SAYA dijemput pada 9 Januari lalu untuk menyampaikan ucapan kepada hampir 1,000 penjawat awam dan kepimpinan masyarakat di daerah Muar, Johor bersempena Majlis Amanat Tahun Baharu Pegawai Daerah Muar.
Sehingga kini, saya masih hairan mengapa diberi ruang tersebut kerana insaf dengan kekurangan diri dan yakin terdapat banyak lagi tokoh yang sesuai untuk memberi ucapan terutama dalam topik integriti.
Namun, atas dasar memuliakan jemputan daripada seseorang yang saya hormati, saya menggagahkan juga diri ini untuk memberikan beberapa pandangan berkaitan tajuk tersebut. Integriti adalah tajuk yang malar segar untuk diperkatakan.
Topik ini semakin mendapat tempat dalam perbincangan peringkat tertinggi dalam negara sementelah ia menjadi kalimah tumpuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tegar mengungkap soal tata kelola yang baik, penentangan keras terhadap korupsi dan seumpamanya semenjak mengambil alih tampuk kepimpinan negara lebih sebulan lalu.
Integriti memang satu mauduk (tajuk) perbincangan yang sangat suka dikupas oleh ramai penceramah. Yalah, dalilnya beratus kalau bukan beribu yang dapat dipetik. Iktibar daripada sejarah juga tidak sedikit yang boleh dikisahkan semula.
Bahkan jika dikitar semula naratifnya yang biasa didendang sejak puluhan tahun, ia akan tetap enak didengar tambahan pula sang naratornya boleh memukau. Tiada apa salahnya dalam hal ini selagi mana dalil yang digunakan itu sahih, iktibarnya tepat dan naratifnya relevan.
Namun, hal ini jika berterusan, isu integriti dan kepentingannya akan kekal menjadi slogan sangat abstrak dan nostalgia yang sekadar enak untuk dikenang. Keyakinan terhadap peranan integriti juga akan kekal terbatas kepada pengamalan ajaran agama atau nilai moral semata-mata tanpa kesan substantif.
Ini bercanggahan dengan pengajaran ditunjukkan sendiri oleh Nabi SAW yang berjaya membuktikan secara nyata bahawa pemerkasaan integriti adalah prasyarat kepada kejayaan negara dipimpin baginda. Demikian juga yang berjaya dibuktikan oleh khalifah-khalifah Ar-Rasyidin selepas baginda.
Oleh demikian, rakyat khususnya penjawat awam perlu diyakinkan ada korelasi kukuh di antara nilai integriti dan nikmat kemakmuran negara. Bahkan kedua-dua pemboleh ubah ini berkadaran terus yang membawa implikasi runtuhnya kemakmuran negara jika runtuhnya nilai integriti.
CPI
Maka dalam ucapan tersebut, selepas memberikan huraian dalil agama yang pelbagai, saya sertakan dua jadual mengkategorikan 10 negara tertinggi dan terendah mata pencapaian Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang menjadi proksi kepada kedudukan integriti, indeks kemakmuran negara dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita sebagai proksi limpahan nikmat kemakmuran kepada rakyat.
Kesemua pemboleh ubah ini dipetik dari tiga institusi berbeza untuk 2021 iaitu Transparency International, Institut Legatum dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Dapatan daripada data-data empirikal ini menunjukkan negara-negara tinggi indeks kemakmurannya seperti Denmark dan New Zealand, 90 dan 87 mata, maka kedudukan integritinya juga tinggi iaitu 88 dan 87 pada pencapaian CPI.
KDNK per kapita bagi negara-negara kategori ini juga pada julat AS$45,000 sehingga hampir AS$80,000. Sebaliknya bagi negara-negara yang indeks kemakmurannya rendah seperti Somalia dan Sudan Selatan, 29 dan 30 mata, nilai integritinya juga berada dua ke tiga kali ganda lebih rendah iaitu sembilan dan 12 pada CPI.
KDNK per kapita bagi negara-negara ini juga sekitar AS$500 sehinggalah AS$3,000 sahaja. Lebih malang lagi dalam senarai 10 negara terendah untuk skor-skor tersebut, lima daripadanya adalah negara umat Islam manakala 10 negara terbaik, tidak ada satu pun negara umat Islam.
Walaupun masih terdapat perbezaan kesimpulan dalam menentukan hubungan antara kemakmuran dan integriti seperti dapatan Forum Ekonomi Dunia (WEF) dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), namun sekurang-kurangnya dapatan ini menunjukkan trend yang berlaku dalam dua kategori negara-negara ini seakan mengesahkan wujudnya korelasi tersebut.
Ini juga boleh memberi keyakinan kepada kita semua bahawa usaha peningkatan integriti itu bukan hanya bermaksud untuk kempen yang abstrak sasarannya bahkan boleh menterjemah hasil substantif kepada negara dan rakyat.
Selesai ucapan, saya ditemui beberapa tetamu memaklumkan pendekatan ceramah ‘berangka’ begini agak janggal bagi ceramah integriti dan keagamaan. Namun, mereka lebih menghargai pendekatan tersebut kerana ia bukan sahaja mengasak kesedaran nilai bahkan membibitkan keyakinan yang realistik dan praktikal.
Saya sekadar mengingatkan diri dan seluruh rakan penjawat awam, tidak cukup sekadar keyakinan dan kepercayaan terhadap agenda yang diperjuangkan oleh kepimpinan negara pada masa ini atas dasar berkhidmat untuk kerajaan semasa. Sebaliknya usaha bersungguh-sungguh perlu digerakkan untuk meraih hasil yang telah terbukti secara substantif dapat dicapai.
Malaysia pada 2021, berada pada kelompok pertengahan untuk skor-skor tersebut. Indeks kemakmuran kita adalah pada nilai 67 manakala CPI pada mata 48 dan KDNK per kapita pada nilai AS$11,452.
Ini bukan wasatiyyah (seimbang) yang kita perlukan! Namun, sekurang-kurangnya kita sedar bahawa pilihan sama ada mahu melonjak ke atas atau menjunam ke bawah itu seimbang. Semuanya terserah kepada kita.
Mungkin juga surat pesanan Saidina Ali r.a. kepada Malik Bin Al-Harith Al-Ashtar, Gabenor Mesir pada 658H yang diungkap oleh Perdana Menteri dalam perutusan tahun baharu baru-baru ini sesuai ditelaah lebih lanjut oleh kita semua khususnya penjawat awam.
Akhirnya, selain keterkaitan antara kemakmuran material, satu perkara yang mesti kita hadam bersama sebagai manusia beriman adalah isu keberkatan. Keberkatan adalah nilai yang mungkin semakin menghilang daripada kita semua. – UTUSAN
PENULIS ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).











