NEGARA kini berdepan dengan gelombang ketiga pandemik Covid-19. Seperti yang diingatkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, kerajaan dan masyarakat dari segenap lapisan kini perlu bersama-sama dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
Pelbagai langkah dilaksanakan kerajaan bagi membanteras Covid-19, termasuklah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Walaupun PKP membataskan aktiviti yang boleh dijalankan, malah memberi kesan yang ketara kepada ekonomi negara, ia dilaksanakan bagi memastikan keselamatan rakyat dari wabak Covid-19.
Ini bertepatan dengan prinsip maqasid syariah di mana pada ketika pandemik sebegini wajarlah pemeliharaan nyawa diberi keutamaan berbanding perkara-perkara lain. Ini bermaksud dalam menguruskan aktiviti seharian pada waktu pandemik ini, kerajaan dan masyarakat perlu bijak mengatur agar setiap yang dilakukan tidak mengancam nyawa.
Sektor pendidikan tinggi turut terkesan dengan pandemik Covid-19. Sejak dari bermulanya PKP yang pertama pada 18 Mac 2020, pelajar dan pengajar di universiti awam terpaksa berpuas hati dengan kaedah pembelajaran secara dalam talian.
Tidak dinafikan pembelajaran secara dalam talian mempunyai kelebihannya yang tersendiri dan mampu menjadi pelengkap kepada pembelajaran secara bersemuka. Namun, setelah hampir setahun, masih didengari pelbagai keluh-kesah daripada pelajar dan pengajar tentang keberkesanan pembelajaran dalam talian. Mungkin kini masanya untuk melihat semula apakah langkah terbaik yang perlu diambil demi kelangsungan pembelajaran berkualiti di universiti awam.
KAMPUS
Di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), selaras dengan Kerangka Pendidikan Sejahtera UIAM (IIUM Sejahtera Academic Framework), konsep pendidikan dilihat secara menyeluruh dan bukan hanya melibatkan pembelajaran formal semata-mata, sama ada di dalam kelas ataupun secara dalam talian. Tetapi juga melibatkan pengalaman pelajar berada di kampus dan berinteraksi sesama pelajar, pensyarah dan komuniti universiti. Interaksi inilah yang menyumbang kepada pembentukan nilai-nilai ke arah kesejahteraan diri.
Pendapat pelajar perlu diambil kira oleh universiti dalam membentuk strategi bagi memastikan kelangsungan pembelajaran berkualiti pada waktu pandemik sebegini. Tinjauan yang dijalankan ke atas pelajar UIAM mendapati 64 peratus daripada responden menyuarakan hasrat untuk berada di kampus sama ada untuk mengikuti pembelajaran secara bersemuka ataupun hibrid.
Manakala 55 peratus bersedia untuk tidak keluar dari kawasan kampus sekiranya mereka dibenarkan berada di kampus. Ini menunjukkan keazaman pelajar untuk memastikan pembelajaran mereka adalah di tahap yang terbaik walaupun pada waktu Covid-19 sedang berleluasa.
Pada waktu pandemik, universiti perlu bijak mengatur kaedah menguruskan keberadaan pelajar di kampus sama ada dari aspek pembelajaran, keselamatan, kesihatan dan kebajikan. Pengalaman menempuh gelombang Covid-19 dan PKP pertama dahulu wajar dijadikan pedoman. Antaranya, mengehadkan keberadaan di kampus kepada pelajar-pelajar tertentu.
KELIRU
Pelajar yang tidak mempunyai peralatan atau capaian internet untuk mengikuti pembelajaran dalam talian (remote learning) dan tidak mempunyai ruang belajar atau persekitaran yang kondusif di rumah boleh dibenarkan kembali ke kampus.
Begitu juga dengan pelajar yang berkeperluan khas yang memerlukan kemudahan yang terdapat di kampus untuk belajar. Ini adalah penting agar tiada pelajar yang ketinggalan dalam pembelajaran mereka. Selain itu, pelajar yang perlu melaksanakan kerja amali di studio dan makmal juga boleh dibenarkan berada di kampus agar kualiti pembelajaran mereka tidak terjejas.
Universiti juga perlu mengambil kira keupayaan organisasinya untuk memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar di kampus. Kesediaan perkhidmatan perubatan dan kaunseling dan kapasiti kolej kediaman dan ruang pembelajaran bagi memenuhi keperluan prosedur operasi standard mesti dijadikan input dalam menilai jumlah pelajar yang boleh dibenarkan berada di kampus.
Komunikasi yang jelas juga merupakan satu faktor penting dalam memastikan keselamatan pelajar dan tenaga kerja di kampus. Penyaluran informasi yang tepat dan pantas membolehkan tindakan susulan dapat dilakukan dengan segera bagi membendung sebarang bentuk ancaman.
Keputusan juga tidak boleh sering berubah-ubah kerana ini akan mengelirukan pelajar dan tenaga kerja di kampus yang boleh menimbulkan risiko kepada komuniti universiti. Malah, keputusan perlu dimaklumkan seawal mungkin kepada pelajar dan tenaga kerja agar mereka mempunyai masa mencukupi bagi membuat sebarang perancangan.
ANCAMAN
UIAM mengambil pelbagai langkah bagi memastikan maklumat disampaikan dengan tepat dan pantas kepada komunitinya. Antaranya ialah dengan menubuhkan IIUM Sejahtera Council sebagai satu-satunya jawatankuasa yang bertanggungjawab untuk mengeluarkan kenyataan dan garis panduan berkaitan Covid-19 di UIAM.
Penggunaan Sistem Amaran Covid-19 Bertahap dan Pelan Tindakan Standard juga membantu mengelakkan kekeliruan dalam kalangan warga UIAM. Malah, penggunaan sistem ini memastikan tindakan responsif yang lebih pantas dalam menangani isu-isu yang timbul akibat dari pandemik Covid-19 ini. Dalam memastikan keselamatan di universiti demi kelangsungan pembelajaran yang berkualiti, kerjasama daripada semua pihak diperlukan. Pelajar dan tenaga kerja perlu patuh kepada arahan dan garis panduan yang dikeluarkan sama ada oleh pihak universiti ataupun kerajaan.
Pihak kerajaan juga perlu memberi sokongan kepada universiti untuk membentuk kaedah pengurusan tersendiri dalam menghadapi ancaman Covid-19. Pendekatan yang seragam bagi semua universiti adalah tidak sesuai kerana setiap universiti berdepan dengan situasi berbeza kerana perbezaan lokasi, jumlah pelajar, komposisi pelajar dan sebagainya.
Universiti juga boleh berkongsi antara satu sama lain amalan terbaik masing-masing yang mungkin boleh diadaptasi oleh universiti lain.Universiti adalah institusi ilmu dan seharusnya kekal sebagai tunjang kebijaksanaan dalam memastikan kelangsungan aktiviti akademik berkualiti dalam setiap situasi.
DR. Muhammad Faris Abdullah ialah Pengarah Pejabat Strategi dan Perubahan Institusi UIAM.










