PERJUANGAN dalam parti politik kait mengait antara satu era dengan era yang lain – antara kumpulan pemimpin kini dengan yang terdahulu. Mungkin, tidak semua yang dilakukan pemimpin terdahulu bertaraf hebat, barang sudah tentu terdapat peninggalan yang kurang disenangi. Tetapi sekurang-kurangnya mereka juga bersama berjuang dan meninggalkan jasa dan khidmat. Tiada mereka, tiada kita.
Namun saya berpegang teguh kepada falsafah – jangan dihiraukan sangat bagaimana dan kenapa seseorang itu berjaya dalam sesuatu perjuangan, lantaran lumrah alam bahawa tiada yang kekal dalam politik. Kawan boleh jadi musuh dan musuh boleh pula menjadi kawan. Yang kekal ialah perjuangan, yakni perjuangan positif menolong rakyat dan berkhidmat untuk rakyat.
Sebagai wakil rakyat yang dipilih rakyat berasaskan majoriti, seseorang itu sentiasa berdepan dengan rakyat. Gerak-geri diperhatikan rakyat. Ia berupa pemegang amanah kuasa untuk rakyat. Kalau cengihpun, zahirkan dengan sifat yang tenang.
Begitupun jua, dalam politik ada tempoh naik dan jatuh. Masyarakat Melayu pun sudah retak perpaduannya, justeru mesti ada bahan pengimpalnya. Bahan pengimpalnya itu tidak kiralah, berupa syaratnya kah, formulanya kah atau elemen baharunya kah?
Yang telah koyak itu perlu ditampal segera dengan kain perca atau guntingan yang lain. Apakah kain yang sedia ada pada pakaian yang koyak itu tidak boleh dijadikan bahan penampalnya?
BUNGKUS
Dalam situasi divide and rule (pecah dan perintah) yang kelihatan dalam mencatur atau menyusun atur strategi dalam kalangan parti politik, ada mengesyorkan keperluan suatu naratif baharu dalam politik. “Kena ada coalition (gabungan) baharu…mesti terbuka kerana era ini (tahun 2021) memerlukan senario politik baharu berikutan tidak ada parti akan dominan dalam bertempur pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” kata rakan saya dari bahagian UMNO sebuah negeri di selatan tanah air.
Di ambang PRU-14, kaum Melayu-Muslim berpecah kepada empat golongan iaitu UMNO, Pas, Bersatu dan PKR serta Amanah. Inilah kelemahan kaum Melayu-Muslim sendiri dalam era moden yang tidak dapat menguruskan perbezaan.
Secara kasarnya dari keputusan PRU-14 pada 9 Mei 2018 itu boleh dianggarkan UMNO memiliki 42% sokongan kaum Melayu-Muslim, Pas (33%), Bersatu (15%) dan PKR/Amanah (10%). Persoalannya, hari ini politik Melayu yang berlandaskan kuasa semata-mara tidak boleh ‘pergi’ lagi dah. Perlu dinilai untuk kembali ke aras budaya tinggi. Baru orang lain hormat kita.
Kalau cara masih lagi ‘biasa-biasa’, kelak akan ‘dibungkus’ oleh DAP. Berdepan dengan DAP, ia realitinya suatu perlawanan mental. Kalau berjuang untuk survival parti sahaja, kita orang Melayu ‘mati’ – tidak ada daya mental macam DAP.
Lihatlah DAP, orang-orang atasnya kelihatan ‘diam’ belaka, tapi di bawah yang paling sibuk. Menyumbang, bagi duit kepada NGO lah, macam-macam mereka buat. Bila mereka bersikap profesional, senang sahaja dia ‘rangkul’ kita.
TIKUS
Tapi orang Melayu tidak pula ada aras profesionalisme ini. Bekas-bekas ahli MCA dan Gerakan pun sudah ramai jadi suku DAP. Orang Melayu perlu belajar dengan DAP cara berpolitik yang tidak merugikan.
Semak balik, sungguh! DAP tidak berminat memiliki jumlah ahli yang ramai. Cukup yang intelligent sahaja. Setiap daerah ada pemikirnya. UMNO sahaja yang gemar angka itu hingga ahlinya melepasi 3.5 juta orang. DAP hanya ada 172,673 ahli tetapi kehebatannya seolah-olah tidak terperi lagi. Kekuatan parti itu berada di Pusat dan berakar umbi di setiap negeri.
Hitunglah satu per satu segala kehebatan DAP pasca-PRU-14 yang lepas. Parti pimpinan anak beranak keluarga Lim ini mempunyai enam menteri, seorang duta khas, tujuh timbalan menteri serta masing-masing seorang ketua menteri dan timbalan ketua menteri. Ramai yang keluar MCA dan Gerakan masuk DAP.
Justeru, sama ada perlunya satu coalition baharu – yang saya pulangkan balik kepada pemimpin-pemimpin parti Melayu untuk fikirkan – saya percaya era kali ini yang terbaik untuk direalisasikan. Apatah lagi, pendaftaran pengundi secara automatik seawal umur 18 tahun akan berkuat kuasa Julai tahun ini.
Di Indonesia, seseorang ahli politik biasanya digelar politikus, satu-satunya istilah yang digunakan sebagai persamaan kepada istilah bahasa Inggeris, politician. Tetapi panggilan atau istilah politikus ini amat kurang sopan bunyinya – seolah-olah politician atau ahli politik itu semacam tikus yang sentiasa menyental barang makanan orang. Maka panggilan ahli politik lebih sesuai di negara ini.
Sesekali, kita akan diingatkan dengan ungkapan siasah yang diketahui ramai ‘politik itu kotor’. Ungkapan itu tidak mengandungi buah fikiran yang benar. Padahal, yang kotor ialah pengamalnya, bukan politik.
LEBAH
Ada juga kata-kata bijaksana yang merumuskan bahawa hidup berpolitik semacam tinggal di dalam rumah kaca, harus sentiasa berjaga-jaga apa yang harus dibuat atau yang tidak harus dibuat. Lalu dikatakan, penghuni rumah kaca jangan buang batu, nanti apabila orang baling batu, rumah itu akan pecah dan musnah.
Malangnya, tidak semua ahli politik yang berkebolehan bersikap positif dan hati-hati sentiasa. Apabila terlupa sedikit, ada sahaja mudarat yang sampai. Ada kalanya keaiban meletus pada saat-saat yang tidak disangka-sangka.
Kepada pihak yang berada di atas, jadilah seperti mata lebah. Walau ditunjuk akan kelemahan atau kekurangan sesuatu syor, isu atau barangkali terhadap seseorang kepada kamu, tetap kamu mencari kebaikannya. Lebah cuma melihat dan memilih yang baik-baik. Walaupun lalu di tempat pembuangan sampah atau tempat yang kotor dia tetap mencari yang baik dan cantik.
Sebaliknya, janganlah kamu jadi mata lalat. Walaupun ditunjuk seribu kebaikan seseorang kepada kamu, kita masih lagi mahu mencari keburukan orang lain. Orang Melayu perlu ada asas politik dan piawaian pemikiran aras tinggi untuk survive.
Orang Melayu terutama orang politik perlu belajar cara berpolitik DAP. ‘Menguntungkan’, tanpa rugi apa-apa. Apakah perlu difikirkan satu coalition baharu untuk menyelamatkan Malaysia hari ini? Tepuk dada, tanya selera.
DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.









