Bon voyage A380 Malaysia Airlines

Bon voyage A380 Malaysia Airlines

Gambar Hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAGAI wartawan yang sering membuat liputan tugasan di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), melihat pesawat bersaiz gergasi bukanlah asing. Setiap kali menaip berita di anjung tinjau terminal utama KLIA, pesawat A380 keluaran firma Airbus sentiasa menjadi tumpuan bagi ‘merehatkan’ mata saya akibat penat melihat skrin komputer riba.

Para pengunjung yang berlegar di anjung ini juga tidak melepaskan peluang berswafoto bersama-sama rakan atau keluarga dengan latar belakang ‘wajib’ ada pesawat tersebut. Meskipun ia diletakkan di pekarangan terminal satelit, ramai mungkin tidak tahu yang pesawat gah itu sebenarnya ‘tersadai’ tanpa digunakan sejak lebih tiga tahun lalu.

Itu cerita lama sebelum 19 Disember 2022 dan selepas tarikh berkenaan, kelibat kesemua enam buah A380 milik Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) ini sudah balik semula ke tempat asalnya di Perancis.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ironi, berita sedih ini tidak disedari ramai, jauh beza sewaktu pesawat itu mula tiba di KLIA pada 2012 apabila disambut begitu meriah dengan diberikan pancuran air daripada jentera bomba.

Semburan itu sebetulnya simbolik ucapan ‘Selamat Datang’ yang menjadi amalan lazim kesemua operator terminal udara di seluruh dunia bagi meraikan pesawat yang pertama kali mendarat di lapangan terbang masing-masing. Kehadirannya lebih sedekad lalu menyaksikan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak datang menyambut, bahkan siap ada paluan kompang dan bunga manggar lagi.

Bagi pengunjung atau penumpang tetap KLIA, ketiadaan jet superjumbo itu amat dirasai dan mungkin berasa terkilan kerana ia membuktikan kehebatan imej Malaysia Airlines sendiri. Saya teringat pengalaman menaiki pesawat Saudi Airlines semasa menunaikan umrah dengan keluarga sebelum sempadan negara ditutup pada awal 2020.

Seorang penumpang warga Arab Saudi berkata, dia bangga melihat Malaysia Airlines mampu ada A380 walhal bukan semua operator termasuk negaranya sendiri memiliki model tersebut. Jauh di lubuk hati ini, siapa tidak berasa bangga apabila ada rakyat asing dari sebuah negara kaya memuji Malaysia tetapi kini kisah itu cuma tinggal nostalgia dalam lipatan sejarah.

HANCUR

Bagaimanapun, saya tertarik dengan sisi pandangan berbeza pakar geostrategis, Dr. Azmi Hassan apabila ditanya komen peribadinya mengenai isu ini.

“Langkah Malaysia Airlines yang memulang balik A380 tidak menjejaskan imej baik syarikat penerbangan nasional ini. Malah dari sudut praktikal, tindakan itu jauh lebih ekonomi,” katanya ketika dihubungi.

Meskipun mungkin ada sedikit perasaan ralat atau sedih, beliau dalam nada jujur berkata, banyak operator sudah menyerahkan semula pesawat itu dan ia bukan perkara pelik pun. Ujarnya, bayangkan Air France di Perancis sendiri di mana model itu dibina menjadi yang pertama bertindak sedemikian pada 2020 sebelum diikuti jiran kita, Singapore Airlines.

Tidak ketinggalan Emirates dan Etihad dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang sinonim gah dengan armada puluhan pesawat badan lebar itu selain gergasi Eropah, Lufthansa dari Jerman. Secara berlapik, Azmi menambah, sepatutnya MAB sudah lama mengembalikan model itu ketika industri penerbangan global ‘hancur’ teruk apabila dunia dilanda wabak Covid-19.

“Dari sudut bisnes, trend pengembaraan udara sejagat sudah pun banyak berbeza pascapemulihan pandemik dan pesawat itu dianggap tidak lagi relevan dengan suasana kini,” katanya.

Beliau merujuk armada Malaysia Airlines ketika ini dengan ada enam buah A330-200 selain A330-300 (15), A350-900 (6) dan 737-800 (43) yang sebenarnya ideal serta memadai. Malah rancangan syarikat ini menempah 20 unit A330neo sebagai tukaran pengembalian A380 dan pembelian sejumlah 50 buah 737 MAX juga bertepatan untuk jangka panjang.

Maklumlah ujarnya, model baharu sama ada keluaran Airbus atau Boeing ketika ini lebih jimat bahan api, lestari alam sekitar dan paling penting, harganya masih lagi berbaloi. Betul, A380 berupaya memuatkan hampir 500 penumpang berbanding model biasa tetapi kos penyelenggaraan berkala dan baik pulih selain alat gantinya bukan taraf calang-calang.

Kesimpulannya, dunia sudah berubah namun jasa A380 sepanjang 10 tahun berkhidmat dengan Malaysia Airlines tetap diingati dalam membawa bendera Malaysia berkibar tinggi di angkasa. Bayangkan ketika era kemuncak, ia terbang dua kali sehari ke London waima pernah tular melalui media sosial dek kecekapan juruterbang kita mengemudinya semasa ribut kuat.

Justeru, kepulangan kesemua enam buah A380 dengan plat pendaftaran awal 9M diikuti MNA, MNB, MNC, MND, MNE dan MNF itu barang kali tentu dirindui penggemar tegarnya. Secara kebetulan, pemergian balik pesawat berkenaan sesuai dinoktah dengan ungkapan lazim sejagat bahasa Perancis yang terkenal bagi ucapan selamat jalan, iaitu bon voyage.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×