INTI PATI ucapan Menteri Pengajian Tinggi yang baharu semasa Majlis Serah Tugas pada 14 Disember 2022 lalu merupakan satu gambaran jelas tentang arah tujuan pengajian tinggi pada hari muka.
Kelesuan yang dialami dalam menunaikan amanah yang lama terabai sepertimana yang dicoretkan dalam ruangan minggu lalu nampaknya terjawab tatkala Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menggariskan beberapa hal yang sudah tercicir dari agenda pendidikan amnya, dan pengajian tinggi khasnya.
Antara yang utama adalah seperti yang disebutkan semasa Majlis Serah Tugas tersebut: Kembalikan fungsi dan kedudukan universiti dengan memperkemas dan memahami semula misi dan visi universiti. Yakni universiti mesti kembali kepada misi dan fokus asalnya yang secara umumnya dipayungi oleh tiga asas utama.
Pertama, tidak ada universiti awam baharu yang akan ditubuhkan tetapi mengukuhkan universiti melalui kepimpinan dan hala tuju yang baik. Bermaksud, merancakkan penerokaan ilmu dan inovasi baharu berasaskan ilmu dan tentang ilmu yang ramai sudah sedia maklum tetapi masih keliru dan songsang dalam mentafsirkan apa itu ‘inovasi baharu’.
Seperti yang ditekankan, ia “mestilah dilakukan dengan cara yang sihat dan profesional” tanpa melangkau etika serta etos pendidikan yang luhur. Contoh yang paling jelas apabila segala-segalanya “disandarkan kepada ketaasuban ranking (penarafan) atau persaingan yang membunuh kreativiti, profesionalisme dan keseronokan dunia akademik.”
Perkembangan terkini menampakkan bahawa amalan penarafan oleh badan-badan tertentu khususnya yang bersifat komersial serta keuntungan telah dipersoalkan secara terang-terangan oleh universiti yang terkemuka di dunia.
Pada bulan lepas, misalnya, beberapa fakulti undang-undang di Amerika Syarikat (AS) seperti Yale, Stanford dan Duke menolak amalan ranking tersebut atas dasar ilmiah yang terbukti kukuh. Malah, 10 daripada 15 fakulti undang-undang terbaik di AS menarik diri dari amalan ranking.
Antara sebab adalah dakwaan bahawa aktiviti tersebut bergantung kepada teknik soal-selidik yang salah (flawed) and tidak telus serta kabur yang mula diakui ramai. Ia juga ada implikasi kepada fakulti lain apabila ranking dijadikan perancangan strategik mereka sehingga beberapa universiti terkenal seperti Columbia University dan University of Southern California turut terpalit dengan aktiviti tidak beretika berkaitan ranking.
Semestinya diingatkan bahawa ada universiti tempatan bertindak sedemikian rupa yang membelanjakan puluhan ribu ringgit gara-gara untuk muncul sebagai universiti ‘berkelas dunia’ dengan cara yang mengaburi mata pelajar serta ibu bapa yang kurang arif tentang permainan ranking ini.
Oleh itu, masanya sudah sampai yang hal ini diteliti kerana ini jelas adalah satu bentuk pembaziran ketika bajet universiti tempatan mengalami potongan yang amat tenat!
SETARA
Dalam pada itu, ini tidak bermakna menuntut pertanggungjawaban serta amalan tadbir urus terbaik diketepikan sama sekali. Tidak.
Sebaliknya, pihak universiti serta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) wajar membangunkan cara tersendiri sebagai satu tanggungjawab sosial yang telus berasaskan libat sama membina sebuah negera bangsa dalam acuan kita sendiri.
Sistem Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (Setara) wajar dijadikan asas yang mantap dengan beberapa pengubahsuaian serta kemas kini untuk membayangkan nilai, norma serta peradaban kita sendiri.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) 1996 sudah cukup ampuh dalam hal ini – malah satu penyatuan antara kedua-dua Kementerian Pendidikan serta KPT dalam memaknakan lagi pendidikan di Malaysia sebagai berterusan, menyeluruh dan bersepadu – ayat pertama FPK.
Pengalaman pandemik baru-baru ini menunjukkan yang hal ini tidak berlaku apabila para pelajar baik di bangku sekolah mahupun universiti tidak dapat bertindak dengan baik dalam menghadapi cabaran kerakanan apa lagi emosi mereka apabila terkurung berulang kali buat beberapa lama.
Pendek kata, secara asasnya pendidikan gagal dalam memanusiawi para pelajar, malah guru sekalipun. Hakikat ini wajar diperbetulkan secepat mungkin memandangkan pandemik yang berlarutan, dan kesihatan emosi dan mental menjadi sasaran seterusnya.
Ranking ala komersial seperti yang diuar-uarkan kini dalam apa bentuk sekalipun tidak ada manfaatnya, tambahan diperuntukkan pula jumlah wang ringgit yang tidak munasabah – kalau tidak membazir semata-mata.
Ekoran perubahan ini, barulah aspek kedua membawa erti sepenuhnya. Yakni, memberi kematangan dan peluang memajukan diri kepada pelajar/mahasiswa. Mengikut Mohamed Khaled, “ramai yang beranggapan tugas dan fungsi pendidikan tinggi sekadar memberi ijazah dan kelayakan.
Pemahaman sedemikian sekalipun betul, tetapi ia tidak tepat” apalagi dengan penumpuan kepada kebolehpasaran yang juga berkait rapat dengan sasaran ranking songsang tadi.
Sedangkan fungsi pendidikan adalah lebih besar dan menyeluruh memandangkan pendidikan tinggi bukan sahaja mesti memastikan kandungan dan pendekatan ilmu yang berkualiti tetapi tetap relevan.
Juga turut memberikan pendedahan serta pengalaman yang akan mematangkan pelajar sebagai satu lonjakan potensi yang kini dianggap sebagai kemenjadian pelajar. Yakni mereka yakin, petah, berani dalam penampilan sebagai seorang terpelajar beradab dan berbudi. Seorang insan sejahtera yang seimbang lagi harmonis bak kata FPK. Bukan modal insan.
Mereka sudah tentu mudah mendapat tawaran kerja, tidak perlu di“pasar”kan sebagai produk atau hamba abdi industri. Pelajar kita bermaruah dan terdidik bukan setakat lulus peperiksaan tetapi gagal dalam melayari kehidupan yang syumul (menyeluruh) lagi bahagia.
Berikutan ini, sekali gus ia mencakupi aspek ketiga, menyumbang kepada masyarakat dan negara. Malah, dunia sejagat dalam erti ilmu sebenarnya untuk rahmatan lil alamin (rahmat untuk seluruh alam).
Bak kata Mohamed Khaled, universiti tidak boleh menjadi liga yang hanya berlegar dan difahami oleh sesetengah pihak semata-mata.
Universiti tidak boleh terpisah dari masyarakat dan keperluan negara serta dunia yang dahagakan sumbangan kita sebagai pemain serta cendekiawan aktif. Bukan sekadar tunggul mangsa pendidikan dunia jual beli yang materialis semata-mata. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











