‘Mata saya ibarat wayar TV yang sudah rosak’ - Utusan Malaysia

‘Mata saya ibarat wayar TV yang sudah rosak’

Mohamad Hafizzudin bersama kumpulannya yang menyelidik mengenai Rafflesia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Secara fizikalnya, tiada apa yang kurang dengan Mohamad Hafizzudin Mohd. Fadeli,30. Pemuda ini kelihatan segak dengan jubah lengkap graduan ketika ditemui pada konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke 50, baru-baru ini.

Hakikatnya, graduan Sarjana Sains Bioteknologi Tumbuhan ini mempunyai penglihatan terhad akibat masalah glaukoma yang dialaminya sejak berusia 16 tahun lagi. Mohamad Hafizzudin hanya boleh nampak apa yang ada dihadapannya saja dan dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan terhad.

Namun kekurangan itu tidak pernah melunturkan semangat Mohamad Hafizzudin untuk terus mengejar kejayaan dalam pendidikan walaupun masih ada segelintir pihak tidak yakin dengan keupayaannya.

“Memang menyedihkan bila orang tahu keadaan saya, mereka tidak yakin dengan keupayaan saya. Masa buat asasi di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pun, ada yang tanya kenapa belajar sains dan ambil bioteknologi? Kononnya sebab susah.

“Orang tak yakin sedangkan saya yakin dengan kemampuan saya. Saya belajar macam orang lain. Tak pernah minta bantuan khas sebagai OKU. Penglihatan terhad mungkin menyebabkan saya perlu berhati-hati bila berjalan tetapi tiada masalah untuk membuat tugasan diberikan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya dia kerap jatuh jika pergi ke mana-mana dan perlu menaiki pengangkutan awam untuk ke makmal kerana tidak boleh memandu kereta atau motosikal tambahan pula tiada lesen.

ALAHAN TERUK DI TINGKATAN 4
Menceritakan kembali punca yang menjejaskan penglihatannya, Mohamad Hafizzudin berkata semuanya bermula ketika matanya mengalami alahan yang teruk ketika di tingkatan empat.

“Saya sebenarnya dilahirkan normal. Masa saya di tingkatan empat iaitu pada tahun 2008, mata saya merah kerana alahan teruk. Doktor yang merawat saya memberikan ubat titis mata steroid tetapi rupa-rupanya ubat berkenaan menyebabkan tekanan tinggi dalam mata apabila digunakan secara berpanjangan.

“Kesannya saya kehilangan penglihatan secara perlahan-lahan yang dikenali sebagai glaukoma secondary. Patutlah selama ini saya kerap jatuh, nampak macam cahaya pelangi dan bila bermain badminton, saya tak nampak bulu tangkis (shuttle). Saya tertanya-tanya juga dalam hati apa yang sebenarnya menimpa diri saya?,” katanya.

Sepanjang berada di tingkatan empat, Mohamad Hafizzudin yang bersekolah asrama penuh selepas cemerlang dalam Penilain Menengah Rendah (PMR), hanya dapat bersekolah selama sebulan saja.
Selebihnya masanya dihabiskan di hospital dan berehat di rumah kerana sudah kehilangan 80 peratus penglihatan.

Dalam keadaan itu, Mohammad Hafizzudin cuba juga bersekolah tetapi malangnya matanya mengalami jangkitan dan sejak itu, tidak dibenarkan ke sekolah.

Tahun berikutnya dia cuba memohon untuk mengulang tingkatan empat tetapi ia tidak dibenarkan dan diminta terus ke tingkatan lima.

“Oleh kerana banyak ketinggalan pelajaran di tingkatan empat, saya berusaha belajar dan mengulangkaji dengan kawan-kawan selepas waktu sekolah. Masa di tingkatan lima, saya ambil sains tulen. Di situ pun sudah ada yang meragui kemampuan saya.

9A SPM
“Berkat bantuan kawan-kawan, saya akhirnya berjaya mencapai keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sememangnya saya suka ke sekolah dan belajar dengan kawan-kawan kerana ia membuatkan saya gembira. Sebaliknya kalau tidak sekolah, saya jadi stress,” katanya.

Bagaimanapun beliau menyifatkan diri sebagai beruntung kerana ramai rakan membantu termasuk apabila melanjutkan pelajaran ke UIA.

Kawan-kawan membuatkan Mohamad Hafizzudin terasa seperti insan sempurna seperti orang lain.

Bagaimanapun, beliau mengakui bila melanjutkan pengajian sarjana di UKM, situasi menjadi lebih sunyi kerana tidak ramai kawan lelaki. Tambahan pula kumpulan penyelidikannya semua wanita kecuali dirinya.

“Masa di UKM, saya banyak berseorangan. Kena bertarung sendiri dengan kekurangan diri dan menangani masalah berkaitan penyelidikan saya berkaitan bunga Rafflesia atau Padma.

“Kadangkala saya hampir putus asa sebab tidak banyak data atau rujukan mengenai penyelidikan saya ini dan seakan tidak jumpa penamatnya. Saya cuba cari kenapa bunga spesis parasit ini memilih perumah tertentu saja iaitu sejenis pokok rotan. Banyak hipotesis yang belum dibuktikan,” katanya.

Ujarnya, bagi mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai Rafflesia, dia pernah pergi ke hutan di Pahang dan Royal Belum di Perak.

Namun kebanyakan masa kajiannya lebih banyak dilakukan di makmal saja dan data boleh diakses menerusi komputer dari rumah saja.

Mohamad Hafizzudin berkata tidak semua orang berpeluang melihat Rafflesia dan dia yakin kajiannya itu walaupun tidak ke arah mencari keuntungan akan memberi manfaat kepada eko sistem negara pada masa depan.

Tegasnya, bukan semua penyelidikan perlu menghasilkan produk untuk meraih keuntungan semata-mata.

Sebaliknya kajian ilmiah juga pasti akan membawa manfaat suatu hari nanti.

‘Mata saya ibarat wayar TV yang sudah rosak’
“Mata saya ibarat wayar TV yang sudah rosak. Kalau nak baik kena ganti saraf mata. Jadi kalau nak buat transplan atau pemindahan mata pun tidak boleh. Saya juga dinasihatkan doktor untuk bersedia dengan risiko kehilangan penglihatan sepenuhnya.

“Tapi saya rasa tidak perlu kerana mata masih nampak. Kalau belajar pun, jari saya mungkin tidak peka atau sensitif dengan tulisan Braile seperti orang yang tidak dapat melihat sepenuhnya,” katanya yang minat dengan aktiviti mendaki bukit.

Kata Mohamad Hafizzudin dia baru saja berjaya mendaki Gunung Kinabalu tahun ini dan aktiviti membuatkan dia sangat teruja. Berpegang kepada prinsip ‘pandang ke depan dan jangan fikir apa yang di belakang’, dia berjaya juga sampai ke puncak gunung berkenaan.

Minat jadi guru
Mohamad Hafizzudin sebenarnya sudah pun bekerja sebagai guru di sebuah sekolah swasta di Sungai Buloh, Selangor dan mengajar subjek sains dan fizik.

Katanya kerjaya guru menjadi pilihannya kerana dirinya gemar bercakap dan seronok setiap kali ke sekolah untuk mengajar.

Selain mengajar di sekolah, Mohamad Hafizzudin juga mengajar kelas tuisyen atas permintaan ibubapa pelajarnya.

“Sebagai OKU, jangan sesekali membandingkan kemampuan diri kita dengan orang lain bagi mengelakkan perasaan kekurangan diri kita. Normal atau OKU semua ada masalah masing-masing yang perlu kita hadapi sendiri.

“Apa yang penting kena ada keyakinan diri. Jalan terus dan jika ada masalah kita berhenti, jatuh bangun rawat diri sendiri. Jadikan sumber kekuatan dengan berserah kepada Allah SWT. Banyak mengadu padaNya,” katanya memberikan nasihat kepada pelajar OKU lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×