Darurat iklim: Bukan sekadar istilah, perlu ada makna - Utusan Malaysia

Darurat iklim: Bukan sekadar istilah, perlu ada makna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

MUKADIMAH TRAGEDI tanah runtuh yang mengorbankan 31 orang di Batang Kali pada 16 Disember lalu menjadi lipatan sejarah duka negara. Kejadian menyayat hati itu secara tidak langsung membuka mata banyak pihak terutama apabila menyentuh soal alam sekitar. Bukan itu sahaja, kejadian banjir di Pantai Timur dalam masa sama yang seperti sudah menjadi bencana tahunan menimbulkan banyak persoalan, lebih-lebih lagi apabila menyentuh tentang kaedah penyelesaiannya. Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, NIK NAZMI NIK AHMAD bagi mendapatkan pandangan dan hala tuju beliau. Turut membantu jurufoto FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR.

AKTA PERUBAHAN IKLIM
MINGGUAN MALAYSIA: Sebelum ini YB ada mengatakan akan meneliti penggubalan Akta Perubahan Iklim. Apakah elemen yang dikaji dan dimasukkan dalam akta tersebut ?
Untuk Akta Perubahan Iklim, saya sudah memanggil kakitangan kementerian dan memberi taklimat beberapa hari lepas. Saya juga minta ia dipercepatkan kerana pada saya garis masa diberikan terlalu lama sedangkan keperluan akta ini amat mendesak.
Cuma setakat ini kita masih dalam peringkat awal dan akan pergi kepada sesi deraf dengan libat urus daripada pemegang taruh. Jadi, saya tidak rasa dibentang dalam sidang Parlimen akan datang. Namun kita cuba percepatkan.

Bagaimana akta lain yang pernah dituntut oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan atau Akta Udara Bersih?
Kita sedang teliti berkenaan isu jerebu rentas sempadan. Saya fikir masyarakat mungkin terlupa sebab kita ada Covid-19 sebelum ini sehingga menyebabkan masalah jerebu dilihat tidak serius sejak dua tiga tahun kebelakangan ini.
Tetapi kita juga perlu tahu apabila sampai musim kering tahun depan ditambah pula kepesatan industri penerbangan dan kenderaan kembali kepada normal, semua itu memberi kesan. Apatah lagi aktiviti di ladang kelapa sawit yang menyumbang kepada masalah ini.
Jadi kita perlu bersedia. Jangan ingat apabila tiada jerebu serius kebelakangan ini, maka kita tidak berdepan lagi isu tersebut.
Lagipun, ini antara isu besar. Apabila kita bercakap soal Akta Jerebu Rentas Sempadan, ada juga kekangan lain. Antaranya, akta ini masih tiada kerangka di peringkat serantau dan pada masa sama, kita mahu pastikan syarikat dari negara kita tidak melakukan sebarang kesalahan.
Sebabnya, kadang-kala apabila kita marah pada negara jiran, negara jiran berpatah balik kata syarikat kita yang terlibat. Mungkin daripada segi pelaburan syarikat perlu telus melaporkan aktiviti mereka supaya tidak menyumbang kepada masalah jerebu.

DARURAT IKLIM
Perlukah Malaysia mengisytiharkan darurat iklim?
Bagi saya paling penting kerajaan perlu ambil serius soal perubahan iklim. Apabila bercakap tentang soal terma dan istilah yang digunakan, kadang-kadang ada konotasi dan maksud tertentu.
Macam istilah darurat. Dalam Perlembagaan Persekutuan ada definisinya. Saya faham di peringkat aktivis dan di peringkat Selangor pun perkara ini sudah dibangkitkan demi kesedaran tentang kepentingan soal perubahan iklim.
Kalau kita tengok negara luar, banyak istiharkan bandar raya dengan istilah climate emergency atau darurat iklim. Tapi mereka tidak ubah apa-apa, masih menggunakan bahan api fosil dan sebagainya sama seperti biasa.
Sebenarnya paling penting kita perlu ada perubahan yang lebih bermakna, bukan hanya istilah semata-mata.
Di samping itu, antara perkara kita sahut dan pernah dibangkitkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau menjadi Ketua Pembangkang. Malah saya menulis surat pada 19 Disember iaitu hari pertama Speaker Dewan Rakyat baharu dilantik iaitu Datuk Johari Abdul untuk dibentuk satu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Alam Sekitar dan Perubahan Iklim supaya ada satu jawatankuasa yang boleh pantau perjalanan kementerian di peringkat Parlimen.

KERETA ELEKTRIK
Cadangan YB supaya kereta elektrik dibawa masuk ke negara ini mengundang pelbagai reaksi negatif terutama apabila ia turut dikaitkan dengan isu kesesakan lalu lintas. Reaksi YB?
Saya faham memang kalau kita bercakap soal kereta elektrik ia bukan penyelesaian sepenuhnya kepada isu sistem pengangkutan. Penyelesaian terbaik masih pengangkutan awam dan ia termasuklah pengangkutan tren yang menggunakan elektrik. Namun kita juga maklum pengangkutan awam masih belum bersifat universal. Di negara kita, kebergantungan kepada kereta masih tinggi terutama di luar Lembah Klang. Jadi dalam soal ini, selain penggunaan kereta elektrik ,ada satu lagi isu besar iaitu bagaimana dengan penggunaan sumber itu sendiri.
Kalau sumber masih seperti di negara kita, banyak lagi menggunakan arang batu dan gas, ia bukan sebenarnya bersih. Tapi dalam keadaan kita ke arah peralihan tenaga dan persekitaran lebih hijau, maka penggunaan kereta elektrik ini akan membantu dan ia lebih baik daripada kereta berasaskan petrol.
Saya setuju bahawa kereta elektrik semata-mata bukan penyelesaian. Sebaliknya, ia menjadi pelengkap kepada pengangkutan awam dan yang mana kenderaan peribadi masih penting, kereta elektrik masih lebih baik daripada kenderaan berasakan bahan api fosil.
Cuma di sini apa yang kita lihat isu besarnya adalah melibatkan kos. Saya difahamkan Proton akan membawa model-model kereta elektrik iaitu Geely Auto Group dari China.
Mungkin apabila dipasang di negara kita, ia akan jadi lebih murah. Satu hari nanti kalau berjaya tetapkan harga di bawah RM100,000, kita mampu ‘arus perdanakan’ kereta elektrik.
Saya turut difahamkan Volvo beberapa tahun akan datang mungkin menghentikan terus kenderaan petrol. Jadi trend bergerak pantas. Indonesia menjalinkan kerjasama dengan Tesla cuba menjadi negara yang ada industri kereta elektrik. Justeru kita tidak boleh ketinggalan.
Lagipun, daripada segi sumber kita tiada isu. Cuma kos sahaja. Mungkin ada orang bangkitkan isu pengecas, bateri dan sebagainya. Tapi apabila bertambah pengguna kereta ini nanti, kos akan turun. Kalau mahu cas tenaga yang pantas, pengguna mungkin perlu bayar sikit.
Kalau kita lihat sekarang seperti Petronas sudah faham dan tahu peralihan tenaga dengan isu tenaga hijau. Buktinya mereka wujudkan Jentari yang terlibat dengan sumber tenaga hijau. Termasuk caj elektrik seluruh negara.

Ada YB berjumpa dengan pengeluar kereta elektrik bagi mendapatkan perincian lanjut?
Saya ada libat urus dengan Jentari dan MGTC dan mereka telah berkongsi pandangan bagaimana untuk meningkatkan penggunaan kenderaan elektrik dan ekosistem itu. Kalau ekosistem banyak tetapi cas tidak banyak pun tiada gunanya. Jadi, ia perlu bergerak seiring.

Ada dakwaan mengatakan kos penggunaan elektrik untuk kereta ini tinggi dan membebankan. Komen YB?
Yang itu saya akan bincang dengan lebih lanjut. Di peringkat kerajaan, saya tidak mahu ia menjadi perkara luxury (mewah). Ya, sekarang kita sudah ada BMW. Ada tanggapan ia tidak laju.
Tapi kualiti baik. Cuma kita tidak mahu golongan berpendapatan tinggi (T20) sahaja boleh pakai. Sekurang-kurangnya kita sasarkan golongan pertengahan (M40) pun boleh pakai. Kos paling penting dan kenderaan elektrik tidak boleh di arus perdanakan begitu sahaja tanpa rakyat boleh gunakan.

BANJIR
Banjir sudah jadi bencana tahunan. Untuk tahun 2023 nanti apakah yang akan dilaksanakan kementerian YB bagi mengatasi masalah ini?
Tentang soal projek tebatan banjir kita akan teruskan. Banyak yang salah faham. Lagipun Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya umum kaji semula tapi bukan hentikan. Cuma kita mahu pastikan proses perolehan dibuat secara telus dan projek ini memakan masa untuk beberapa tahun. Banyak dasar kita perlu kaji dan dilihat semula.
Sebab sekarang bukan macam dulu yang kita boleh jangkakan (cuaca dan alam semula jadi). Infrastruktur perlu disediakan.

POLITIK
Bagaimana prestasi Pakatan Harapan (PH) untuk hadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti?
Walaupun Perikatan Nasional (PN) masih menunjukkan prestasi baik tetapi kalau kita tengok undi Melayu bagi PH atau PKR khususnya, dari Selangor sampai ke Johor masih lagi bertahan, daripada segi undi popular Melayu, agak tinggi untuk PH.
Misalnya, kawasan saya 65 peratus Melayu. Mustahil saya boleh menang dengan majoriti 12,000 undi (seandainya benar tsunami Melayu) .
Saya punya anggaran secara kasar sekitar 35 ke 40 peratus undi Melayu dalam keadaan berlawan dengan Barisan Nasional (BN) dan PN pada masa itu. Tetapi betul di Pantai Timur itu. Kita masih lagi tidak dapat dan tidak mampu memecahkan undi penyokong PN (menarik sokongan) khususnya Kelantan dan Terengganu dan di utara.
Kalau daripada segi sejarah, Kedah ini, PKR agak kuat terutama di Selatan dan sampai ke Permatang Pauh yang mana kita terkena kesannya. Pada saya, kita perlu kajian mendalam untuk kita lihat apa yang berlaku. Ya, kita tahu dana besar yang dibelanjakan oleh PN dan kempen mereka sangat agresif dan membakar sentimen kaum dan agama bukan hanya Pas tetapi juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Tetapi untuk isu-isu lain, kita perlu menjadikan diri kita relevan kepada undi 18 dan sebagainya sebab kalau kita tidak dapat menjadikan diri kita relevan, kita akan terus defensif.

Siapa pengganti Anwar selepas ini selepas kita lihat PKR seakan-akan tiada pelapis?
Saya sangat tak setuju kalau kata tiada pelapis. Kita ada orang berpengalaman, kita ada orang baharu macam Timbalan Presiden, Rafizi Ramli dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Jadi kalau di peringkat naib presiden pun saya tengok Nurul Izzah Anwar, Chang Lih Kang dan saya sendiri umur 40-an. Malah Ketua wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) pun sangat muda. Jadi atas dasar itu, bagi saya parti ramai pelapis, tidak timbul sebarang isu.

KESAN PERUBAHAN UMNO
Apa ramalan YB yang terjadi kalau kerajaan yang ada ini berlaku perubahan kepada pucuk pimpinan UMNO nanti?
Saya tak fikir begitu. Pertama sekali bagi saya kita ada perjanjian kukuh yang mengikat parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan. Kedua, bagi saya walaupun ada sedikit sebanyak perbezaan pandangan tetapi saya fikir secara umumnya saya tengok penerimaan daripada UMNO terhadap Kerajaan Perpaduan sangat positif.
Jadi saya yakin dengan kestabilan dan kita tengok sangat terbukti walaupun dalam undi percaya. Kalau pembangkang merasakan perlu boleh buat undi berbelah bahagi tetapi ia tidak berlaku. Jadi kita menang (undi suara). Pada masa sama, kita juga dapat lihat bagaimana pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang mana kita memperoleh antara 146 ke 148 undi, iaitu dua pertiga.
Bagi saya, ini adalah kerajaan yang solid dan boleh berdepan, saya ingat lima tahun lagi.
Saya fikir ramai dalam kalangan anggota dalam Kerajaan Perpaduan sedar, yang pertama, kita satu kerajaan yang dibuat selepas tidak ada mana-mana parti membentuk majoriti dan keperluan untuk kestabilan adalah satu perkara sangat bermakna terutama selepas 2018, Langkah Sheraton.
Bila kita jumpa dengan ramai komuniti perniagaan, aktivis dan pegawai kerajaan, mereka sangat hargai kestabilan tersebut. Dan saya fikir itu satu premium yang ada pada kerajaan. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×