PETALING JAYA: Hampir 70,000 orang masih terkandas di Kelantan, Terengganu dan Pahang sejak Pantai Timur dilanda banjir beberapa hari lalu.
Terengganu mencatatkan jumlah mangsa paling ramai ketika ini apabila seramai 38,574 orang daripada 10,493 keluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara.
Ini diikuti dengan 30,597 orang mangsa di Kelantan manakala 30 mangsa lagi terkandas di Pahang malah Perak dan Johor turut terkesan dengan banjir.
Di Terengganu, sebanyak 277 lokasi menjadi pusat pemindahan sementara meliputi Hulu Terengganu, Dungun dan Kuala Nerus manakala mangsa berkurangan di Kemaman, Besut, Setiu, Marang dan Kuala Terengganu.
TERTINGGI
Besut mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 6,852 orang mangsa, diikuti Hulu Terengganu 6,070, Dungun 5,158 orang, Kuala Nerus 3,822 orang, Kuala Terengganu dengan 2,668 orang dan Marang dengan 1,387 orang.
Di Kelantan, sebanyak 8,774 buah keluarga berlindung di 134 pusat pemindahan sementara.
Pasir Mas masih kekal daerah yang paling teruk terjejas apabila melibatkan seramai 12,028 mangsa diikuti Pasir Puteh (5,878 mangsa), Tumpat (4,131 mangsa) dan Kota Bharu (4,284 mangsa).
Seramai 2,180 mangsa banjir di Kuala Krai, Tanah Merah (849 mangsa), Machang (303 mangsa), Bachok (1,672 mangsa).
Di Pahang, terdapat penurunan ketara apabila hanya tinggal 30 mangsa yang masih terkandas berbanding 873 mangsa semalam.
Kesemua mangsa ditempatkan di di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ular selepas tujuh pusat pemindahan ditutup.
TENGGELAM
Sebanyak 15 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini terpaksa ditutup dan dipindahkan ke lokasi lain selepas ditenggelami air berikutan banjir sejak Jumaat lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, lima PPS terlibat terletak di Kampung Batu 23 Sungai Bajar, Bukit Tok Bat, Bukit Tadok, Bukit Palas dan Paya Besar.di Hulu Terengganu melibatkan 641 orang mangsa.
Menurut beliau, lima PPS lagi di Besut turut terjejas iaitu di Kampung Bukit Rambutan, Pantai Kuala Besut, Surau Gong Resam, Surau Chegar Batang dan Surau Dalam Huma dengan keseluruhan 209 mangsa.
“Di Setiu pula 169 orang mangsa di tiga PPS terpaksa dipindahkan iaitu di Surau Kampung Nyatoh, Balairaya Kampung Permaisuri dan Balairaya Beris Tok Ku.
“Sementara itu, dua lagi adalah di Kemaman membabitkan 622 orang mangsa di PPS Kampung Padang Kubu Baru dan Padang Kemunting.
“Kesemua PPS ini terletak di kawasan baharu yang ditenggelami air dan diluar jangkaan. Malah situasi bencana banjir kali ini agak berbeza namun mangsa telah pun dipindahkan.
“Dengan kekuatan lebih 3,000 anggota penyelamat semua agensi, pembahagian penugasan telah dibuat untuk memberi keutamaan di lokasi kritikal,” kataya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau PPS di Masjid Kampung Penarik dan Sekolah Kebangsaan Mangkuk di sini, hari ini,
Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati dan meningkatkan aspek keselamatan bagi mengelak kejadian seperti renjatan elektrik daripada berlaku. – UTUSAN










