PETALING JAYA: Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) mahu Bajet 2023 dapat memberi tumpuan kepada usaha mempercepat dan merancakkan adaptasi digital dan automasi untuk mengatasi masalah kos dan margin keuntungan syarikat PKS.
Pengerusinya, Datuk William Ng berkata, antara cabaran yang dihadapi oleh perusahan kecil dan sederhana (PKS) adalah kos bahan mentah dan perniagaan yang tinggi, kekangan tenaga kerja dan margin keuntungan yang ‘nipis.’
Katanya, mereka juga berdepan cabaran untuk menepati piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang semakin rumit.
“Oleh itu kami berharap kerajaan dapat mengambil kira cabaran-cabaran ini di dalam merumuskan Bajet 2023.
“Kerajaan boleh memberi potongan cukai berganda untuk sebarang pelaburan semula bagi tujuan pendigitalan, automasi dan pematuhan piawaian ESG bagi tahun tafsiran 2023 dan 2024
“Mengalih fokus intervensi dan bantuan daripada pemberian geran langsung kepada potongan cukai berganda serta ‘hand holding’ dan peningkatan pengetahuan antara PKS,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Beliau juga berharap cukai pendapatan ditetapkan pada kadar 15 peratus untuk pendapatan bercukai RM500,000 yang pertama, selain memastikan tiada kenaikan kos elektrik, air dan telekomunikasi untuk PKS
Dalam pada itu, bagi mengatasi isu tenaga kerja dan produktiviti buruh yang rendah, William memohon kerajaan untuk memberikan insentif melalui potongan berganda untuk sebarang kursus, perisian atau perkhidmatan konsultasi untuk tujuan pelaksanaan gaji dan insentif berkait produktiviti.
“Bagi membantu PKS menerokai pasaran baru dan menyertai kembali rantaian bekalan global, kerjaan boleh memberi imbuhan melalui pemotongan cukai sebanyak 50 peratus bagi sebarang kenaikan keuntungan dari sumber asing atau luar negara,” ujarnya.
Tambahnya, untuk memastikan syarikat milik kerajaan (GLC) tidak bersaing secara langsung dengan PKS, semua GLC perlu dimandatkan untuk membentangkan kad laporan tahunan yang meliputi peratusan perolehan, bilangan pembekal sedia ada dan baru dari kalangan PKS.
Menurutnya, GLC juga perlu menunjukkan purata pembelanjaan dari setiap pembekal PKS, dan aktiviti untuk membantu menaikan taraf kemahiran dan kesediaan kelompok tersebut. – UTUSAN










