Tekanan lumrah dalam kehidupan. Mustahil individu mencapai kehidupan tanpa tekanan. Bahkan dalam proses membina kematangan hidup dan mencapai kehidupan lebih sempurna, sudah tentu semakin banyak rintangan, cabaran, tanggungjawab dan ujian yang akan ditempuhinya. Pensyarah Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor, Prof. Madya Dr. Siti Norlina Muhamad merungkai penyakit gaya hidup ini.

SERI: Tekanan atau stres itu apa?
Tekanan atau stres ialah tindak balas fizikal, emosi dan mental terhadap perubahan atau tuntutan hidup.
Ia merujuk manifestasi sistem minda-tubuh yang boleh diramal akibat daripada tekanan dalaman dan luaran, yang sekiranya berterusan, boleh memudaratkan diri atau membawa penyakit. Ia boleh menjadi rangsangan positif sebagai sumber motivasi, malah boleh bertindak sebaliknya, iaitu menyekat kewarasan.
Apa beza antara rasa tertekan dengan tekanan mental?
Rasa tertekan, tekanan atau stress ialah satu reaksi tubuh badan (fizikal), pemikiran, emosi serta tingkahlaku yang berlaku akibat dari perubahan persekitaran yang mendesak seseorang untuk melakukan proses penyesuaian.
Proses penyesuaian itu akhirnya akan menjadikan individu terbabit berupaya untuk beradaptasi, sesuai dengan fitrah dan tuntutan tekanan tersebut.
Proses penyesuaian ini penting, kerana ia akan menentukan ke mana dan di mana hala tuju individu bila berhadapan dengan tekanan. Genetik, persekitaran, pemakanan dan penyalahgunaan bahan terlarang turut meningkatkan risiko sakit mental.
Tanda individu mengalami tekanan?
Berbeza antara satu situasi dengan situasi yang lain. Tanda tekanan boleh dikategorikan kepada aspek kognitif, emosi, fizikal dan tingkah laku.
Dari aspek kognitif, antara tandanya ialah sukar membuat keputusan, kurang minat terhadap aktiviti harian dan berpandangan negatif.
Dari aspek emosi pula, muram, cepat marah dan tidak mampu bertenang. Dari aspek fizikal pula, individu yang mengalami tekanan akan berasa gementar, berpeluh dan rasa seram sejuk.
Tanda tekanan juga boleh dilihat dari aspek tingkah laku seperti makan berlebihan atau berkurangan, banyak atau kurang tidur dan lebih suka menyendiri.
Menangguhkan kerja atau mengabaikan tanggung jawab, merokok, mengambil alkohol atau dadah, resah gelisah, terlalu bergantung kepada orang lain, suka memberi komen dan mengkritik orang lain pun boleh menjadi tanda individu berdepan tekanan.
Bagaimana menangani?
cuba menerima kenyataan yang anda sedang mengalami tekanan atau stres. Kenal pasti punca, pelajari teknik dan kaedah pengurusan tekanan.
Sekiranya tiada perubahan dalam masalah tekanan dihadapi selepas tiga minggu mengamalkan teknik dan pengurusan stres yang disarankan, berjumpalah dengan pakar untuk mendapatkan bantuan.
Adakah gaya pemakanan mempengaruhi tekanan?
Ya. Pengambilan makanan tidak mengikut jadual betul juga boleh menyebabkan stres. Sebagai contohnya, seseorang lazimnya tidak mengambil sarapan pagi, akhirnya boleh menyebabkan gastrik hingga menjejaskan emosi dan keupayaan individu melakukan tugasan harian dengan lancar. Situasi ini akhirnya menyebabkan tekanan kepada individu tersebut.
BAGAIMANA dengan cara makan?
Makan secara gelojoh juga boleh menyebabkan tekanan. Cara kunyahan memberi kesan terhadap sistem pencernaan. Mengunyah menjadi salah satu proses dalam sistem pencernaan yang terpenting karana ia boleh mempengaruhi nilai makanan yang akan diserap oleh badan.
Kunyahlah dengan baik dan sopan. Ia perlu dijadikan kebiasaan kerana ia turut membantu mengurangkan tekanan individu.
Makan secara berjemaah atau berkumpulan lebih baik daripada makan bersendirian. Kalau bersendirian, individu cenderung makan secara gelojoh dan kurang menyeronokkan.










