KESATUAN Eropah (EU) pada 6 Disember lalu mempersetujui satu undang-undang baharu bagi memastikan barangan yang memasuki pasarannya seperti produk-produk komoditi termasuk sawit tidak lagi menyumbang kepada penebangan hutan dan degradasi hutan. Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan apabila dikuatkuasakan kelak dijangka meningkatkan kos pengeluaran dan membebankan negara-negara seperti Brazil, Indonesia dan Colombia.
Memetik kenyataan Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir pada 13 Disember lalu, beliau berkata, industri sawit Malaysia tidak terjejas kerana hanya melibatkan produk-produk yang dikeluarkan selepas 31 Disember 2020.
Katanya, Malaysia tidak lagi membenarkan penebangan hutan untuk sawit selepas 2020 di samping pelaksanaan ketat banyak peraturan dan undang-undang.
Menurutnya, kerajaan juga menubuhkan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) untuk menyokong usaha pemuliharaan serta meningkatkan imej minyak sawit sebagai produk yang mampan dengan mengutamakan alam semula jadi.
MPOGCF asalnya dikenali sebagai Tabung Pemuliharaan Hidupan Liar Minyak Sawit Malaysia atau MPOWCF dan ditubuhkan pada 2006 di bawah Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC). MPOWCF dinaik taraf menjadi yayasan dan mula beroperasi sepenuhnya pada April 2021.
Dalam tempoh singkat, agensi ‘bongsu’ Kementerian Perladangan dan Komoditi ini menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memperkukuhkan lagi inisiatif pemuliharaan hijau minyak sawit Malaysia menerusi projek-projek memulihara hutan terosot, memulihara habitat hidupan liar, memulihara spesies hidupan liar yang terancam, mendidik dan mempromosi konsep kewujudan bersama (coexistence) sebagai penyelesaian jangka panjang kepada konflik tiada noktah, iaitu konflik manusia-hidupan liar.
Inisiatif-inisiatif utama pemuliharaan hijau yang dijalankan, antaranya Program Tanaman 1 Juta Pokok bagi Rehabilisasi Orang Utan Borneo di hutan seluas 2,500 hektar di Lower Kawaq, Hutan Simpan Ulu Segama, Lahad Datu, Sabah yang merupakan projek flagship (utama). Dan kini hampir 100,000 pokok hutan pelbagai spesies telah ditanam selepas mengharungi pelbagai cabaran ekoran pandemik Covid-19.
Projek kerjasama MPOGCF-Jabatan Perhutanan Negeri Sabah ini tidak hanya memulihara hutan terosot dan habitat orang utan, bahkan membantu sosioekonomi penduduk tempatan dengan peluang-peluang pekerjaan sebagai penanam, penyelenggara dan pembekal anak-anak pokok.
EKOPELANCONGAN
Di Kuala Terengganu pula, MPOGCF dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu bekerjasama membangunkan dan menjaga kawasan tadahan air di pusat bandar seluas 30 ekar yang menjadi Laman Konservasi dan Pendidikan Biodiversiti. Di samping memelihara pokok-pokok hutan sedia ada, pokok-pokok hutan yang diancam kepupusan turut ditanam di taman itu dengan matlamat menjadikannya sebagai pusat penyelidikan biodiversiti dan produk ekopelancongan yang boleh memupuk kesedaran memulihara alam semula jadi.
Bagi tahun ini, MPOGCF menyasarkan untuk memulakan inisiatif-inisiatif baharu seperti Program Konservasi Hutan Terosot dalam kawasan Central Spine Forest, Semenanjung dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.
Turut disasarkan ialah projek pemulihan ekosistem tanah gambut yang dahulunya ladang sawit seluas 400 hektar di Bintulu, Sarawak. Menerusi Projek Pembangunan Pemulihan Tanah Gambut ini, MPOGCF Sime Darby Plantation bekerjasama untuk membuktikan betapa komited industri sawit Malaysia kepada dasar Tiada Penebangan Hutan,Tiada Tanah Gambut dan Tiada Eksploitasi (NDPE).
Beberapa inisiatif baharu untuk pemuliharaan hidupan liar pula, antaranya Projek Penanaman Rumput Napier di Koridor Hidupan Liar di Brumas, Sandakan, Sabah yang mana koridor itu berjaya membuktikan manusia dan gajah boleh hidup bersama secara harmoni di ladang-ladang sawit.
Konsep kewujudan bersama ini dibawa MPOGCF ke Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor bagi membantu pekebun-pekebun kecil yang kerap mengalami serangan gajah-gajah liar. Bantuan seperti pemasangan pagar elektrik, siren amaran awal dan latihan-latihan keselamatan diberikan untuk menyelesaikan konflik manusia dan gajah serta pada masa sama tidak mengancam keselamatan kedua-dua pihak.
Inisiatif-inisiatif pemuliharaan biodiversiti ini adalah usaha kerajaan memperkukuhkan daya saing industri sawit Malaysia di peringkat global untuk berhadapan isu perdagangan yang berselindung di sebalik isu alam sekitar. – UTUSAN
PENULIS ialah Pengurus Komunikasi Korporat Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF).










