Baru-baru ini, Kesatuan Eropah (EU) memaklumkan persetujuan bagi mengharamkan import beberapa produk yang dikenalpasti sebagai pemacu penebangan hutan.
Antara produk terlibat adalah minyak sawit, daging lembu, kacang soya, kopi dan kayu-kayan.
Memberi reaksi kepada isu berkenaan, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, Malaysia komited mengeluarkan minyak sawit mengikut prinsip dan kriteria mampan di bawah Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang dilaksanakan secara mandatori mulai 1 Januari 2020.
Malah, awal tahun lalu, negara juga telah menyemak semula piawaian MSPO agar selari dengan norma antarabangsa, meningkatkan kredibiliti dan mengembangkan skop yang lebih luas untuk pengiktirafan daripada pasaran global.
Perkara penting yang dipertimbangkan dalam semakan standard tersebut adalah penambahbaikan mengenai perkara yang melibatkan isu sosial dan tenaga kerja, amalan baik, Nilai Pemuliharaan Tinggi (HCV), Penilaian Kesan Sosial (SIA) dan kuantifikasi pelepasan gas rumah hijau (GHG).
“Pembangunan industri sawit Malaysia juga dikawal oleh lebih 60 peraturan dan undang-undang, menjadikannya industri paling dikawal selia di Malaysia.
“Selain itu, negara turut komited terhadap pemuliharaan hutan dan biodiversiti hutan hujan tropika dan masih mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasannya di bawah litupan hutan seperti yang diikrarkan pada Sidang Kemuncak Bumi Rio pada tahun 1992,” katanya.
Diskriminasi
Ahmad Parveez berkata, peraturan EU itu hanya menyasarkan penanaman komoditi daripada ekonomi membangun sebagai cabaran utama dalam melindungi alam sekitar global.
Katanya, implikasi bagi industri sawit yang dijangka berlaku adalah menambahkan beban pentadbiran dan kos pengeluaran yang lebih tinggi berbanding minyak biji sesawi dan minyak bunga matahari yang dikeluarkan dalam negara mereka.
“Terdapat diskriminasi di sini kerana tanaman lain seperti biji sesawi dan bunga matahari tidak menjadi sasaran. Selain itu, pekebun kecil mungkin bergelut untuk mematuhi dan dikecualikan daripada pasaran EU,” katanya.
Tambahnya, berdasarkan kenyataan dikongsikan di laman sesawang Suruhanjaya Eropah (EU) itu, jika diterima pakai kelak akan memastikan barangan yang memasuki pasaran EU tidak lagi menyumbang kepada penebangan hutan dan degradasi hutan di EU dan tempat lain di dunia.
Bagaimana pun, katanya, penglibatan industri sawit Malaysia dalam penebangan hutan adalah sangat rendah berikutan pelaksanaan ketat peraturan dan undang-undang di Malaysia.
“Ini perlu diiktiraf oleh EU. Berdasarkan tafsiran, minyak sawit dan produknya yang dihasilkan daripada ladang sawit sedia ada sebelum 1 Januari 2021 dianggap bebas penebangan hutan.
“Malaysia tidak membenarkan penebangan hutan untuk penanaman sawit. EU mesti mengiktiraf produk berdasarkan negara asal dan bukan secara global seperti yang dilakukan untuk biofuel sawit,” ujarnya.
State of the World’s Forests 2020 melaporkan jumlah kemusnahan hutan menurun secara global sekaligus menunjukkan petanda positif keseimbangan antara pemuliharaan biodiversiti dan penggunaan atau pembangunan hutan mampan sememangnya wujud.
“Berdasarkan perspektif mengenai komitmen Malaysia termasuk Pensijilan MSPO, penurunan kemusnahan hutan primer di Malaysia selama empat tahun berturut-turut (dari 2017-2020) mungkin telah menyumbang ke arah aliran menurun ini seperti yang dilaporkan oleh Global Forest Watch, 2021,” katanya.
Malaysia tegasnya, turut komited menjalankan kerjasama dan rundingan dua hala yang membina bagi memastikan tiada diskriminasi dalam pengendalian perdagangan antarabangsa untuk akses pasaran produk Malaysia di pasaran EU,” ujarnya.
Selain itu, negara ini juga mempunyai rangka kerja dasar dan undang-undang untuk memastikan pembangunan mampan yang seimbang antara perlindungan alam sekitar dan pembangunan sosioekonomi.
Ia terbukti melalui pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif bagi pemuliharaan dan perlindungan hutan dan biodiversiti termasuk inisiatif perhutanan negara iaitu The Central Forest Spine dan Heart of Borneo.
Ia merupakan program penghutanan semula melalui penanaman semula spesies pokok hutan, penubuhan koridor hidupan liar dan pengurangan pelepasan GHG.
Bagi sektor sawit pula, dasar penting turut digubal ke arah penanaman sawit mampan pada Mac 2019.
Penggubalan itu antara lain menghadkan jumlah keluasan penanaman sawit kepada 6.5 juta hektar, menghentikan penanaman sawit baharu di kawasan tanah gambut, mengukuhkan peraturan mengenai penanaman sawit sedia ada di tanah gambut dan melarang penukaran kawasan hutan simpanan untuk penanaman sawit.
Kerajaan turut menubuhkan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) untuk menyokong usaha pemuliharaan serta meningkatkan imej minyak sawit sebagai produk yang mampan di mata dunia.
Usaha sedemikian menunjukkan kerajaan komited dan serius terhadap pemeliharaan, pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar.










