KOTA KINABALU: Tiada keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah pada masa ini kerana Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor masih mempunyai sokongan majoriti dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pensyarah Kanan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr. Lee Kuok Tiung berkata, buat sementara waktu ini, Hajiji hanya perlu merombak Kabinet Negeri bagi menggantikan kekosongan jawatan yang ditinggalkan oleh ADUN Barisan Nasional (BN) yang telah menarik sokongan.
Tambahan pula, katanya, bukan semua ADUN BN menyokong keputusan dibuat oleh Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin.
“Namun, sudah pasti pilihan raya merupakan satu lagi pilihan yang boleh diambil kira bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat untuk menentukan siapa yang dikehendaki untuk menjadi kerajaan,” katanya.
Tambah beliau, Bung Moktar dilihat menggunakan naratif seperti yang dimulakan sebagai oleh Timbalan Presiden Parti Warisan (Warisan) apabila membangkitkan tentang ketua parti seperti termaktub dalam Perlembagaan Negeri Sabah.
Jika isu ketua parti dibangkitkan, semasa zaman Tan Sri Musa Aman menjadi Ketua Menteri Sabah dahulu pun, beliau bukan ketua parti.
Ketika ini, ketua parti bagi BN adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. – UTUSAN










