Bolehkah beri zakat untuk mangsa banjir? - Utusan Malaysia

Bolehkah beri zakat untuk mangsa banjir?

BANJIR memusnahkan bukan sahaja harta benda malah turut meragut nyawa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ada pihak yang mempertikaikan bantuan kepada mangsa banjir oleh pihak pusat zakat. Malah ada segelintir asatizah pernah mengkritik kami di institusi zakat, khususnya Lembaga Zakat Selangor (LZS) apabila kami membantu mangsa banjir dengan bantuan zakat. Kata mereka, bantuan di bawah asnaf fisabilillah itu tidak termasuk untuk mangsa banjir.

Hakikatnya, para fuqaha baik kalangan fuqaha mutaqaddimin (terawal) dan fuqaha mutakhirin (kontemporari) telah pun membahaskan perihal bantuan zakat kepada orang-orang yang ditimpa musibah ini, termasuklah mereka yang dilanda musibah banjir secara panjang lebar.

Jadi, jika mereka tidak pernah membaca atau tidak pernah mendengar perbahasan berkenaannya, ia bukanlah bermakna hukum mengenainya tidak ada.

Sebab itu, adalah sangat baik jika kita bertanya apakah rasional dan hujah di sebalik sesuatu tindakan yang diambil oleh pihak pusat zakat terlebih dahulu, berbanding menunding jari mempertikaikan tindakan berkenaan secara melulu.

Di dalam al-Quran Allah SWT menyatakan dengan jelas: “Maka bertanyalah kamu kepada ahlinya (orang yang pakar dalam bidangnya) jika kamu tidak mengetahui,” (an-Nahl: 43).

Ingatlah, semua pusat zakat negeri di Malaysia ini bertindak di bawah pengawasan mufti negeri masing-masing secara ketat. Semua tindakan, baik dalam bidang kutipan mahu pun agihan zakat, perlu selari dengan fatwa dan garis panduan syariah yang dikeluarkan.

Fatwa yang diluluskan itu juga telah dibuat kajian secara mendalam dan diperdebatkan dengan teliti oleh ahli jawatankuasa fatwa sebelum diluluskan. Malah wujud jawatankuasa syariah dan juga pihak audit yang sentiasa memantau. Maka pihak-pihak inilah yang akan segera menegur jika sesuatu tindakan pusat zakat itu berlawanan dengan syarak.

Dalam isu musibah banjir ini, di antara ulama kontemporari yang mengharuskan pemberian zakat kepada mereka ialah Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi, iaitu dimasukkan mereka ke dalam kategori asnaf gharimin (orang yang berhutang).

Beliau berkata: “Mereka yang mendapatkan berbagai bencana hidup dan mengalami musibah di dalam hartanya, sehingga mempunyai keperluan yang mendesak untuk meminjam (berhutang) bagi dirinya dan keluarganya,” (Hukum Zakat, hal. 595). Maka, mereka layak disantuni dengan zakat.

Dalam konteks ini, Imam Mujahid telah menghuraikan dengan lebih jelas, iaitu: “Tiga kelompok termasuk orang yang mempunyai hutang, iaitu: (a) Orang yang hartanya terbawa banjir; (b) Orang yang hartanya musnah terbakar, dan (c) Orang yang berkeluarga tetapi tiada harta sehingga berhutang untuk menafkahi mereka,” (Hukum Zakat, hal. 595).

Malah ada hadis yang sangat jelas riwayat Imam Muslim, iaitu Nabi Muhammad SAW pernah menyatakan kepada Qabishah bin Mukhariq al-Hilali r.a bahawa salah satu daripada tiga jenis manusia yang diharuskan meminta hak zakat ialah mereka yang ditimpa musibah sehingga binasa hartanya.

Berbalik kepada agihan di bawah asnaf gharimin. Dari aspek definisi, al-gharimin merujuk kepada orang yang berhutang. Hutang itu pula terbahagi kepada dua, iaitu hutang untuk maslahat (kepentingan) awam dan hutang untuk kepentingan diri sendiri (termasuk kepentingan keluarga atau tanggungan dikira sebagai kepentingan diri sendiri).

MANGSA BANJIR TERMASUK ASNAF GHARIMIN, FISABILILLAH

Dalam konteks banjir atau sebarang musibah yang melibatkan bencana alam lain seperti ribut, tsunami, gempa bumi, tanah runtuh dan kebakaran, semua kejadian ini telah menyebabkan mereka yang mengalaminya menderita kerosakan harta benda yang teruk, malah mungkin juga melibatkan kehilangan nyawa khususnya orang yang selama ini menjadi tonggak ekonomi keluarga.

Dari fenomena di atas, kesannya sangat tragik dan traumatik. Akibatnya, ada mangsa yang terjejas terus sehinggakan untuk meneruskan kehidupan, mereka terpaksa berhutang ke sana ke mari.

Dalam sejarah, dikhabarkan bahawa Umar al-Khattab r.a selaku khalifah amat menjaga kebajikan orang yang ditimpa masalah hutang yang bersifat tidak dicari dengan sengaja ini. Samalah seperti musibah banjir, ia bukanlah hutang yang disengajakan.

Dalam satu peristiwa, ‘Umar pernah mengarahkan Abu Musa al-Asya’ari r.a agar menggunakan harta Baitulmal negara untuk menanggung beban hutang bagi keluarga yang terbeban dengan masalah hutang-piutang, apa lagi jika mereka tidak mempunyai ahli keluarga terdekat yang mampu menanggung beban hutang berkenaan (Jaribah Ahmad al-Haritsi, Fiqh Ekonomi Umar al-Khattab, hal. 300-301).

Atas dasar itulah, maka syarak melihat wujudnya keperluan untuk zakat berfungsi secara optimum dengan meringankan beban mangsa-mangsa musibah tanpa duga ini (sesuatu yang tidak dicari dengan sengaja) melalui bantuan zakat.

 

Beginilah pemandangan dari udara bandar Chukai, Kemaman yang masih ditenggelami banjir pada 9 Januari lepas. – UTUSAN/ PUQTRA HAIRRY ROSLI

Selain daripada asnaf al-gharimin di atas, ada juga dalam kalangan fuqaha yang membahaskan perihal bantuan zakat kepada mangsa musibah ini di bawah asnaf fisabilillah. Apa yang perlu kita semat dalam minda, sesungguhnya di sisi fuqaha silam dan zaman sekarang, telah dan terus berlaku perbahasan demi perbahasan yang sangat luas mengenai cakupan penerima zakat di bawah nama asnaf fisabilillah ini.

Bagi mereka yang belajar kitab-kitab klasik, maka mereka akan menemui majoriti pandangan fuqaha silam, khususnya dalam imam mazhab yang utama iaitu Maliki, Syafie dan Hambali termasuklah di sisi Abu Ubaid al-Qassim (menerusi kitabnya yang popular al-Amwal), adalah lebih syadid (tegas).

Majoriti mereka banyak memfokus dan mendefinisi fisabilillah kepada mujahid (orang yang berperang di jalan Allah) dan juga untuk tujuan peperangan menegakkan agama Allah SWT. Ini kerana, memang banyak dalil al-Quran yang mengaitkan fisabilillah dengan konteks peperangan menegakkan Islam.

Namun begitu, sebahagian fuqaha khususnya dalam mazhab Hanafi dan para fuqaha yang datang selepas zaman itu lebih cenderung untuk meluaskan maksud fisabilillah. Apatah lagi apabila majoriti negara Islam tidak lagi berada dalam keadaan peperangan, maka mendefinisi fisabilillah hanya untuk peperangan adalah sesuatu yang merugikan.

Imam Kasani misalnya mendefinisikan fisabilillah dengan merujuk kepada semua amalan kebaikan yang mendekatkan diri dengan Allah SWT. Dalam perkaitan dengan musibah banjir, Imam Ibnu Qudamah menyatakan dengan lebih khusus: “Zakat yang dikeluarkan untuk untuk membina jambatan-jambatan dan jalan-jalan, itu adalah zakat yang diperbolehkan dan diterima”. (Hukum Zakat, hal. 611 dan 620)

Maka, jelas bahawa wujud jalan keluarnya bagi pihak pengurusan zakat untuk membantu mereka yang terjejas dengan musibah banjir ini, sama ada dengan santunan zakat di bawah asnaf al-gharimin dan juga fisabilillah. Malah jika mereka menjadi fakir atau miskin, mereka boleh terus disantuni sebagai fakir atau miskin.

Walau bagaimanapun, dalam praktik atau amalan di negara kita, zakat yang dihulurkan oleh pihak institusi zakat negeri adalah bersifat lebih mendepani keperluan umat secara individu berbanding keperluan umum.

Atas dasar itu, mangsa-mangsa banjir ini mendapat santunan secara langsung oleh institusi zakat, khususnya untuk memenuhi keperluan asas individu dan keluarga. Ada pun keperluan yang bersifat makro seperti membaiki jalan yang putus, jambatan rosak, bangunan runtuh dan sebagainya lagi adalah ditanggung oleh pihak pemerintah.

Kesimpulannya, Islam sama sekali tidak menghalang institusi zakat berperanan aktif dalam meringankan beban mangsa-mangsa banjir dengan bantuan zakat.

Malah, inilah tindakan yang sangat mulia demi meringankan bebanan kaum muslimin yang ditimpa musibah tanpa duga. Oleh itu, marilah kita bersama-sama mendokongnya dengan menunaikan zakat di institusi zakat negeri masing-masing. Mudah-mudahan mereka yang teruk terjejas akibat banjir ini dapat sama-sama diringankan bebannya, amin.

  • Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Ketua Jabatan Sekretariat Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS) dan boleh dihubungi di [email protected].
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×