Terima kasih hero ‘comel’

Terima kasih hero ‘comel’

ANJING pengesan Unit K9 Bomba bernama Pop diselaputi lumpur dan kelihatan letih. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GROUSE tiba-tiba terhenti. Ekornya ligat melibas ke kanan, ke kiri. Kepalanya pula mendongak ke arah tuannya. Sesekali Grouse mencium dan menguis-nguis tanah. Pandangan matanya seperti mahu memberitahu sesuatu. Rupa-rupanya itulah petanda ada mangsa tertimbus di situ.

Sepantas kilat anggota-anggota mencari dan menyelamat (SAR) meluru ke arah tempat dihidu Grouse tadi. Sambil tuannya menenangkan Grouse.

Menggunakan tangan dan peralatan, mereka bertungkus-lumus menggali sepantas mungkin. Misi mereka hanya satu, iaitu membawa keluar walau dalam keadaan apa sekalipun mangsa tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ternyata telahan deria Grouse, tepat. Mangsa pertama tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor berjaya dikeluarkan selepas kira-kira tiga jam tragedi berlaku. Gembira, sebak, bercampur baur perasaan anggota-anggota SAR. Penat yang jelas kelihatan pada raut wajah mereka tadi sudah hilang entah ke mana. Malah penemuan itu menyuntik semangat baharu kepada mereka.

Lantas pencarian diperluaskan dan ditumpukan di sektor berkenaan. Ternyata tindakan mereka tidak sia-sia apabila enam lagi mangsa yang tertimbus berjaya dikeluarkan dari situ.

Mungkin orang paling bersyukur dan bangga adalah Pegawai Bomba Kanan (PBK) Kenneth William dari Unit K9 Bomba. Anak didiknya, Grouse daripada baka English Springer Spaniel berjaya menjalankan tugasnya dengan cukup baik.

Selain Grouse, turut menjalankan tugas dengan cemerlang ialah Blake, Lady, Denti, Frankie dan Pop. Anjing-anjing pengesan ini ditugaskan sejak hari pertama tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highlands pada 16 Disember lalu. Pasukan tersebut diketuai oleh Penguasa Kanan Bomba 2, Donny Chap.

Setakat artikel ini ditulis, sebanyak 61 mangsa berjaya diselamatkan, 30 terkorban termasuk bayi dan kanak-kanak manakala satu lagi masih hilang menjadikan keseluruhan mangsa 92.

Unit K9 dari agensi-agensi kerajaan lain yang turut terlibat ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (AMP).

Kehadiran anjing-anjing pengesan dalam misi berkenaan turut mendapat perhatian banyak pihak khususnya netizen di media sosial. Kelibat haiwan-haiwan ini yang comot diselaputi lumpur, bergerak pantas ke sana sini sambil menghidu tanah dengan ekor ligat meliang liuk menjadikan mereka nampak ‘comel.’ Ramai yang meninggalkan komen-komen positif bagi menaikkan semangat unit-unit K9 terbabit.

PENGSAN
Tidak hairanlah apabila Blake dilaporkan ‘pengsan’ akibat keletihan, ramai yang bersimpati. Malah ada warganet mencadangkan agar haiwan-haiwan ini diberikan penghargaan atas jasa-jasa dalam misi SAR tersebut termasuk dikurniakan pingat.

Anjing pengesan daripada disiplin kadaver seperti Grouse memainkan peranan penting dalam mempermudahkan operasi SAR tragedi tanah runtuh di Batang Kali. Dalam mana-mana situasi SAR, anggota-anggota boleh menggunakan pelbagai kaedah dan peralatan untuk mengesan mangsa yang hilang. Namun, untuk mencari mangsa yang sudah mati, anjing kadaver adalah panduan terbaik.

Selain SAR, haiwan jenis ini dilatih untuk menghidu bau manusia termasuk mayat. Selain mampu menghidu ketepatan bau mayat sehingga 95 peratus termasuk yang tertanam sedalam empat meter, ia juga mampu mengesan bau menerusi udara. Ia juga mampu membezakan antara bau mayat dan bangkai haiwan.

Anjing kadaver memiliki stamina yang cukup tinggi. Mampu bertugas tanpa henti dalam lingkungan kawasan 1.3 kilometer persegi setiap hari. Tanpa menunjukkan kemalasan, ia akan patuh kepada arahan tuannya untuk mencari sehinggalah mangsa ditemukan.

Bagaimanapun, apabila ada pihak melontarkan cadangan agar anjing-anjing liar di jalanan dijadikan anjing pengesan dalam pasukan SAR, ia bukanlah idea yang realistik. Ini kerana untuk menjadi anjing kadaver memerlukan kira-kira 1,000 jam latihan sebelum dibenarkan menjalankan tugas di lapangan. Latihan intensif sedemikian menjadikannya aset bernilai selain pelaburan menguntungkan kepada mana-mana organisasi.

Semoga pengorbanan dan peranan anjing pengesan di Batang Kali ini tercatat sebagai antara peristiwa menyentuh hati setiap rakyat Malaysia bahawa haiwan dan manusia amat memerlukan antara satu sama lain dalam kehidupan.

Terima kasih hero-hero!-UTUSAN

PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×