Cari jalan kekalkan pakar sedia ada dalam negara - Utusan Malaysia

Cari jalan kekalkan pakar sedia ada dalam negara

PEMERINTAH harus mendengar segala rungutan dan keluhan yang datang daripada pakar tempatan serta mengambil segala langkah yang perlu untuk memastikan mereka tidak berhijrah ke negara lain. – GAMBAR HIASAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini dilaporkan, Kementerian Sumber Manusia melalui Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) akan terus memacu usaha mendorong rakyat Malaysia di luar negara untuk membawa pulang kepakaran mereka melalui Program Kepulangan Pakar (REP) melalui inisiatif baharu, Malaysia@Heart (MyHeart) yang akan mula dilancarkan sekitar suku pertama tahun ini.

Menterinya, V. Sivakumar berkata, MyHeart diperkenalkan sebagai platform untuk berhubung dengan diaspora Malaysia dan bekerjasama dalam inisiatif yang dapat memanfaatkan negara.

Sebelum itu, akhbar ini telah melaporkan, Malaysia bakal kehilangan lebih satu juta pakar dalam pelbagai bidang tenaga kerja dan siswazah ke negara-negara lain pada 2030 jika isu penghijrahan profesional tidak diatasi dalam tempoh tujuh tahun dari sekarang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ini berdasarkan laporan Bank Dunia mengenai penghijrahan profesional di Malaysia yang menunjukkan, jumlah warganegara berhijrah ke luar negara semakin meningkat dalam tempoh setiap 10 tahun, bermula dengan 99,306 individu pada 1990 meningkat kepada 164,884 individu pada 2000.

Sebenarnya, daripada sibuk membuang masa dan tenaga memberi fokus untuk membawa pulang pakar tempatan yang sudah berhijrah dan bekerja di luar negara, pihak kerajaan perlu memberi fokus untuk memastikan pakar tempatan sedia ada yang kini sedang bertugas dalam negara kita akan terus kekal bekerja dan memberi khidmat bakti mereka kepada masyarakat dan negara kita.

Kita tidak seharusnya memberi tumpuan terhadap mana-mana pihak yang sudah mengambil keputusan untuk berhijrah dan bekerja di luar negara kerana perkara berkenaan adalah keputusan diri mereka sendiri.

Kita tidak perlu membuang masa dan tenaga untuk menubuhkan apa-apa jenis agensi atau jabatan khusus atau melaksanakan apa-apa jenis program untuk memujuk rayu mana-mana pihak yang sudah mengambil keputusan untuk berhijrah dan bekerja di luar negara untuk pulang semula ke dalam negara kita.

Terpulanglah pada diri pakar-pakar berkenaan untuk kekal tinggal dan bekerja di luar negara ataupun pulang semula dan bekerja di dalam negara kita.

Fokus yang harus diberikan kini adalah terhadap pakar-pakar tempatan yang sedang bertungkus lumus memberi khidmat bakti mereka kepada masyarakat dan negara yang kini sedang berada dalam negara kita.

Terdapat ramai pakar tempatan dari pelbagai bidang kepakaran yang masih sudi tinggal dalam negara ini serta memberikan khidmat bakti mereka kepada masyarakat dan negara Malaysia.

Segala pengorbanan yang diberikan oleh pakar yang masih sudi tinggal dalam negara kita ini haruslah diberi perhatian dengan sewajarnya, dihargai dan diberi sokongan oleh semua pihak.

Pihak kerajaan harus memastikan supaya pakar tempatan yang masih berada dalam negara kita ini dapat terus memberi khidmat bakti mereka dalam negara kita dengan baik dan sempurna.

KEKAL

Pemerintah harus mendengar segala rungutan dan keluhan yang datang daripada pakar tempatan serta mengambil segala langkah yang perlu untuk memastikan mereka yang masih berkhidmat dalam negara kita pada ketika ini tidak berhijrah dan bekerja di negara lain.

Bertitik tolak daripada isu ini, sudah sampai masanya pihak kerajaan mempertimbangkan secara serius untuk memperkenalkan satu program baharu yang diberi nama Program Pengekalan Pakar (PPP) khusus bagi mengekalkan segala bentuk kepakaran yang dimiliki dalam kalangan pakar tempatan yang ada dalam negara kita daripada membiarkannya mengalir ke luar negara.

Umum telah pun mengetahui, pada masa kini kita sudah memiliki REP yang telah diperkenalkan pada tahun 2001 untuk menangani keperluan bakat di Malaysia yang semakin meningkat dengan memudahcarakan kepulangan profesional Malaysia yang berpengalaman dari luar negara untuk kembali berkhidmat dalam negara kita. Pengurusan program tersebut telah dipindahkan kepada TalentCorp pada 2011.

Walaupun selama ini banyak tumpuan diberikan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang mempunyai tahap kepakaran dan ilmu pada paras tinggi yang sedang bekerja di luar negara, namun kita tidak seharusnya lupa terhadap pakar tempatan yang sedang berkhidmat di dalam negara kita.

Mereka juga mempunyai tahap ilmu, kelayakan dan kemahiran yang sama tinggi malah lebih baik lagi yang perlu dilindungi dan dijaga dengan baik pada setiap masa supaya mereka juga tidak berubah hati dan berhijrah untuk bekerja ke negara lain.

Amat menyedihkan dan merugikan sekiranya tenaga pakar tempatan sedia ada yang memiliki tahap ilmu dan kemahiran yang tinggi ini meninggalkan negara kita dan memilih untuk berhijrah dan bekerja di luar negara.

Tenaga kepakaran pakar sedia ada dalam negara kita amat bernilai dan diperlukan bagi membantu menjana ekonomi negara serta menjayakan segala bentuk dasar kerajaan dalam menjadikan negara kita sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi pada masa depan kelak.

Tenaga kepakaran pakar tempatan sedia ada juga amat penting bagi membantu dan menyumbang bakti terhadap masyarakat dan negara kita.

Pada masa yang sama juga, satu kajian terperinci perlu dilakukan bagi mengenal pasti faktor-faktor yang boleh mendorong pakar tempatan sedia ada untuk berhijrah dan bekerja ke luar negara.

Kita juga perlu perlu mengkaji langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengekalkan semua pakar tempatan sedia ada dalam negara supaya mereka tidak meninggalkan negara kita dan memilih untuk bekerja di negara lain.

Langkah proaktif perlu diambil bagi mengekalkan pakar tempatan sedia ada dalam negara kita. Ini dapat dilakukan dengan jayanya melalui langkah mewujudkan program khusus seperti PPP yang telah dicadangkan di atas. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×