KOTA BHARU: Taktik ‘licik’ dua lelaki menggunakan sebuah lori simen untuk menyeludup dua tan daun ketum ke negeri ini terbongkar apabila kenderaan berkenaan ditahan di Batu 6, Batu Melintang dekat Jeli semalam.
Pemandu dan kelindan lori yang masing-masing berusia 28 tahun dicekup selepas polis melihat kenderaan itu berada dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 4 pagi.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, anggota polis membuat keputusan untuk memeriksa kenderaan itu selepas mendapati lori simen kebiasaannya jarang beroperasi pada waktu malam.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas lori terbabit pada awalnya hanya menemui sebotol air ketum yang berada di bahagian tempat letak kaki.
“Hasil pemeriksaan lanjut di bahagian tangki lori itu telah membawa kepada penemuan sebanyak 200 bungkusan plastik hitam yang mengandungi dua tan daum ketum.
“Siasatan mendapati, kesemua daun ketum itu dianggarkan bernilai RM20,000 dan ia dipercayai dibawa dari negeri di utara untuk dijual bagi pasaran di Kelantan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini semalam.
Muhamad Zaki memberitahu, ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau mendapati mereka positf dadah benzo iaitu sejenis ubat penenang.
Katanya, polis sedang menjalankan siasatan berhubung penglibatan kedua-dua suspek dan syarikat tempat mereka bekerja.
“Sekiranya ada kaitan, kita akan menyita lori simen yang digunakan oleh kedua-dua suspek untuk menyeludup daun-daun ketum itu.
“Kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” ujarnya. – UTUSAN










