Lantiklah siapa pun, takkan ‘reda’

Lantiklah siapa pun, takkan ‘reda’

Kemenangan calon-calon dalam pemilihan UMNO minggu lalu tidak sewajarnya dikaitkan dengan kem tertentu kerana keputusannya ditentukan oleh 160,000 perwakilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUTUP tirai sudah himpunan terbesar sebuah parti terbesar umat Melayu di Malaysia bertempat di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, yakni Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022. Ada yang balik dengan senyum riang, ada juga yang balik dengan hati duka lara.

Keputusan telah dibuat. Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan berjaya mengekalkan kedudukan masing-masing setelah tiada sebarang perlawanan merebut kerusi nombor satu dan dua diizinkan.

Penyokong yang memihak kepada penyandang sudah pasti berpuas hati dengan keputusan ini. Sebaliknya bagi penyokong yang mahu menaikkan orang baharu sebagai Presiden UMNO, kepulangan mereka pada petang 14 Januari lalu disusuli langkah suram dan tidak puas hati.

Tidak keterlaluan boleh disebut bahawa setiap kali himpunan terbesar parti Melayu itu berakhir, pasti ada yang bawa pulang dua rasa hasil daripada keputusan perhimpunan – suka dan duka. Sudah menjadi lumrah, mana mungkin kita mampu memuaskan hati dan perasaan semua orang.

Lantiklah siapa pun menjadi Presiden UMNO, ada sahaja perkara sama akan berlaku. Apatah lagi ketika tiba musim pemilihan jawatan-jawatan dalam parti berkenaan, suasana di WTC Kuala Lumpur akan riuh rendah bak pesta keramaian.

Namun selepas beberapa ketika, orang UMNO ini akan berbaik semula. Makan satu meja, minum di kedai kopi yang sama. Serang seteru yang sama. Cuma kadang-kadang ada juga yang terus berdendam, menyerang pemimpin sendiri tanpa belas ihsan.

Itulah senario dalam parti keramat bernama UMNO. Ia sebenarnya bagai sebuah keluarga besar yang walau dicincang, takkan mudah putus. Boleh juga disebut, carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum jua.

Kecuali ada si Kitul yang wujud di celahan ahli yang kerjanya diupah untuk merungkaikan ikatan dalaman parti.

Hakikatnya, UMNO tidak ubah seperti sebuah keluarga yang besar dan kukuh. Sejauh mana dan selama manapun orang UMNO bergaduh, akhirnya di kala tiba tarikh pembubaran Parlimen yang lazimnya setiap lima tahun sekali, mereka kembali bersatu hati. Menaikkan bendera yang sama, poster yang sama atas nama presiden yang satu.

Begitu juga dengan situasi sekarang. Apabila keputusan dalam PAU 2022 memutuskan tiada sebarang pertandingan bagi kerusi Presiden dan Timbalan Presiden untuk PAU akan datang, keluarga ini seolah-olah sudah terbahagi kepada dua pasukan.

Satu pasukan yang menyokong usul tersebut, manakala pasukan satu lagi adalah mereka yang tidak bersetuju usul berkenaan – mahukan dua jawatan itu dibuka untuk dipertandingkan secara demokrasi.

Jika nak ulas kedua-dua pendapat pasukan ini sudah pasti tak termampu kita lakukan. Terlalu banyak sudut pandangan, terlalu ramai yang bersuara.

Hujah bagi kedua-dua pasukan memang masuk akal. Ada yang benar bagai dikata. Ahli UMNO tidak boleh nafikan seratus peratus pandangan pasukan pro-Presiden. Ahli UMNO juga patut menerima hujah-hujah pandangan pasukan yang mahu jawatan nombor satu parti dipertandingkan. Masing-masing ada isi yang signifikan.

LICIK

Cuma yang lebih penting bagi kita sekarang adalah untuk tautkan kembali hati dan jiwa orang-orang UMNO dalam sebuah keluarga besar yang harmoni. Fikirkan soal musuh yang lebih licik dan rajin menyerang di hadapan. Bermakna UMNO sudah tiada masa untuk bergaduh sesama sendiri, musuh sedang mara ke hadapan untuk membunuh UMNO. Takkan ahli UMNO mahu biarkan begitu sahaja?

Kita mahu UMNO kembali bangkit setelah dua kali terjatuh selepas bertempur di medan peperangan. Kita mahu UMNO mencontohi kebangkitan semula Parti Demokratik Liberal (LDP) di Jepun setelah kalah kepada Parti Demokratik Jepun (DJP).

LDP sudah 50 tahun dalam kancah kekuasaan. Namun, tetap kalah kepada sebuah parti picisan pada 2009 dek kebangkitan rakyat dan lompong-lompong isu dalaman parti yang tidak berjaya diperbaiki segera.

Pun begitu, LDP bangkit semula untuk berkuasa di Jepun dalam masa yang singkat. Semangat inilah yang kita mahu UMNO bentuk dan sebarkan agar UMNO kembali menjadi kerajaan tunggal di Malaysia suatu masa nanti.

Hentikan kesibukan bertegang urat sesama sendiri. Jangan asyik tembak betis kawan sendiri. Masing-masing harus berjiwa besar dan membuat satu haluan yang sama secara sederap.

Cukuplah kita bergaduh antara kawan dalam parti. Masa ini jentera UMNO harus aplikasikan politik khidmat bakti yang menjadi amalan parti sejak dari dahulu lagi. Hanya dengan cara itu, sesebuah parti politik dan wakil rakyat dapat melawan segala mehnah dan fitnah di media sosial yang cuba dimain-mainkan oleh pihak lawan.

Itu mungkin strategi jangka masa panjang. Namun, UMNO perlu pelan strategi untuk jangka masa pendek. Reset kembali UMNO dan susun strategi baharu menghadapi praktis demokrasi yang bakal tiba tidak lama lagi.

Pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri contohnya, boleh dijadikan testimoni terpenting dan ideal buat UMNO.

Pada waktu inilah UMNO boleh lihat sama ada para jentera parti kembali bersemangat dan bergerak setelah kecewa kerana kalah dalam PRU15 lalu atau masih ‘demam kura-kura.’ Medan ini jugalah (PRN) dapat memperlihatkan kepada semua, adakah jentera dan pengundi sudah menerima kepimpinan pucuk tertinggi parti atau sebaliknya?

Andai jentera UMNO sudah mula memaafkan dan melupakan duka lara lama? Tak mustahil UMNO mampu menawan enam negeri berkenaan dengan dibantu oleh rakan strategik parti. Jika UMNO mampu menang di majoriti kerusi yang dipertandingkan, itu juga tanda bahawa para pengundi masih selesa dengan kepimpinan UMNO sedia ada.

Namun, apabila keputusan PRN nanti tidak memihak kepada UMNO sepertimana keputusan PRU15 lalu, maka wajarlah kita memikirkan sesuatu yang perlu terhadap pucuk pimpinan parti keramat ini. – UTUSAN

PENULIS ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA) dan Ahli Gabungan Pelajar Melayu Semenjung (GPMS) Bangi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×