MUKADIMAH
DALAM temu bual eksklusif bersama Presiden UMNO, DATUK SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, beliau mengakui cabarannya yang dihadapinya cukup banyak.
Beliau berkata, UMNO dan dirinya sendiri bukan sahaja diserang dari luar, tetapi dia diserang dari dalam, dari kumpulan yang memecah cermin di rumah sendiri atau menembak kaki sendiri yang bukan sahaja menyebabkan orang yang diserang itu cedera parah, tetapi turut mengakibatkan UMNO hampir rebah.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL, NIZAM YATIM, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR serta jurugambar AMIR KHALID, beliau yang ditemu bual di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, semalam mengakui serangan itu telah berjaya apabila UMNO kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
PAHIT GETIR ZAHID
Kita harus melihat latar belakang. Selepas PRU11 pada 2004 dan ketika itu, UMNO/Barisan Nasional (BN) memperoleh 198 daripada 222 kerusi Parlimen. Itu adalah kemuncak pencapaian UMNO dan BN.
Selepas itu menurun, menurun dan menurun, kita hilang kerajaan dan PRU15 biarpun kita hanya tinggal 30 kerusi Parlimen dan kita lihat, Allah SWT telah mentakdirkan kita berada di dalam kerajaan.
Cabarannya cukup banyak, UMNO bukan sahaja diserang dari luar, tetapi juga diserang dari dalam, dari kumpulan yang memecah cermin di rumahnya sendiri. Atau menembak kaki sendiri. Dan ini dijadikan peluru atau penukul untuk memukul kepala orang itu sendiri yang mengakibatkan bukan sahaja orang itu cedera parah, tetapi UMNO hampir rebah.
Namun, cabaran-cabaran itu pasti berlaku dalam situasi yang telah berubah. Kita lihat semua parti mempunyai masalah. Namun, memecahkan perpaduan dalam kalangan kepimpinan dan ahli-ahli, sesuatu yang tidak harus dialu-alukan.
Ya, kita boleh melayani perbezaan pendapat, menyantuni pelbagai pandangan, namun apabila tiba waktunya, kita harus bergerak melangkah sederap dan kita harus mempunyai minda yang sama untuk menjadikan parti sebagai wadah bukan sahaja sebagai institusi politik tetapi institusi sosial, bukan sahaja orang Melayu tetapi seluruh rakyat Malaysia.
Tetapi itu tidak terjadi, maka cabarannya adalah bagaimana dalam situasi ini, hala tuju baharu harus dihidangkan bukan sahaja kepada ahli-ahli tetapi kepada rakyat Malaysia keseluruhannya untuk merelevankan UMNO dalam persada politik tanah air.
SEBAB PILIH KERAJAAN PERPADUAN, BUKAN PN
Kita mengkaji dari segi mudarat. Mudarat besar dan mudarat kecil. Kita dapati mudarat besar jika kita mengambil keputusan untuk bersama-sama dengan Perikatan Nasional (PN) kerana kita akan berada di gelanggang yang sama.
Kita akan berebut saham yang sama di kawasan-kawasan pengundi-pengundi Melayu berada. Mereka memenangi 74 kerusi sekarang ini dan kita menjadi kumpulan melukut di tepi gantang jika kita bersama dengan mereka.
Tujuan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ditubuhkan adalah untuk membunuh UMNO, ini jelas daripada tawaran-tawaran the scheme of things dan beberapa tindakan pecah dan perintah yang telah dilakukan.
Pas telah kita santuni perbezaan dalam kalangan kita dan telah wujudkan penyatuan ummah dan termeterai perjanjian Muafakat Nasional (MN) tetapi jelas mereka mengkhianatinya.
Jadi, kedua-dua ini memang dari segi dalaman dan luaran kita lihat sama ada untuk membunuh UMNO ataupun menggantikan peranan UMNO. Jadi, mustahil untuk menyerahkan tengkuk kita untuk dibunuh buat kali kedua oleh mereka. Cukuplah sekali ditipu.
Banyak bukti yang telah terhidang di hadapan kita umpamanya apabila kesepakatan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Dipersetujukan kerusi yang ditandingi UMNO tidak akan ditandingi oleh mereka. Tetapi mereka melakukan muslihat dengan meletakkan empat calon di kerusi yang kita telah persetujukan umpamanya.
Mereka berjanji bahawa ketua menterinya datang dari UMNO. Jelas, sebelum pilihan raya, ketika hari penamaan calon, orang lain diumumkan sebagai calon ketua menteri.
TIMING PUNCA KALAH PRU15
Itu penganalisis telah buat beberapa pengumpulan data dengan menyatakan yang terbaik adalah selepas PRN Melaka. Ketika itu semangat dan faktor wow cukup-cukup tinggi. Kemudian, keputusan dibuat supaya pembubaran selepas PRN Johor dan itu juga jelas dilepaskan peluang sehingga ada desakan parti untuk kita memperoleh mandat baharu daripada rakyat. Itupun terpaksa pindaan perlembagaan dibuat, terpaksa usul dalam PAU dibuat. Jadi, melepaskan peluang untuk melihat waktu yang tepat dan sesuai itu bukan hanya sesuatu yang harus dikaji tetapi kita perlu muhasabah diri.
Kita jangan lagi toleh ke belakang tetapi saya dan rakan-rakan kepimpinan menyarankan kita semua untuk terus jalan ke hadapan. Jangan pedulikan, jangan lakukan blame game dalam perkara ini. Hakikatnya, dalam landskap politik yang baharu, kita perlu bergerak dengan cara baharu dalam situasi luar biasa. Kita mesti lakukan banyak langkah luar biasa supaya UMNO relevan dan dominan semula dalam pentas politik tanah air.
FAKTOR SEBENAR BN KALAH
Jelas bahawa ‘hujan lebat’ turun berwajahkan Yang di-Pertuan Agong yang pertama untuk ditaburkan kepada pengundi. Jelas dalam PRU15 yang lalu.
Mereka melakukan sesuatu yang berada di luar norma demokrasi berperlembagaan dan mereka menggunakan pentas untuk meraih penyokong bukan dengan kaedah-kaedah demokratik tetapi menggunakan pada hemat saya, dana yang sangat besar bagi meraih sokongan dan ini terbukti daripada video, gambar dan pengakuan penerima-penerimanya.
Tetapi penganalisis politik tidak melihat itu sebagai aspek utama sebenarnya, tetapi cuma menganalisis ini seolah-olah gelombang Melayu, gelombang anak muda, tetapi itulah faktornya yang telah digunakan di Sabah yang diturunkan dalam PRU15 baru-baru ini.
DITUDUH SEBAGAI PUNCA KEKALAHAN
Dalam PRU14, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi pusat graviti dan serangan ditujukan kepada beliau. Ini dilakukan oleh pihak musuh di luar dan di dalam untuk merebahkan papan yang paling ke hadapan dengan harapan papan-papan berikutnya turut rebah. Ini jelas berjaya dan teori sama dan amalan sama kali ini dilakukan terhadap saya. Jadi, jelas sekali lagi mereka berjaya. Kalau ini tidak disedari oleh pimpinan dalaman dan pimpinan di peringkat pertengahan atau bahagian, maka saya rasa kita ubah talkin untuk dibaca lebih awal sebelum kita masuk ke liang lahad.
Maka untuk kita bangkit semula, jangan kita berniat untuk mentalkinkan diri sendiri atau kita hendaklah sembahyang sebelum kita disembahyangkan.
KENAPA SLOGAN NO DAP BERUBAH SELEPAS PRU15?
Kita lihat Pas dulu tolak DAP tapi telah bekerjasama dengan DAP. Kita lihat Tun Dr. Mahathir Mohamad ialah orang yang paling benci dengan DAP tetapi jelas selama 22 bulan mendakap DAP. Ini pertama kali UMNO mengambil keputusan bukan hanya dengan DAP, tapi ada PKR, di situ ada Amanah (Parti Amanah Negara).
Ini merupakan satu pengalaman baharu untuk UMNO. Yang penting, DNA (asid deoksiribonukleik) UMNO harus diterjemahkan dengan melakarkan agenda yang ada pada UMNO dan BN. Ini tidak pernah tergugat.
Dan saya lihat rakan-rakan di dalam kesepakatan ini menghormati pendirian UMNO dan juga memahami apa yang diperlukan oleh UMNO untuk menterjemahkan bukan sahaja agenda UMNO tetapi Melayu keseluruhannya tanpa meminggirkan kaum-kaum lain di negara kita.
MANFAAT KERJASAMA DENGAN PH
Bersama dengan Pakatan Harapan (PH) bukan bererti kita menyertai PH. Ini adalah kolaborasi politik dan kita harus melihat untuk bekerjasama dengan musuh yang kita kenal daripada musuh yang mahu membunuh kita.
Maka untuk jangka panjang (jika kerjasama dengan PN) tentu kita tidak akan berada di gelanggang 74 kerusi, kita akan berada di gelanggang di mana mereka tidak masuk ke gelanggang kita.
Jadi, kita mengambil semua pertimbangan ini (untuk memilih kerjasama dengan PH), apatah lagi di dalam kerajaan perpaduan ini di mana kita mempunyai enam menteri penuh dalam Kabinet dan enam timbalan menteri.
Pada hemat saya. bukan hanya portfolio-portfolio penting diberikan kepada kami tetapi mereka (PH) menghargai sumbangan daripada kami kerana tanpa 30 ahli Parlimen BN, mereka tidak dapat membentuk kerajaan. Jadi, penghargaan itu jelas. Kita juga meneliti manifesto lima parti politik yang bergabung dalam kerajaan perpaduan ini. Jelas mempunyai kesamaan terutama soal menangani kos sara hidup rakyat dan kita terjemahkannya dengan melaksanakan beberapa tindakan berdasarkan manifesto.
Dan pada waktu sama sekretariat tetap ditubuhkan untuk mendepani dan menyantuni perbezaan dan juga mencari titik persamaan untuk memperkukuhkan kolaborasi dalam kalangan parti-parti berbeza dan terus bergerak untuk menterjemahkan manifesto dan idealisme berdasarkan apa yang kita kongsi bersama.
Begitu juga kita lihat ada kebaikannya (kerjasama PH) sebab di kawasan-kawasan bercampur, di kawasan saya sendiri yang 25 peratus adalah pengundi India, 24 peratus pengundi Cina. Banyak lagi kawasan yang undi penentu terdiri daripada pengundi bukan Melayu. Dari segi jangka sederhana dan panjang akan menguntungkan UMNO dan BN.
PAS KHIANATI UMNO
Banyak perbincangan malah persefahaman yang kita telah tandatangani. Tetapi mereka terlalu banyak muslihat dan kita telah mengalami (pengkhianatan) beberapa kali. Saya tidak perlu mengaibkan dengan mendedahkan apa mereka lakukan, apa muslihat mereka lakukan. Mereka sendiri tahu keikhlasan itu tiada dalam prinsip utama dalam perkongsian politik.
Mereka mempunyai minda yang mana pengaruh UMNO perlu dilucutkan, bagaimana mereka harus mengambil peranan sebagai sebuah parti untuk menggantikan UMNO. Kita dapat fahami tanpa saya memperincikan. Dan ini jelas dalam beberapa tindak tanduk mereka terutama kenyataan-kenyataan presiden parti yang jelas walaupun kita bersahabat ketika itu. Kita tahu apa yang mereka nyatakan di hadapan dan sebaliknya dilakukan di belakang kita.
Dengan keadaan sebegitu, apabila sudah tiada keikhlasan, kejujuran dalam bersahabat atau berkongsi pentas politik, tentunya kita mengambil jalan untuk berpisah. Malah di saat-saat akhir sebelum PRU15, pertemuan empat mata dilakukan, di hadapan saya setuju, di belakang saya dia buat lain. Pertemuan lapan mata juga dilakukan, begitu juga persetujuannya hampir 90 peratus tapi di belakang dia berselingkuh dengan teman baharunya.
CABARAN PRESIDEN UMNO BUKAN PM
Sebelum beliau, kita juga ‘berperdanamenterikan’ bukan pemimpin UMNO. Selepas itu, perubahan pimpinan berlaku kerana gerakan yang dibuat oleh UMNO kerana orang itu mahu membunuh UMNO dan ketika UMNO menjadi Perdana Menteri kesembilan (PM9), kita lihat beberapa agenda parti dilaksanakan.
Pada hemat saya, perbezaan dengan PM10 memperlihatkan beliau yang ber-DNA sama dengan kita tidak pernah pun menyanggah apa yang kita telah sama-sama persetujui, pada waktu sama tidak juga meminggirkan kepentingan lain. Jadi, menterjemahkan maksud perpaduan dalam erti kata sebenar untuk mewujudkan kestabilan politik menjadi keutamaan beliau dan kami yang berada dalam kerajaan.
KEKUATAN DIRI HADAPI DESAKAN LETAK JAWATAN
Saya lakukan melalui dua pendekatan, berpolitik atau lakukan apa sahaja kerana kita mahu menjaga amanah Allah dan juga dengan niat kerana Allah. Jangan pernah lari daripada itu. Kedua, kita mesti istiqamah.
Apa pun serangan yang berlaku, dari luar atau dalam, itu adalah lazim di dalam organisasi politik.
Kalau kita tidak mahu dilanda ombak, jangan berumah ditepi pantai. Dan makanan orang politik adalah fitnah, serangan, kezaliman, diaibkan, bersedia untuk hadapi itu semua kerana saya telah pacakkan rumah di tepi pantai dan jika datang tsunami pun rumah itu terus tegak kerana tiang serinya kukuh, iaitu akar umbi UMNO sendiri adalah penyokong kuat kepada keutuhan UMNO sebagai sebuah organisasi politik. – UTUSAN











