KURANG empat bulan bakal melahirkan anak keduanya, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui berada dalam keadaan berjaga-jaga.
Membandingkan pengalaman mengandungkan anak pertamanya Siti Aafiyah, situasi yang melanda dunia kini memerlukan dia mengambil pendekatan berbeza.
Jelasnya menjadi antara golongan berisiko, ternyata penularan wabak Covid-19 sedikit sebanyak menakutkan dirinya untuk berada di luar rumah.
Sentiasa meletakkan keselamatan diri sebagai fokus utama, ketika ini pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa menjadi amalan Siti Nurhaliza atau mesra disapa Tok Ti, 42.
“Dalam tempoh pandemik, kita tidak tahu siapa yang mempunyai virus tersebut. Sebab ada diantaranya tidak mempunyai simptom. Selain golongan berusia dan kanak-kanak, golongan ibu mengandung juga berisiko.
“Kalau cakap soal takut dan trauma memang saya berada dalam keadaan itu. Selain itu dengan peningkatan jumlah kes perkara ini sedikit sebanyak memberi sebab untuk saya berada di rumah sahaja. Namun kalau masih perlu keluar untuk bekerja, perkara utama yang saya akan titik beratkan adalah SOP,” katanya.
Sementara itu baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran pada 11 Januari lalu. Siti akui pada usia ini tiada hadiah yang lebih bermakna untuk dirinya selain diberikan rezeki untuk sekali lagi merasai kehadiran zuriat dalam rahimnya.
“Hadiah ulang tahun paling bermakna tahun ini pastinya zuriat. Pada usia 42 tahun saya sedang mengandung anak kedua.
“Alhamdulillah kandungan kali ini lelaki, sepasang sudah,” jelas penyanyi yang disenaraikan oleh Forbes.com sebagai antara 100 selebriti paling berpengaruh dalam media sosial peringkat Asia-Pasifik.
Sudah mempunyai nama yang sesuai untuk anak keduanya yang bakal dilahirkan April ini, Siti yang sebelum ini berkongsi kisah kehamilannya dengan peminat pada 1 Disember lalu di laman sosial menjelaskan, buat masa ini dia mahu merahsiakannya dahulu.
Bagaimanapun anak jati Pahang ini tidak menolak nama anaknya yang bakal lahir ini juga akan mengikut nama abang-abangnya yang bermula dengan Muhammad.
“Insya-Allah mengikut perancangan memang Muhammad di hadapan nama. Cuma nama di belakang itu masih belum boleh didedahkan dahulu.
“Tetapi memang akan bermula dengan huruf A juga sama seperti abang-abangnya,” katanya.

KONGSI PENGALAMAN IVF
Berkongsi perjalanan proses persenyawaan in vitro atau In vitro fertilization (IVF) bagi kandungan keduanya di YouTube baru-baru ini, Siti Nurhaliza berkata, ini adalah sebagai satu cara untuk dia memberi inspirasi buat wanita.
Mengakui bukan sesuatu yang mudah untuk dia bersikap terbuka berkongsi apa yang dilaluinya. Namun, isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ini yakin apa yang dipaparkan ini sedikit sebanyak mampu memberi harapan buat wanita di luar sana yang senasib dengan dirinya.
“Keputusan untuk berkongsi pengalaman IVF kali ini bukan sesuatu yang mudah.Namun dalam masa yang sama saya mahu memberi inspirasi buat wanita yang mungkin berharap dan sedang mencari penyelesaian untuk mendapatkan cahaya mata.
“Dalam video itu sendiri saya sudah jelaskan bagaimana selain usaha apa yang dilakukan ini juga bergantung kepada rezeki.
“Cuma IVF kali ini lebih mudah buat saya memandangkan embrio yang dimasukkan ke dalam rahim saya ini terhasil pada hari dan waktu yang sama dengan Aafiyah.
“Bagaimanapun melalui proses ini, kita masih memerlukan persiapan rapi bukan sahaja dari segi mental tetapi juga fizikal.
“Saya perlu betul-betul berehat dalam memastikan keadaan saya bersedia,” katanya.
Bercakap soal persiapan untuk menerima orang baharu, jelasnya tiada apa yang merunsingkan dirinya kini. Memilih untuk menggunakan kembali barangan anak pertamanya Aafiyah, yang berbeza kali ini cuma pakaian sahaja.
“Soal persiapan hanya pakaian sahaja yang berbeza. Barangan lain seperti katil bayi dan barangan besar-besar boleh gunakan kembali barangan Aafiyah sahaja. Jadi tidak ada masalah soal itu,” katanya.
TAKHTA DUNIA
Baru sahaja melancarkan video muzik terbaharu, Takhta Dunia merupakan salah satu lagu dalam album ManifestaSITI2020.
Bercerita lebih lanjut mengenai lagu ciptaan komposer terkenal Indonesia, Ryan Kyoto, jelasnya, ada mesej yang mahu disampaikan melalui lagu ini.
“Takhta Dunia sarat nilai moral kerana mengingatkan supaya setiap orang bersikap baik, menjauhi hasad dengki serta menjaga tutur kata. Apabila ini menjadi amalan, hati seseorang akan bersih dan tidak tercela.
“Sebagai penyanyi, saya bertanggungjawab mengetengahkan mesej yang baik menerusi lagu. Sesuai usia, semakin dewasa dan matang, saya harus menghidangkan karya yang bukan sahaja memberi hiburan tetapi kesedaran,” katanya.
Menjadi kerja terakhirnya sebelum berehat panjang untuk memberi tumpuan kepada proses kelahiran anak keduanya kelak.
“Video muzik Takhta Dunia pembuka tahun baharu dengan memberi mesej yang baik kepada masyarakat,” katanya.










