PETALING JAYA: Kerajaan perlu meningkatkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang menawarkan gaji setimpal jika tidak mahu terus kehilangan tenaga mahir yang berhijrah ke luar negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, sistem bekerja dalam negara perlu terus berkembang supaya pakar tempatan berasa selesa bekerja di negara sendiri.
Katanya, majikan perlu menerima perubahan dan berkorban sedikit keuntungan mereka bagi memastikan kebajikan pekerja ditingkatkan agar produktiviti dapat dipertingkatkan.
“Di sini saya lihat perlu ada situasi menang-menang antara pekerja, majikan mahupun negara. Kerajaan juga harus membantu majikan yang menghadapi masalah dengan mengadakan pelbagai insentif supaya mereka dapat meneruskan kelangsungan dalam industri.
“Perubahan ini perlu dilakukan dengan kerjasama semua pihak, ia bukan merugikan sebaliknya adalah pelaburan untuk jangka masa panjang. Kesan ia bakal diterjemahkan melalui produktiviti, kualiti dan pendapatan masa akan datang,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Malaysia bakal kehilangan lebih satu juta pakar dalam pelbagai bidang tenaga kerja dan siswazah ke negara-negara lain pada 2030 jika isu penghijrahan profesional (brain drain) tidak diatasi dalam tempoh tujuh tahun dari sekarang.
Ini berdasarkan laporan Bank Dunia mengenai brain drain di Malaysia yang menunjukkan, jumlah warganegara berhijrah ke luar negara semakin meningkat dalam tempoh setiap 10 tahun, bermula dengan 99,306 individu pada 1990 meningkat kepada 164,884 individu pada 2000.
Sementara itu, Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, kehilangan pakar dalam negara bukan lagi disebabkan pilihan sendiri tetapi kerana sistem itu sendiri.
Jelasnya, dahulu pakar memilih bekerja di luar negara disebabkan pilihan peribadi walaupun ketika itu peluang pekerjaan ada di Malaysia tetapi pada zaman ini ia adalah sebaliknya sehingga memaksa mereka berhijrah.
“Sistem kita bagai tiada satu perancangan yang baik daripada segi kegunaan tenaga sumber manusia. Pakar-pakar ni memerlukan pekerjaan dan pendapatan tetapi Malaysia tidak beri peluang.
“Sebagai contoh, doktor kita hanya ditawarkan jawatan kontrak dan tiada jaminan untuk masa depan mereka selepas tamat kontrak. Jadi keadaan itu membuatkan mereka akan beralih ke negara yang menawarkan masa depan untuk mereka.
“Kita perlu ada sistem lebih komprehensif berbanding amalan kita guna sejak lebih 20 tahun supaya dapat sediakan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Perkara ini perlu dilihat dengan lebih serius jika tidak akan lebih banyak orang-orang berkemahiran tinggi ni berhijrah keluar yang akhirnya rakyat dan negara juga rugi kerana kita melabur untuk melahirkan pakar-pakar ini” jelasnya. – UTUSAN











