung itu untunglah kak, tapi mahu juga saya tahu pendapatan dia. Kut banyak, boleh juga ajak beli emas. tengah murah ni..,” katanya lagi.
“Apa susah, balik karang tanya saja pada suami. Kan senang. Tak pun tengok saja aplikasi Foodpanda, semua kan tertulis,” kata saya, pandai pula memberi cadangan.
“ Betul juga. Kalau banyak, esok juga saya heret pergi kedai emas,” selamba dia berkata.
Saya tersengih. Mujur sudah sampai ke destinasi. Sewaktu mahu membayar tambang, sempat saya mengerling ke tangannya. Seutas gelang emas yang kaum wanita memanggil ‘pulut dakap’ yang kecil melilit pergelangan tangannya. Juga dua bentuk cincin di jari manis dan jari tengah. Amboi, ratu emas rupanya dia ini, bisik hati kecil saya.
Saya berlalu sambil memikirkan, agaknya sudah ada ‘pulut dakap’, dia nak beli emas ‘pulut panggang’ pula! – Mingguan Malaysia










