Darurat iklim tidak sesuai - Ibrahim Komoo

Darurat iklim tidak sesuai – Ibrahim Komoo

IBRAHIM KOMOO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penggunaan istilah ‘darurat iklim‘ tidak sesuai digunakan meskipun keadaan di negara ini menyaksikan beberapa kejadian bencana seperti tanah runtuh dan banjir. 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, kejadian tanah runtuh dan banjir hanya bersifat tempatan. 

Sebaliknya, darurat iklim membawa gambaran dan impak lebih besar yang berada di luar kawalan manusia dan sesebuah kerajaan.  

“Kita sedia maklum bahawa banjir memang akan berlaku setiap hujung tahun sedangkan isu darurat hanya akan diisytihar apabila sesuatu bencana pertama kali berlaku atau jarang berlaku. 

“Oleh kerana banjir besar atau kecil berlaku setiap tahun, ia berada dalam kawalan manusia. Apabila sesuatu musibah berlaku dalam sesuatu kawasan, ia hanyalah satu fenomena manakala jika berlaku di luar kawasan barulah dikatakan sebagai bencana. Tidak sehingga perlu mengisytiharkan darurat,” katanya ketika dihubungi. 

Darurat iklim merujuk kepada keadaan yang memerlukan tindakan segera bagi mengurangkan atau menghentikan perubahan iklim serta mengelakkan kerosakan alam sekitar yang berpotensi tidak dapat dipulihkan.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Isnin lalu dilaporkan mencadangkan pengisytiharan darurat iklim di Dewan Rakyat menerusi surat yang ditujukan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul. 

Mengulas lanjut, kata Ibrahim, tiada keadaan mendesak sehingga kerajaan terpaksa mengisytiharkan darurat iklim kerana banjir tetap akan surut selain pihak berkuasa tidak berdepan dari segi masalah pengurusan banjir. 

“Jika mahu membantu mangsa banjir, cara terbaik ialah turun ke bawah dan melihat kawasan, pelajari data mengenai banjir, kesan terhadap prasaranan awam dan komuniti. 

“Selepas itu, buat dasar di peringkat kerajaan Persekutuan untuk menyalurkan kepada kerajaan negeri. Tiada masalah pun dari segi bantuan dan tidak perlu isytihar darurat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×