SUNGAI PETANI: Empat pasangan pengantin baharu tidak menyangka menempuh detik sukar pada hari bahagia mereka selepas sebuah syarikat perancang perkahwinan yang beroperasi di Gurun, di sini didakwa menipu apabila tidak memenuhi pakej yang dipersetujui bersama.
Selain terpaksa berhutang kerana perlu mengeluarkan kos tambahan menyediakan peralatan dan perkhidmatan katering yang gagal disediakan syarikat terbabit, mereka menanggung malu kepada tetamu jemputan kerana majlis tidak berlangsung seperti yang diharapkan.
Siti Azira Ahmad, 29, kakak kepada pasangan pengantin baharu, Mohd. Sallahuddin, 25, dan Nordiana Mohd. Nor, 23, berkata, dia terpaksa mengeluarkan RM17,400 apabila syarikat itu tidak menunaikan janji memenuhi pakej perkahwinan yang berlangsung pada 25 Disember lalu.
“Saya taja perkahwinan adik bongsu kami melalui pakej RM12,400 untuk majlis di Kampung Pulau Chengai, Gurun pada tarikh itu. Tetapi syarikat terbabit tidak muncul menyediakan khemah, kerusi, meja, pelamin serta makan minum dan menghantar baju pengantin.
“Keadaan itu membuatkan saya terpaksa mengeluarkan wang tambahan sebanyak RM5,000 untuk menyediakan segalanya secara sendiri bagi mengelak majlis kami gagal,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia, semalam.
Pasangan pengantin baharu, Zaim Sofwan Mohamad Hambali, 26, dan Nurul Shalimatul Musliha Ab. Halim, 26, berkata, mereka kesal kerana syarikat sama menipu dalam menyediakan pakej dipersetujui pada hari perkahwinan, 27 Disember lalu.
“Kami ambil pakej RM7,500 merangkumi makanan untuk 600 orang, penyediaan pelamin dan khemah termasuk pakej berbulan madu di Langkawi, Kedah selama tiga hari dua malam. Namun majlis di Gunung Keriang, Alor Setar bertukar kecoh apabila makanan dibekalkan tidak cukup selain khemah yang dihantar tidak seperti dijanjikan,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Amirul Mustafa, 26, dan isterinya, Aisyaidayu Jamil, 25, mendakwa terlebih dahulu ditipu syarikat itu setelah pihak terbabit tidak muncul pada majlis perkahwinan mereka di Kampung Permatang Rambai, Butterworth di Pulau Pinang pada 9 Oktober lepas.
“Kami mengambil pakej RM6,600 untuk majlis itu dan membuat bayaran penuh sejak 16 Mei lalu tetapi tidak sangka ditipu kerana tidak menyediakan sebarang peralatan atau makanan pada tarikh berlangsungnya majlis kami.
“Bagi mengelak menanggung malu kami terpaksa meminjam wang daripada ahli keluarga terdekat untuk menyediakan makan minum, pelamin dan menyewa khemah agar hari bersejarah kami berlangsung seperti biasa,” katanya.
Ahmad Bustamam, 27, dan Nurul Khairina Haris, 26, pula kerugian lebih RM10,000 kerana perlu mengeluarkan kos tambahan bagi menyediakan makan minum dan menyewa khemah baharu kerana makanan untuk 600 tetamu disediakan syarikat itu habis dalam tempoh sejam sahaja pada 24 Disember lalu.
Kesemua mangsa penipuan syarikat itu kemudian sepakat membuat laporan polis kerana mahu menuntut ganti rugi selepas usaha menghubungi pasangan suami isteri yang mengendalikan syarikat berkenaan gagal.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya menerima kesemua laporan dibuat mangsa-mangsa pada 28 Disember lalu dan siasatan kini dilakukan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan selain usaha menjejak suspek giat dilakukan. – UTUSAN










